Saturday, 21 February 2015

Ambil upah menghantar barang demi mencari rezeki halal

Bertemankan sebuah motosikal dan beg galas, dia bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain di sekitar Shah Alam, Selangor dan Lembah Klang untuk menghantar pesanan pelanggan.

Dalam raganya tersedia baju hujan dan alatan lain sebagai persediaan andai menghadapi sebarang masalah di tengah jalan.

Memilih untuk memberi khidmat sebagai penghantar barang, Ahmad Faizal Murtadza, 25, tidak memilih barang yang dihantar.

Daripada sekecil-kecil barang sehinggalah kepada kotak besar, dia sedia menerima upah asalkan membawa rezeki pada dirinya.

Ahmad Faizal menunjukkan beg kalis air yang digunakan bagi mengisi dokumen penting
Lebih menarik, Ahmad Faizal tidak meletakkan harga tetap bagi khidmatnya itu, sebaliknya membiarkan pelanggan memberikan upah mengikut keikhlasan hati mereka.

Dia giat mencari rezeki buat diri serta keluarga apatah lagi bakal menimang cahaya mata pertama awal bulan hadapan.

“Soal upah bukan perkara penting. Saya serahkan kepada pelanggan untuk memberi seikhlas hati mereka. Kalau dapat RM3 sehari pun, saya anggap ia sebagai rezeki.  

“Tak kisahlah apa orang nak kata. Asalkan memberikan rezeki yang halal selain membawa pengalaman kepada diri saya,” katanya.

Daripada riak wajahnya, memang tergambar rasa puas dan selesa melakukan perkhidmatan ini.

“Saya lakukan kerja ini bukan sahaja atas dasar mencari rezeki, malah lebih kepada menolong orang. Penghantaran paling jauh adalah sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Saya sedia menawarkan khidmat ini bila-bila masa sahaja sekiranya pelanggan terdesak untuk gunakan khidmat saya.

“Malah saya juga bukan sahaja menawarkan khidmat hantar barang, tetapi buat khidmat lain seperti menguruskan dokumen di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya,” katanya.

Katanya, dia memulakan tugasnya seawal lapan pagi sehingga lewat malam sekiranya masih ada permintaan dari pelanggan.

“Biasanya kalau dokumen atau barang itu penting sangat, saya akan terima juga walaupun dah malam,” katanya.


Tugas sebagai penghantar barang dipertikai

Menurutnya, ramai mempertikaikan niatnya untuk menyediakan khidmat penghantaran barang, namun ia tidak mematahkan semangatnya.  

“Ramai yang bertanya, betul ke nak buat perkhidmatan ini? Boleh hidup ke sekadar hantar-hantar barang? Tetapi saya sudah buktikan saya boleh menyara isteri saya dengan duit menjadi penghantar barang,” katanya.

Ahmad Faizal yang sudah dua bulan menyediakan khidmat tersebut berkata, hasil diperoleh tidak selalu banyak namun dia tetap bersyukur.

“Purata perolehan saya untuk setiap hari adalah sekitar RM50 hingga RM100. Bergantung kepada kerja yang saya dapat pada hari itu.

“Jika rezeki saya baik, dapatlah lebih daripada itu,” katanya.

Mengimbas sejarah hidupnya, Ahmad Faizal berkata, dia bukanlah pelajar yang boleh dikategorikan sebagai pelajar pintar.

Katanya, sesudah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia terus melanjutkan pelajaran ke Institut Kemahiran Mara Alor Setar, mengambil jurusan sijil seni bina.

“Selepas tamat pengajian, saya bekerja di restoran makanan segera selama dua tahun sebelum saya bertekad untuk membuka gerai nasi lemak bersama isteri, Aqlema Ilias, 28.

“Masa mula-mula nak mulakan perniagaan, memang kami hadapi banyak masalah. Kadang-kadang kuih dan nasi lemak tak laku sehinggakan terpaksa beralih tempat jualan beberapa kali,” katanya.

Katanya, nasibnya baik apabila mendapat ramai pelanggan ketika berniaga di Seksyen 7, Shah Alam.

