Thursday, 19 February 2015

Tok Guru pemimpin yang bersahaja tetapi berpendirian tegas

‘Jaga maruah, jangan sampai bila ALLAH SWT benci maka semua aib kita ditelanjangi yang menyebabkan kita hilang harga diri’, itulah antara pesanan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) yang tidak akan dilupakan Setiausaha Pas Kawasan Pasir Puteh, Zainuddin Awang Hamat.

Zainuddin berkata, walaupun ketika menjadi Menteri Besar (MB), arwah bersifat seperti bapa kepada wakil-wakil rakyat dan pimpinan Pas.

“Sebagaimana bapa menasihati anak-anak agar berkelakuan baik, begitulah sikap Tok Guru terhadap saya dan mungkin juga kepada pimpinan lain.

“Dia agak telus, tak suka berahsia kepada rakyat kecuali perkara membabitkan dasar parti dan kerajaan yang menyebabkan kita mengetahui isi hatinya,” katanya.

Zainuddin dan Wan Hassan bersama-sama Tok Guru
Zainuddin yang juga bekas Adun Limbongan berkata, Tok Guru merupakan seorang pemimpin bersahaja tetapi berpendirian tegas dan berani menghadapi apa jua situasi dalam menegakkan kebenaran.

Tetap ada hubungan baik

Katanya, walaupun tidak lagi bergelar Yang Berhormat, dia dan Tok Guru tetap mempunyai perhubungan baik sehinggalah Tok Guru menghembuskan nafas terakhir.

“Tok Guru pasti meluangkan masa menziarahi saya di hospital dan detik paling menyentuh hati bila melihat Tok Guru sendiri terlantar di wad.

“Dia tokoh abad ini. Pemergiannya merupakan kehilangan besar bagi pejuang Islam, semoga rohnya ditempatkan bersama orang yang dirahmati ALLAH,” katanya.

Tak kekok berbincang dengan Tok Guru

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Puteh, Wan Hassan Wan Ibrahim turut mengakui bahawa Tok Guru sering menasihatinya dalam apa jua perkara.

Wan Hassan berkata, nasihat yang sering diulang adalah supaya saya bersabar dengan apa jua halangan serta istiqamah dalam perjuangan.  

“Walaupun dia merupakan pemimpin besar, ada ketikanya pandangan kita diambil kira yang menyebabkan kita merasakan ini satu penghormatan yang diberikan.

“Tidak kekok untuk berbincang sesuatu perkara dengannya walaupun berkaitan hal peribadi dan luahan hati kita ‘disimpan baik-baik’ sehingga suatu masa dia akan kembali bertanya mengenainya," katanya.

Katanya, Tok Guru sering menghubunginya secara peribadi untuk bertanya khabar apa perkembangan mengenai sesuatu perkara.

“Kita kehilangan tokoh yang sukar dicari ganti, tokoh disukai rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Sifat-sifatnya yang prihatin dan sederhana tapi berjaya merubah landskap politik negara perlu diwarisi," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh menjadi MB Kelantan, Tok Guru melakukan banyak pembaharuan dan perubahan yang disenangi rakyat sehingga apa yang dipraktikkan menjadi ikutan di negeri-negeri lain.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Bekas YB pun layak terima BR1M?

Kerajaan Melaka akan membentangkan cadangan untuk mengkaji semula elaun saraan wakil rakyat yang sedang berkhidmat di negeri ini pada persidangan Dun sesi kedua, Mac ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, langkah itu diambil berikutan terdapat bekas wakil rakyat di negeri ini menerima wang pencen serendah RM1,250 sebulan sehingga membariskan mereka layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Malah, katanya, keadaan itu perlu dilihat secara serius dan menyarankan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) peringkat kebangsaan menyuarakan isu berkenaan kepada kerajaan.

“Saya mencadangkan supaya Enakmen Anggota Pentadbiran dan Adun (Saraan) ini dibawa ke Sidang Dun pada sesi kedua nanti bagi menimbang semula elaun saraan wakil rakyat yang sedang berkhidmat, sekali gus memberi kesan positif kepada yang bersara.

“Saya mengharapkan tiada sebarang masalah besar ketika membentangkan enakmen ini nanti. Kalau dipersetujui, ia akan dilaksanakan mengikut kekuatan dan keupayaan kita,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Mubarak di Taman Indah, Bukit Sebukor, di sini semalam.

Turut hadir, Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Rahman.

Idris berkata, usaha yang sudah mendapat persetujuan barisan Exco Kerajaan Negeri itu membantu menangani kos sara hidup wakil rakyat sedang berkhidmat dan menjaga kebajikan mereka dan keluarga apabila sudah bersara nanti.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Dragon Blade filem terbaharu Jackie Chan ditayangkan di pawagam bermula hari ini

HAMPIR enam dekad beraksi di pentas lakonan sekali gus membawa namanya ke tahap yang tersendiri, bakat selebriti antarabangsa ini turut mendapat pengiktirafan di negara kita.

