Sunday, 22 February 2015

Bolehkah menasabkan anak hasil perzinaan kepada bapa zinanya?

ANAK YANG LAHIR DARI PERKAHWINAN YANG KURANG DARIPADA ENAM BULAN?

Soalan: Bolehkah demi menyembunyi keaiban lepas agar tidak diketahui oleh anak, ibubapa yang berkawin selepas perzinaan menasabkan anak hasil perzinaan mereka kepada bapa zinanya?

Jawapan: Oleh kerana masalah ini pernah difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis semasa saya menjadi Mufti Kerajaan Perlis kali pertama (2006-2008), maka di sini dilampirkan keputusan tersebut;

Gambar hiasan
MENASABKAN ANAK KEPADA SUAMI IBU SEKALIPUN PERKAHWINAN KURANG DARIPADA ENAM BULAN

Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti Perlis SS Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin yang bermesyuarat pada September 2008 telah memutuskan mengenai nasab anak yang tempoh perkahwinan ibubapanya kurang daripada enam bulan seperti berikut;

“Anak yang lahir kurang daripada 6 bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”

Keputusan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan oleh DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibn DYMM Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail pada 4 November 2008.

Maksud Fatwa:

Seorang wanita yang berkahwin dan melahirkan anak sekalipun tempoh perkahwinannya kurang kurang daripada tempoh 6 bulan tetap boleh menasabkan (membinkan) anak yang dilahirkan kepada suaminya dengan syarat si suami tidak membantahnya.

Senario:

Di Malaysia, pihak pendaftaran enggan mendaftarkan anak orang Islam secara di ‘bin’ kan kepada bapanya jika tempoh perkahwinan mereka kurang daripada enam bulan. Dalam ertikata lain anak tersebut dianggap ‘anak luar nikah’.

Hasil daripada peraturan ini maka ramai anak yang tidak dibinkan kepada bapa mereka. Lebih menyedihkan apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya. Ini merupakan satu tekanan kepadanya yang tidak berdosa dalam perkara tersebut.

Pihak ibubapa pula, amat sukar untuk menerangkan masalah tersebut kepada anak berkenaan kerana itu akan membuka ‘aib yang telah cuba ditutup. Di samping boleh menghilangkan rasa hormat anak kepada ibubapa yang telah insaf dan sedang membina dan mendidik keluarga. 

Atas keadaan tersebut maka, isu ini dibincangkan dalam Fatwa Negeri Perlis. Setelah meneliti dalil-dalil syarak dan alasan-alasan para sarjana yang berbagai, maka keputusan tersebut dibuat.

Antara Asas Alasan:

Dalil yang dijadikan asas perbincangan dalam kes ini adalah sabda Nabi s.a.w.: 
الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ
“Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini disebutkan oleh Nabi s.a.w apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman baginda antara antara Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Abd bin Zam’ah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya ‘Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam’ah yang masih budak ketika itu sebenarnya adalah anaknya. 

Namun ‘Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya ‘Utbah. 

Apabila kes ingin diangkat kepada Nabi s.a.w, baginda mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai ‘Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa’d. Namun baginda memutuskan anak itu ialah anak Zam’ah dengan bersabda: “Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut) ”.

Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah s.a.w memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina. Juga hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi s.a.w yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas.

Jika baginda memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki maka sudah pasti berbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga. 

Selagi mana si suami sendiri menerima anak itu adalah anaknya, maka tiada alasan untuk mereka yang tidak berkahwin secara sah dengan si ibu membuat tuntutan.

Bahkan di kalangan sarjana Islam ada yang berpegang bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa zinanya sekalipun jika wanita berkenaan tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina dengannya. Namun syaratnya mestilah wanita tersebut juga tidak berkahwin dengan lelaki lain seperti dalam kes hadis di atas.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak (sepakat tanpa kecuali seluruh para mujtahid)…

Beberapa tokoh fekah salaf; ‘Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim”. (lihat: islamonline.net).

Perhatian: Keputusan Fatwa Perlis hanya membincangkan tentang keharusan menasabkan anak kepada suami sekalipun perkahwinan itu kurang daripada enam bulan, dengan itu maka mereka yang terlibat dalam perzinaan lalu bertaubat dan berkahwin, anak yang dikandung bolehlah dinasabkan kepada si suami sekalipun baru berkahwin dengan syarat tiada bantahan daripada suami.

Kebaikan Fatwa Ini:

i. Menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat.

ii. Menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurang tempoh perkahwinan.

iii. Membantu ibubapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.