“Perniagaan nasi lemak saya itu berkembang maju, tetapi saya terpaksa tangguhkan dahulu kerana keadaan isteri saya yang sarat mengandung,” katanya.


Ramai tempah makanan ke pejabat

Namun, katanya, perniagaan nasi lemak yang diberi nama Walima Cikangke itu akan diteruskan selepas isterinya melahirkan anak.

“Ramai pelanggan tetap kami bertanya kenapa sudah tidak menjual nasi lemak. Insya-ALLAH dalam tiga bulan lagi kami sambung,” katanya.

Dia kadang kala menatap skrin telefon tatkala perbualan bersama wartawan masih rancak berjalan.

“Saya iklankan khidmat penghantaran barang ini melalui laman sosial Facebook dan syukur sambutan yang diterima amat positif. Biasanya waktu makan tengah hari, saya adalah orang paling sibuk kerana ramai pekerja yang menempah makanan dari pejabat. Jadi saya perlu menghantar kepada mereka.

“Sekejap lagi saya perlu ke Universiti Kebangsaan Malaysia pula untuk hantar barang kepada pelanggan di sana,” katanya sambil menunjukkan maklumat dan alamat penghantaran barang di skrin telefon bimbitnya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Di sebalik tabir pembikinan filem Dragon Blade

BUKAN setahun, bukan dua tahun, tetapi tujuh tahun digunakan Datuk Jackie Chan untuk mencari idea, dan menyiapkan naskhah filem epik terbaru terbitan dan lakonannya, Dragon Blade.

Kini pemilik nama sebenar Chan Kong-sang ini, sudah boleh menarik nafas lega apabila filem bernilai RM233.93 juta arahan Daniel Lee itu sudah mula menemui penonton di China, Malaysia dan beberapa negara lain sejak 19 Februari lalu. Manakala filem ini akan ditayangkan di Hong Kong pada 12 Mac ini.

Tidak sekadar menjadi penerbit dan pencetus idea, filem yang memperlihatkan Jackie sekali lagi bertindak selaku pengarah aksi ini, turut ditayangkan di beberapa buah negara lain seperti Hong Kong, Thailand, Taiwan, Singapura, Korea dan banyak lagi.

Selain Jackie, filem ini juga menampilkan nama-nama besar dalam industri perfileman, terutamanya penglibatan dua artis terkenal, John Cusack dan Adrien Brody.

Ia juga turut dibantu oleh bintang terkenal Korea yang juga ahli Super Junior, Choi Si-Won bersama dua aktres dari China, Lin Peng dan Mika Wang.

Jackie yang memegang watak sebagai Huo An berkata, filem ini dijayakan oleh 700 orang kru bekerja keras untuk menghidupkan suasana tandus pemerintahan Dinasti Han di China sekitar tahun 206 hingga 220 sebelum Masihi.

“Sejak hari pertama lagi kami berdepan pelbagai cabaran di Padang Pasir Gobi, China. Ribut pasir yang tidak menentu bersama cuaca panas 41 darjah Celcius pada siang hari dan kosong pada sebelah malamnya sudah menjelaskan kesukaran itu.

“Kami terpaksa bekerja keras untuk menyiapkan filem ini. Selain terpaksa berurusan dengan kru yang datang daripada pelbagai bangsa, suhu dan cuaca di lokasi penggambaran iaitu di Gurun Gobi, Mongolia juga tidak menentu.

“Pujian harus diberikan kepada para pelakon yang terlibat dalam filem ini kerana memberikan komitmen yang baik, walaupun terpaksa berkeras sedikit,” jelasnya.

Sementara itu, pelakon Hollywood, Cusack yang memegang watak sebagai Lucius, seorang Panglima Rom menyifatkan penglibatannya dalam filem ini adalah sesuatu yang telah lama diimpikan.

“Saya dari Chicago, bukan Hollywood (ketawa). Hollywood hanyalah idea tetapi semua duit sebenarnya datang dari negara China. Hollywood adalah sebuah tempat yang boleh saya katakan ‘muzium’ di mana terkumpulnya orang-orang hebat dan popular.