Baharu sahaja menerima anugerah darjah kebesaran Panglima Mahkota (PMW) oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Istana Negara, Datuk Jackie Chan adalah selebriti antarabangsa ketiga yang menerima gelaran ini.

Membawa gelaran Datuk sejak 1 Februari lalu, ia semestinya memberi semangat baharu buat aktor hebat ini dalam terus beraksi di layar perak.

Pun begitu, gelaran yang diterima tidak memberi apa-apa perubahan dari segi kehidupan peribadi pelakon ini malah sambutan untuk Tahun Baru Cina juga tidak menjadi prioriti dalam hidupnya.

Akui pemilik nama sebenar, Chan Song Kang, 60, ini kerjaya adalah perkara yang paling penting dalam hidupnya berbanding merayakan sambutan Tahun Baru Cina.

Menerusi portal Yahoo! Singapura, dia bukanlah seorang yang sangat mementingkan keluarga di musim perayaan kerana baginya, masa untuk keluarga sentiasa ada.

"Kerjaya saya sebagai pembikin filem adalah lebih penting daripada sambutan perayaan. Untuk perayaan, perkara yang diutamakan adalah bertemu dengan keluarga dan pada saya, untuk bertemu ianya bukan hanya tertakluk pada waktu perayaan sahaja.

Hari ini, esok atau lusa sama sahaja.

"Berbeza pula dengan kerja-kerja di lokasi di mana kita akan berjumpa dengan orang yang berbeza. Malah, dalam filem, apabila penggambaran itu tamat, kita sudah tidak berjumpa dengan mereka lagi.

"Untuk keluarga, bila-bila masa sahaja ada waktu untuk berjumpa. Sebab itu saya rasakan, kerja lebih penting," katanya lagi.

Melihat kepada kenyataan yang dikeluarkan, ramai yang menganggap aktor ini seakan meluahkan rasa yang terbuku di hati ekoran penahanan anaknya, Jaycee Chan selepas didapati bersalah dan di hukum penjara enam bulan atas kesalahan menyimpan
dadah jenis marijuana di apartmennya.

Walaupun kini anaknya telah dibebaskan, namun ia tetap meninggalkan kesan yang mendalam buat pelakon filem, Twin Dragons ini.

"Saya rasa, tempoh dalam penjara yang dikenakan ke atasnya sudah cukup untuk memberi kesedaran betapa pentingnya masa depan kita.

"Bagi saya, hukuman itu cukup setimpal dengan apa yang telah dia lakukan dan apa yang pasti, dia bukan kanak-kanak lagi yang tidak tahu apa-apa," katanya lagi.

Kerja keras demi Dragon Blade

Dalam perkembangan seni pula, peminat selebriti ini boleh menyaksikan aksi lakonannya menerusi filem, Dragon Blade, mulai hari ini di seluruh pawagam.

Turut menjelajah ke Kuala Lumpur dan Singapura untuk mempromosikan filem terbaharu terbitannya itu, Jackie memberitahu filem epik yang diangkat dari kisah benar itu adalah karya yang sukar untuk diterjemahkan di layar.

Turut membintangi karya tersebut, Jackie yang memegang watak sebagai Huo An memberitahu, seramai 700 kru ditugaskan untuk menghidupkan latar pemerintahan Dinasti Han di China sekitar tahun 206 hingga 220 sebelum Masihi.

"Kami bekerja keras untuk menghasilkan filem ini walaupun terpaksa berurusan dengan kru yang datang dari pelbagai bangsa. Selain berdepan dengan kekangan masa, kami juga berdepan dengan cuaca yang tidak menentu di lokasi penggambaran, Gurun Gobi dan Mongolia.

"Pembikinan filem ini bukanlah sesuatu yang mudah malah, saya menghabiskan masa selama tujuh tahun untuk menyiapkannya dan diserahkan kepada pengarah, Daniel Lee, untuk divisualkan.

"Namun, saya beruntung kerana mempunyai tenaga kerja yang komited dan aksi-aksi yang dirakam amat memuaskan hati saya. Penonton boleh menilai sendiri hasil kerja keras kami di pawagam," katanya lagi.

Filem epik ini mengisahkan mengenai Huo An, seorang komander Skuad Penyelamat yang ditugaskan memelihara Laluan Sutera pada era Dinasti Han.

Konflik bermula apabila Huo An memberi tempat perlindungan kepada seorang jeneral berbangsa Rom bernama Lucius (John Cusack) yang melarikan diri daripada Tiberius (Adrien Brody) kerana berebut takhta daripada adik bongsunya, Publius.

Ekoran daripada amarah, dendam dan pembelotan, 36 buah negara di Laluan Sutera bergabung, menentang Tiberius dan angkatan tenteranya.