Kesannya:

Pihak pendaftaran hendaklah memberikan hak berbinkan suami ibu (bapa) kepada anak yang lahir sama ada kurang atau lebih daripada enam bulan tempoh perkahwinan ibunya, dengan syarat si suami tidak membantah.

Yang Benar,
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
(Mufti Kerajaan Negeri Perlis)

Baca lagi >>

Feri diselubungi asap kerana puntung rokok, siapa punya angkara?

LANGKAWI - Perbuatan tidak bertanggungjawab perokok membuang puntung rokok yang masih menyala menimbulkan kelam-kabut di kalangan lebih 400 penumpang sebuah feri yang terpaksa belayar dengan diselubungi asap antara Pulau Langkawi dan Kuala Kedah di sini hari ini.
 
Sungguhpun si pelaku itu belum dikenal pasti, difahamkan puntung rokok yang tidak dipadamkan sepenuhnya itu membakar tempat duduk tandas di dalam feri terbabit sebelum feri dua tingkat itu diselubungi asap berkepul-kepul.
 
Seorang penumpang, Hamzah Osman, 52, berkata insiden itu berlaku kira-kira 12.35 tengah hari selepas feri berkenaan meninggalkan Jeti Kuah di sini menuju Kuala Kedah, kira-kira 57km dari sini.
 

"Hanya kira-kira 20 minit selepas kami meninggalkan Jeti Kuah, asap mula menyelubungi feri ini dan tidak lama kemudian, kru feri memberitahu kami supaya memakai jaket keselamatan.
   
"Saya dapat lihat mereka bersiap-sedia untuk berdepan perkara yang kurang menyenangkan. Mujurlah mereka berjaya mengawal keadaan," katanya ketika dihubungi hari ini.  
   
Hamzah, yang disertai isteri, anak dan cucu di dalam feri itu, berkata feri berkenaan sarat dengan penumpang tempatan serta pelancong asing yang dalam perjalanan ke tanah besar selepas bercuti di pulau peranginan ini.
   
Beliau berkata sebaik sahaja kru berjaya mengawal keadaan, feri itu kembali ke Jeti Kuah sebelum penumpangnya dipindahkan ke sebuah feri lain untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Kedah.
   
Sementara itu, pengusaha feri berkenaan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.
   
Perkhidmatan feri adalah antara kaedah yang digunakan untuk melakukan perjalanan antara Pulau Langkawi dan tanah besar Semenanjung, selain menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur dan destinasi lain. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Fenomena Ekuinoks bukan punca cuaca panas melampau

Fenomena Ekuinoks yang dijangka berlaku di negara ini mulai minggu depan tidak akan membawa kepada perubahan cuaca melampau, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail.

Beliau berkata situasi itu hanya akan menjurus kepada peningkatan suhu antara satu atau dua darjah Celcius.

"Ini masih dikira normal dan tidak akan memberi kesan besar secara keseluruhan," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, ini merupakan fenomena biasa kerana Ekuinoks berlaku dua kali dalam setahun iaitu pada Mac dan September ketika matahari berada tegak di atas garisan Khatulistiwa, lokasi negara ini berada.

"Ekuinoks tidak beri kesan besar terhadap suhu kerana perubahan suhu banyak dipengaruhi faktor seperti pergerakan angin, hujan dan lain-lain lagi," katanya.
Suhu di Malaysia ketika ini ialah sekitar 33 hingga 35 darjah Celcius.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga  (Awer), S. Piarapakaran berkata Lembaga Urus Air Selangor (Luas) perlu memantau dengan lebih teliti paras air empangan terutama Empangan Sungai Selangor.

Menurutnya, amaran paras air empangan kritikal perlu dinaikkan daripada kadar 30 peratus sekarang kepada 50 peratus. 

Empangan Sungai Selangor membekalkan 60 peratus air ke Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. 

"Sekiranya paras kritikal ialah 50 peratus, sekurang-kurangnya tindakan drastik boleh diambil dengan cepat dalam memulihkan kembali paras air empangan," katanya. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

16 foto Sultan Kelantan ziarah pusara Tok Guru

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berangkat ke kubur bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka, hari ini.

Baginda berbaju putih tiba 6.15 petang dan meluangkan masa hampir kira-kira  15 minit membaca surah yasin dan berdoa.