“Filem adalah filem. Saya membesar dengan filem, saya melihat perkembangan filem. Saya sering mendengar tentang Jackie Chan, tentang aksi dan keberanian beliau.

“Ramai mengagumi beliau termasuk saya. Peluang dapat bekerja dengan beliau sesuatu yang sangat diimpikan. Satu pengalaman baru apabila dapat menjalani penggambaran di China lebih-lebih lagi Jackie mengajar saya koreografi untuk babak berlawan," katanya.

Bagi pemenang pelakon Terbaik Anugerah Oscar, Brody pula yang turut berseloroh bahawa dia bukan berasal dari Hollywood, sebaliknya dari New York, berasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Jackie.

“Saya rasa bertuah dapat terlibat sama dalam filem ini, apatah lagi dapat berlakon dengan Jackie. Ia bagaikan angan-angan semasa saya kecil kini jadi kenyataan.

“Sepanjang di set saya dapat mengenali lebih dekat siapa beliau dan mempelajari skil berlawan dengan beliau. Bagi saya watak kali ini mencabar kerana melibatkan babak berlawan dan Jackie banyak memberi tunjuk ajar.

“Ada babak saya perlu berteriak pada ribuan tentera saya, ia bukan sesuatu yang mudah untuk menjerit sekuatnya. Satu lagi cabaran apabila kami terpaksa menjalani penggambaran di bawah terik matahari yang suhunya 41 darjah Celsius dan satu ketika apabila set dilanda
ribut debu.

“Walaupun berdepan dengan cabaran tetapi pengalaman yang kami peroleh itu cukup bermakna dan berbaloi”, katanya yang memegang watak sebagai Tiberius.

Filem Dragon Blade diilhamkan dari lagenda misteri di sebuah bandar China berhampiran sempadan utara China di mana ianya didakwa telah didiami oleh keturunan tentera Empayar Rom.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Ketuk cermin kereta paksa beri RM2

Awas! Senario pengemis mengetuk cermin kereta semasa anda berada di tempat letak kereta kini mula menular  di Bandaraya Kuala Terengganu.

Lebih menghairankan remaja yang berlagak pengemis itu seperti normal, tiada kecacatan anggota badan malah berpakaian bersih, lengkap bertudung dan membawa beg tangan.

Sinar Harian difahamkan, remaja tersebut akan minta RM2 sahaja dan sekiranya wang diberikan tidak mencukupi dia akan mengetuk berkali-kali sehingga dapat apa yang diperoleh.

Tinjauan di lot parkir di hadapan Pasar Besar Kedai Payang dekat sini mendapati remaja perempuan  terbabit aktif melakukan aktiviti mengemis jam 10 hingga 11 pagi.

Seorang mangsa, Naziah Mustafa, 37, yang ditemui selepas wanita itu didekati pengemis terbabit berkata, dia didatangi remaja perempuan ketika baru sahaja memarkir keretanya di hadapan Pasar Besar Kedai Payang,

“Saya masa itu nak cepat, dia berdiri di sisi kereta sambil ketuk cermin beberapa kali dan menadah tangan.. saya bagi dia RM1 tapi dia berikan isyarat minta tambah.. bila bagi RM2 baru dia beredar.

"Saya dapati dia juga mendekati kereta lain dan melakukan perkara serupa namun saya tak tahulah mereka bagi ke tak duit kepada remaja itu," katanya.

Kata Naziah, dia tidak pernah alami kejadian seperti itu dan takut berhadapan situasi itu, bimbang jika remaja berkenaan bertindak agresif sekiranya permintaannya tidak ditunaikan.

Bagaimanapun usaha Sinar Harian untuk mendekati remaja itu tidak berjaya kerana dia terlebih dahulu melarikan diri.


Lebih bahaya dari pengemis kaki lima

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Terengganu, Zainal Omar apabila ditanya berhubung senario tersebut, beliau kata, keadaan itu lebih bahaya berbanding pengemis di kaki lima.

"Remaja itu seakan mengugut dan menimbulkan ketakutan kepada individu yang ditemui," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang melihat peminta sedekah sebegini terus berhubung dengan pihaknya. 

Zainal khuatir berlaku sesuatu yang tidak diingini sekiranya ada yang tidak memberi apa yang diinginkan remaja berkenaan.

“Dia (pengemis itu) seolah-olah memberi ugutan dan boleh mendatangkan kecederaan kepada orang ramai, berbanding pengemis yang duduk di kaki lima yang hanya meraih simpati.

“Kita (JKM) sentiasa mempergiatkan operasi bagi membanteras pengemis dan gelandangan yang berkeliaran di Bandaraya Kuala Terengganu bagi memastikan bandar raya ini bersih,” katanya.


Dana cukup untuk bantu pengemis

Menurut beliau, pihaknya optimis dalam usaha mengurangkan kutu raya di bandar raya ini dari masa ke masa dengan kerjasama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Menurutnya, isu pengemis di negeri ini tidak pernah selesai walaupun pelbagai usaha dan tindakan penguatkuasaan dilakukan oleh agensi kerajaan terlibat.

Menurutnya, walaupun persepsi masyarakat terhadap tindakan penguatkuasaan menghalang mereka melakukan aktiviti mengemis sebagai tindakan kejam, namun, kita sebenarnya mempunyai peruntukan mencukupi untuk membantu mereka.

“Selain kerajaan pusat, kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) juga punyai dana yang mencukupi untuk bantu golongan sebegini.

“Jika mereka tiada tempat tinggal, kita mempunyai rumah perlindungan orang tua dan kanak-kanak,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Lebih 10 000 membanjiri kuliah Ustaz Azhar Idrus di Masjid Tok Guru

Kebanjiran lebih 10,000 orang pada Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus (UAI) malam kelmarin di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka mengotakan impian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya program keilmuan sentiasa dihidupkan biarpun beliau sudah tiada.

Sebelum sesi ceramah dimulakan, hadirin membacakan al-Fatihah dan disedekahkan kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz yang meninggal dunia pada 12 Februari lalu akibat kanser prostat.

Anak Allahyarham, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, program keagamaan tersebut telah dirancang awal dan ia mendapat keizinan ayahnya sebelum ini.

“Kita rancang kuliah ini semasa ayah masih ada lagi, namun kita redha dengan ketentuan ALLAH SWT apabila ayah menghadap Ilahi. Kita yang masih ada inilah akan teruskan kesinambungan legasi keilmuan yang ayah lakukan selama ini.

“Saya masih ingat, arwah Tok (bapa kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz) pesan, ayah mesti mengajar (sampaikan kuliah) sampai bila-bila.  Sehingga akhir hayatnya, itulah amanatnya kepada kami supaya imarahkan masjid dengan kuliah setiap masa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Nik Omar  juga berhasrat menjadikan penganjuran kuliah agama itu sebagai program bulanan dan berbesar hati sekiranya UAI dapat memenuhinya mengikut masa yang bersesuaian.

“Kita akan jemput ustaz lain juga untuk mengajar kerana dengan cara beginilah, kita dapat memakmurkan Masjid Tok Guru  sama seperti ketika zaman ayah masih ada lagi. Ini semua untuk kita sentiasa mendekatkan diri kepada pencipta-Nya.

“Dengan izin ALLAH SWT, malam tadi (kelmarin) ramai datang, bersesuaian dengan cuti Tahun Baharu Cina dan juga kerana orang ramai masih mengingati pemergian Tok Guru,” katanya.

Ceramah selama dua jam di Masjid Tok Guru bersama penceramah bebas itu menyentuh mengenai istinjak dan merungkaikan pelbagai kekeliruan menerusi sesi soal jawab yang dijelaskan secara santai serta menepati syariat.

Selain masjid dipenuhi orang ramai, kawasan sekitar kediaman Allahyarham termasuk bangunan belum siap juga dijadikan tempat mendengar ceramah, sehingga menyebabkan lalu-lintas sesak sejauh kira-kira dua kilometer.

Sementara itu, UAI dalam ceramahnya juga melahirkan rasa bersyukur dengan kedatangan orang ramai untuk bersama-sama berkongsi ilmu agama sebagaimana hasrat Allahyarham supaya menghidupkan kuliah keagamaan.