Turut hadir Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Syukri Mohamad dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim.
Dalam pada itu, anak kepada Allayarham,  Nik Omar Nik Abdul Aziz yang mewakili keluarga berkata, baginda mengucapkan salam takziah kepada ibunya, Datin Tuan Sabarian Tuan Ishak  dan keluarga keseluruhannya.

Beliau mengucapkan junjung kasih kepada tuanku yang sudi meluangkan masa untuk melawat kubur ayahandanya.

Allahyarham  Nik Abdul Aziz, 84,  meninggal dunia pada 12 Februari lalu di kediamannya di Pulau Melaka selepas mengidap kanser prostat.

















Baca lagi >>

Alahai...popiah pun nak berebut

Satu protes dilakukan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, semalam bagi menegaskan bahawa kuih popiah, atau digelar lunpia di Indonesia, adalah milik negara itu dan Malaysia diminta tidak membuat sebarang tuntutan mengenainya.

Protes 'Save Lunpia' anjuran Forum Masyarakat Peduli Budaya Indonesia (Formasbudi) itu disertai puluhan peserta, menurut media negara itu.

Menurut Koordinator Formasbudi, Rahmulyo Adiwibowo, langkah itu perlu diambil bagi menegaskan bahawa popiah sebagai warisan budaya nasional Indonesia supaya Malaysia tidak mendakwa makanan itu berasal dari negara ini.

Foto: Internet
"Kerajaan Indonesia perlu mengambil langkah (awal) agar (popiah) tidak diambil Malaysia. Caranya adalah dengan menetapkan (popiah) sebagai warisan budaya nasional.

“Jangan sampai (popiah) menerima nasib seperti batik, wayang, dan lagu Rasa Sayang. Pemerintah perlu mengambil langkah (pencegahan),” katanya.

Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia pada 17 Oktober 2014 telah menetapkan popiah sebagai warisan budaya nasional.

Katanya, Pejabat Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Jawa Tengah juga akan mengusulkan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) supaya mengiktiraf popiah sebagai berasal dari Indonesia.

Beliau berkata, popiah diasaskan seorang lelaki Cina, Tjoa Thay Joe yang menetap di Semarang pada 1870.
Protes di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta
Peserta protes itu juga dilaporkan memberikan popiah Semarang kepada Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Zahrain dalam laman Twitter beliau semalam turut memaklumkan mengenai protes itu.

"Demo depan Kedutaan Besar Malaysia untuk menyelamat lunpia (popiah) Indonesia (daripada) digunakan oleh Malaysia," menurut Zahrain sambil berkongsi gambar protes itu.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Rumah satu bilik RM1.2 juta

LONDON - BRITAIN. Bunyi macam mustahil namun, hakikatnya, harga rumah dengan satu bilik di tengah kota London ketika ini berharga £280,000 (RM 1.2 juta).

Bagaimanapun, dengan harga itu, adalah perkara biasa bagi mereka yang membeli rumah di bandaraya itu, lapor Metro.uk.

Bonus bagi pembeli rumah ini, mereka memiliki kediaman yang terletak di kawasan sedang membangun di Forest Hill, Tenggara London.

Menurut ejen hartanah, Kinleigh dan Folkard, binaan rumah ini disifatkan sebagai 'terang dan lapang dengan satu bilik tidur‎ dibina di antara Honor Oak and Peckham Rye’.‎

Pembinaan rumah kecil ini juga dikatakan telah mendapat kebenaran dan perancangan penuh dari Majlis Southwark.

Selain ruang tamu, rumah ini turut dilengkapi keperluan asas lain termasuk bilik tidur, bilik mandi dan taman di bahagian depan serta belakang rumah.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Keputusan perlawanan bola sepak Liga Super semalam

Kelantan 0 - PDRM 4
Selangor 1 - JDT 1
FELDA United 2 - ATM 1
Terengganu 2 -  Sime Darby 1
Perak 2 -  Lions XII 2
Sarawak 0 - Pahang 0

IMPORT Perak, Namkung Wong (tengah) cuba melepasi halangan pemain Lions XII, Muhd Izzdin Shafiq pada perlawanan Liga Super 2015 di Stadium Perak, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya
PEMAIN FELDA United, Ahmad Syamim Yahya (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Super ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - Foto Bernama
PEMAIN sayap JDT, S Kunanlan (kiri) mengawal bola sambil dikawal import Selangor, Andik Vermansyah pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam. - Foto Bernama
PEMAIN Terengganu, Md Fakhrurazi (Kiri) mengasak pemain KL Sime Darby FC, Ivan Dragicevic pada Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Rozainah Zakaria

Baca lagi >>