Dalam masa sama, beliau kecewa dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan kenyataan tidak benar mengaitkan pemergian Allahyarham Nik Abdul Aziz.

Sementara itu, sebagaimana tersebar menerusi laman sosial, penceramah bebas itu juga mengharapkan ‘pusaka’ Tok Guru iaitu bantal, kain penutup keranda dan selimut yang hilang ketika pengebumian Jumaat lalu dapat dikembalikan semula kepada ahli keluarga Allahyarham.

Sinar Harian
























Baca lagi >>

Sepatutnya PM tak perlu jawab dakwaan Sirul

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya tidak perlu menjawab ketika diajukan soalan mengenai kenyataan bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar bahawa dia diarah pihak atasan dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Ketua Jabatan Komunikasi Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, pastinya jawapan ‘mengarut’ yang diberikan Najib mengenai isu itu boleh menimbulkan pelbagai tanggapan.

“Polemik timbul apabila cara Najib jawab seolah-olah ingin mengetepikan persoalan tersebut atau menidakkan kemungkinan tentang perkara itu.

“Secara profesional sepatutnya, Najib jawab pertanyaan itu tidak sesuai ditanya dalam konteks tersebut dan mungkin perlu dijawab dalam keadaan lain atau pada sidang media yang lebih tersusun,” katanya.

Kata Mohd Khairie, pada pandangannya, jawapan Najib ketika itu mungkin reaksi spontan disebabkan beliau tidak bersedia menjawab soalan tersebut.

“Cara Najib jawab, saya letakkan dia dalam konteks keadaan semasa majlis itu yang kurang selesa atau mungkin beliau ingin untuk meneruskan acara atau beredar.

“Walau bagaimanapun, disebabkan ini kes berprofil tinggi, sebagai penganalisis komunikasi saya lihat tidak sesuai Najib mengetepikan pertanyaan tersebut dengan cara demikian,” katanya.

Menurutnya, ini kerana Najib sendiri pernah dikaitkan dengan kes tersebut.

Sementara itu, Mohd Khairie turut menyokong pandangan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa polis tidak seharusnya mengetepikan dakwaan baharu yang diberikan individu yang terlibat dengan kes tersebut.

“Pihak berkuasa termasuk polis, jangan cepat melatah dan dengan mudah mengetepikan semua ini.

“Sewajarnya polis nilai kewajaran dan sejauh mana fakta-fakta itu boleh dikaji, sama ada untuk dibuka semula atau perlu diberi perhatian.

“Bukan dengan cara menolak dengan mudah,” katanya.

Oleh itu kata Mohd Khairie, penting bagi kerajaan mengeluarkan satu kenyataan rasmi untuk memberi pencerahan terhadap perkara tersebut.

“Kes ini sedang diperhatikan seluruh dunia. Jadi ada kewajaran Pejabat Peguam Negara boleh berbincang dengan kerajaan dan perlu ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa.

“Sekiranya ini tidak dilakukan, persepsi dunia akan beri kesan kurang baik kepada Malaysia walaupun keputusan mahkamah telah diperoleh,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Sebab mengapa tiada majlis tahlil untuk Allahyarham Tok Guru...

"Enta dari mana?" "Ana dari UIA".

"Alhamdulilah…belajar bersungguh-sungguh. Jangan jemu. Buat kerja dakwah".

Begitulah lebih kurang antara dialog kami 14 tahun lepas. Kenangan pertemuan kali pertama di Masjid Pulau Melaka, selepas solat Asar itu kembali menggamit memori.

Saya ditemani sahabat saya, Amin Idris, bertolak dari Kuala Lumpur ke Kelantan semata-mata untuk menziarahi beliau.

Selama ini hanya menatap wajahnya dari kaca televisyen dan dada akhbar. Mendengar suaranya melalui kaset-kaset ceramah beliau. Petang itu, saya dapat bersalaman dan bersembang secara langsung dengan beliau.

Tanpa temu janji. Tanpa surat. Tanpa protokol. Tanpa pengawal. Selepas beliau mengimami solat Asar, berkain pelekat berbaju Melayu dan berkopiah putih, saya dapat bertemu Menteri Besar Kelantan, yang lebih mesra dipanggil Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Pertemuan terakhir

Tanngal 7 Januari 2015, adalah kali terakhir saya bertemu, menatap wajah dan bersalaman dengan beliau. Saya bersama Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan ditemani adinda Tok Guru, Nik Nasim berpeluang menziarahi beliau di Hospital USM.

Tatkala melangkah masuk ke bilik rawatan, perasaan sebak tidak mampu disembunyikan lagi. Melihat beliau yang terbaring keuzuran, memandang kami dengan wajah yang sayu, lemah mengangkat tangan mungkin tanda menyambut kedatangan kami.

Bibir ini tidak terungkap kata-kata. Saya hanya mengucapkan salam dan kami bersalaman. Tangan beliau saya kucup penuh kerinduan.

Mungkinkah ini kali terakhir saya bersalaman dengannya? Persoalan ini bermain di fikiran. Perasaan sebak semakin meluak-luak.

Sepanjang berada di bilik rawatan, saya hanya menatap wajah beliau sambil mulut memanjatkan doa agar disembuhkan dan dipermudahkan segala urusannya.


Berita hiba

12 Februari 2015, 9.40 malam, malam Jumaat, detik ini begitu hiba sekali. Berita kematian beliau begitu berasa. Selepas 84 tahun, Tok Guru pergi buat selama-lamanya bertemu Sang Pencipta, ALLAH SWT. Perpisahan ini amat berat sekali.

Tidak keterlaluan rasanya jika saya katakan, rakyat Malaysia bersedih atas kehilangan sebutir permata yang sukar untuk dicari ganti semula.

Kita kehilangan seorang ilmuwan yang disegani, pemimpin yang amanah, tokoh politik yang berprinsip, pejuang sunnah yang kental dan ahli zuhud lagi warak. Kita kehilangan murabbi ummah.

Seluruh kehidupannya disumbangkan kepada perjuangan dakwah menegakkan sunnah Rasulullah SAW, mentarbiahkan rakyat agar berasai hidup beragama, sentiasa mengajak supaya mengutamakan ajaran al-Quran dan sunnah Rasul-Nya dalam segenap aspek kehidupan termasuklah dalam urusan politik dan pemerintahan.

Jika diselusuri sejarah kehidupan beliau, tidak sedikit cabaran dan dugaan yang dihadapi. Dimaki, dicemuh, difitnah, dituduh sebagai kaum muda dan Wahabi, disekat, ditindas, dizalimi dan pelbagai lagi telah beliau rasai.

Itu semua tidak memadamkan semangat perjuangan beliau. Beliau terus berjuang sehingga ke hembusan nafas terakhir.

Namun, insan tetap tidak dapat lari dari hakikat insan. Tidak sempurna dan adanya kekurangan. Namun, kita dapat lihat, Tok Guru telah berusaha sehabis baik yang beliau mampu dalam memartabatkan Islam sepanjang hayat beliau sebelum dan semasa memegang tampuk kepimpinan Kelantan dan sebagai Mursyidul Am Pas.

Ramai yang sayang dengan Tok Guru. Ramai yang sedih dengan pemergian beliau. Lihatlah sahaja di hari kematiannya, puluhan ribu yang hadir untuk solat jenazah.

Belum dikira lagi yang solat jenazah ghaib dalam mahupun luar Malaysia. Ucapan takziah daripada pelbagai bangsa dan agama. Tanpa dibayar, tanpa diupah, tanpa dipaksa, mereka melakukan semua ini. Mudah-mudahan ini sebagai lambang ganjaran kebaikan yang diperoleh Tok Guru di sana.


Tiada talkin, kenduri tahlil?

Ada juga beberapa persoalan yang timbul apabila melihat pengurusan jenazah Tok Guru. Ada yang bertanya, mengapa tidak dibaca talkin selepas dikebumikan?
Mengapa tidak ditabur bunga dan disiram air atas kubur beliau?

Mengapa kawasan perkuburan tersebut tidak ada binaan kubur? Mengapa ahli keluarga beliau tidak mengadakan majlis tahlil dan kenduri arwah? Mengapa dan mengapa…

Ini bukanlah suatu yang pelik dan menghairankan. Sebenarnya inilah inti pati perjuangan dakwah beliau selama ini. Tok Guru sentiasa mengingatkan kita supaya memastikan akidah, ibadah, akhlak dan termasuk juga berpolitik berpandukan dalil yang sahih, bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW. Tok Guru mengajar kita semua supaya mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dan tinggalkan segala kesyirikan, khurafat, bidaah dan adat resam yang bercanggah dengan syariat.

Semasa hayatnya, beliau begitu memastikan agar urusan ibadah dan kehidupannya bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW, begitu juga beliau mahukan dalam urusan kematiannya. Alhamdulilah, ia dilaksanakan ahli keluarganya sekadar yang mampu.


Haram meratapi kematian

Contohnya, berdasarkan ajaran Rasulullah SAW, kita diharamkan untuk meratapi kematian (al-niyahah). Imam al-Zahabi di dalam al-Kabair menyenaraikannya sebagai dosa besar.

Hukum ini berdasarkan hadis yang melarang keras perbuatan ini. Antaranya ialah: "Dua perkara jika berlaku kepada manusia adalah kufur: mencela nasab keturunan dan meratapi ke atas mayat". (Riwayat Muslim, no 224)

Imam Al-Nawawi menghuraikan maksud hadis ini: 1) Kedua-dua perbuatan tersebut adalah amalan orang kafir dan merupakan akhlak jahiliah. 2) Perbuatan ini membawa kepada kufur. 3) Kufur (yang dimaksudkan ialah) kufur nikmat dan ihsan. 4) Jika ia mengharuskan perbuatan tersebut, maka ia menjadi kafir. (al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Beirut: Dar al-Ma’rifah, m/s 245)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya mayat diazab dalam kubur disebabkan ratapan ke atasnya". (Riwayat al-Bukhari, no 1292 & Muslim no 927)
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani telah memberikan huraian yang panjang terhadap maksud hadis ini. Kesimpulannya, hal ini disebabkan si mati tidak mengajar dan berpesan kepada ahli keluarganya mengenai larangan ini. Maka keluarganya melanggar larangan ALLAH, lalu meratapi kematiannya. (Rujuk: Al-Asqalani, Fath al-Bari, Riyadh: Dar al-Salam, m/s 192-205)

Adat ahli keluarga mengadakan jamuan atau dikenali sebagai 'kenduri arwah atau majlis tahlil' termasuk dalam perkara meratapi kematian (al-niyahah).

Hal ini disebut sendiri oleh sahabat Rasulullah SAW; Jarir bin Abdullah al-Bajali: "Adalah kami menganggap berkumpul di rumah si mati dan menyediakan jamuan makanan adalah termasuk di dalam meratapi kematian". (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya (no.6905), Ibn Majah dalam Sunannya (2/2275). Disahihkan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (5/290). Di sahihkan juga oleh Syaikh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah (2/48).

Dalam ilmu hadis, jika mana-mana perkataan daripada sahabat Nabi Muhammad SAW yang menggunakan lafaz seperti "kami disuruh untuk melakukan sesuatu" atau  "kami dilarang daripada sesuatu" atau "adalah kami mengatakan" atau "kami melakukan sesuatu" dan yang sama maksud dengan lafaz ini, perkataan tersebut dihukumkan sebagai hadis marfu’ (sanadnya sampai kepada Rasulullah).

Ulama mazhab Syafie

Dalam hal ini, ulama Mazhab Syafie menyeru kepada perkara yang sama. Mereka melarang untuk diadakan majlis yang kita kenali sebagai kenduri arwah atau kenduri tahlil.

Sebagai contoh, Imam Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyebut: "Telah berkata pengarang kitab al-Syamil: Ada pun perbuatan ahli keluarga si mati yang menyediakan makanan dan menghimpunkan orang ramai (untuk jamuan tersebut), tidak pernah dinukilkan daripada Nabi SAW sedikit pun, dan ia adalah bidaah yang tidak disukai".

Ramai lagi ulama Mazhab Syafie yang menyebut perkara yang sama termasuk ulama Melayu Nusantara.

Contohnya, Syaikh Daud bin Abdullah al-Fatani dalam Furu’ al-Masai’l menyebutkan: "…dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh harinya dan dua puluh dan empat puluh dan apa yang demikian itu haram atau makruh atau harus (dijawabnya) adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela pada syarak kerana tegah pada syarak".

Apa pun, semua yang Tok Guru pesan kepada anaknya bagaimana untuk menguruskan jenazahnya, adalah manifestasi cinta dan sayang beliau kepada sunnah Rasulullah SAW.

Kematian Tok Guru menghidupkan banyak perkara. Menghidupkan kesedaran. Menghidupkan keinsafan. Menghidupkan erti perjuangan. Menghidupkan prinsip amanah dan keadilan. Menghidupkan erti zuhud dan ketakwaan. Menghidupkan sunnah Rasulullah SAW yang dipinggirkan.

Semoga Tok Guru diampuni, dirahmati dan diganjari syurga al-Firdaus.

*Penulis ialah mantan pensyarah Jabatan School of Social Science  (Kolej Islam Antarabangsa). Berkelulusan sarjana dan ijazah sarjana dalam bidang ilmu wahyu, al-Quran dan Sunnah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sekarang bertugas sebagai perunding latihan dan motivasi di AITC.

Baca lagi >>

Berjalan kaki 2 1/2km untuk ke masjid setiap hari

Demi berkongsi ilmu agama, pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Al Fairosz sanggup berjalan kaki menerima undangan masyarakat setempat kerana masih tidak mempunyai kemudahan kenderaan.

Maahad yang ditubuhkan pertengahan tahun lalu dengan dua pelajar kini mencecah 23 orang sebenarnya sukar bergerak untuk melakukan aktiviti berkaitan kerana terpaksa bergantung kepada pihak lain.

Mudir maahad berkenaan, Fais Rosli berkata, pelajar terbabit bagaimanapun tidak pernah merungut kepenatan malah mereka berjalan kaki bersama-sama ke lokasi yang dijanjikan.

“Sudah menjadi rutin kami berjalan sejauh dua setengah kilometer setiap hari untuk menunaikan solat di Masjid Permatang Badak tetapi itu tidak menjadi halangan mereka beribadah,” katanya.

Menurutnya, ada juga dalam kalangan mereka yang nampak kepenatan  berjalan dari maahad yang terletak di kawasan Perumahan Bukit Rangin Perdana.

“Memang mereka boleh berjalan dalam kumpulan dan dilihat menjadi rutin namun kita  sedang berusaha  mendapatkan sebuah van bagi mengurangkan beban pelajar dan menjimatkan masa,” katanya.

Katanya, ada ketika, mereka terpaksa berjalan sehingga tiga kilometer bagi menghadiri majlis keagamaan atau jemputan penduduk setempat.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpul dana untuk membeli kenderaan sesuai dengan jumlah pelajar.

“Selepas berbincang, kita bersetuju untuk mendapatkan sebuah van yang mempunyai 18 tempat duduk tetapi masih belum berkemampuan kerana harganya dianggarkan bernilai RM123,000,” katanya.

Katanya, kenderaan itu diharap boleh digunakan untuk mereka berulang-alik ke Temerloh bagi aktiviti agama yang dilaksanakan dua bulan sekali.

Justeru, katanya, bagi memenuhi hasrat berkenaan, mereka yang mahu memberi sumbangan boleh berbuat demikian melalui cek ke akaun Maahad Tahfiz Bustanul Al Fairosz (556226406825)melalui Maybank.

Maahad Tahfiz Bustanul Al Fairosz adalah  pusat pendidikan agama yang sepenuh masa menumpukan perhatian kepada hafazan al-Quran, fekah, Hadis dan syariah manakala Sabtu dan Ahad untuk aktiviti kokurikulum.

Sinar Harian

Baca lagi >>