Profil

Nama Penuh : Chan Song Kang
Tarikh Lahir : 7 April 1954
Tempat Lahir : Victoria Peak, British Hong Kong
Kerjaya : Pelakon, Pengarah, Penerbit, Penyanyi, Penulis Skrip
Anak : Jaycee Chan, Etta Ng

Sinaar Harian

Baca lagi >>

Foto rumah mangsa banjir yang sudah dibaiki, mari teruskan menyumbang, rebut saham akhirat

Rumah rosak akibat banjir yang siap dibaiki oleh Yayasan Darul Hijrah melalui dana sumbangan online oleh rakan rakan FB. Bagi teman-teman yang ingin menyumbang boleh berbuat melalui Yayasan Darul Hijrah, akaun

Maybank 
5660 1060 9934

dan email maklumat sumbangan ke darulhijrahmalaysia@gmail.com 
dan sms atau WhatsApp ke 018-359 0403.

Sumbangan anda membawa erti yang besar untuk meringankan beban saudara mara kita.

Dato Haji Husam Musa













Baca lagi >>

8 hari tiada bekalan air bersih di Kg. Sg. Rambai Raub


Penduduk Kampung Sungai Rambai terkilan apabila selama lapan hari ketiadaan air, tidak pernah sekali pun mereka menerima bekalan air bersih dari lori tangki yang membuat penghantaran air.

Penduduk, Hasmah Harun, 41, berkata, lebih mengelirukan, lori tangki air itu ada melalui hadapan rumah Hasmah dan jirannya, namun tidak mengisi air ke dalam tong biru yang diletakkan di hadapan rumah.

Menurutnya, malah sejak hari pertama ketiadaan air, suaminya tanpa putus-putus menghubungi pihak Pengurusan Air Paip Berhad (Paip) agar datang menghulurkan bekalan air bersih kepada mereka.

“Sekitar 20 hingga 30 penduduk terima nasib sama, dan saya mewakili penduduk kampung berharap perkara ini tidak dipandang remeh oleh pihak bertanggungjawab.

“Lebih membuatkan kami terkilan apabila melihat lori tangki yang membawa bekalan air bersih lalu di hadapan rumah, tetapi tidak mengisi air ke dalam tong disediakan,” katanya.

Hasmah berkata, sebaliknya lori terbabit dikatakan mengisi air di tong-tong besar berwarna hitam yang dikatakan disewa penduduk sejak ketiadaan air.

Menurutnya, pernah dia dan jiran menahan lori tangki air yang lalu di hadapan rumah dan pemandu memberikan isyarat supaya mereka tunggu. Namun sehingga malam malah keesokannya, tiada juga lori tangki yang datang menghulurkan bekalan air.

“Kami faham keadaan pihak terbabit yang kekurangan lori tangki untuk membekalkan air di seluruh daerah, namun sekurang-kurang kami harap kami dibekalkan air bersih selang dua atau tiga hari sekali.

“Namun sepanjang seminggu ini, tidak pernah sekali pun mereka bekalkan air bersih kepada kami, sehingga saya bertindak mendapatkan bekalan air dari jiran yang berada di kawasan rendah yang tidak mempunyai masalah air,” katanya.

Katanya lagi, penduduk hanya memerlukan air untuk minum dan masak, sebaliknya mereka akan menggunakan air sungai untuk mandi.

“Sekiranya dibekalkan air selang dua atau tiga hari, kami boleh berjimat cermat menggunakan air hanya untuk makan dan minum. 

“Kami tidak boleh menggunakan air sungai untuk makan dan minum memandangkan keadaan air sangat keruh dan bimbang mendatangkan penyakit berbahaya,” katanya.

Hasmah dalam pada itu memberitahu, masalah air yang melanda kampung terbabit bukanlah perkara baru, malah penduduk sudah memahami dan menerima kenyataan setiap kali berlaku masalah air.

Katanya lagi, malam kelmarin kelihatan bekalan air paip kembali pulih dan mereka sempat menadah air untuk disimpan sebelum ia kembali putus petang semalam.

Sementara itu Pengurus Paip Daerah, Azeri Abdul Aziz berkata, pihaknya memang ada membuat penghantaran bekalan air bersih menggunakan lori tangki di kawasan Kampung Sungai Rambai, Kampung Sain dan sekitar.

Katanya, kemungkinan penduduk tidak mendapat bekalan air kerana ketiadaan tong-tong air diletakkan di hadapan rumah mereka, bagaimanapun siasatan lanjut berkaitan perkara itu akan dilakukan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Bapa lemas ketika mahu selamatkan anaknya di Pantai Aur Telong

Niat murni seorang lelaki untuk menyelamatkan mangsa yang hampir lemas berakhir dengan tragedi apabila dia sendiri kehilangan nyawa selepas dihanyutkan ombak dalam kejadian di Pantai Aur Telong, jam 4 petang, semalam.

Anak mangsa, Mohd Rossmaizat Rosli, 20, memberitahu, bapanya, Rosli Arifin, 48, cuba menyelamatkan beberapa orang yang dikatakan hampir lemas semasa mandi di pantai berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang berjoging di tepi pantai apabila terlihat adik rakannya terkapai-kapai kelemasan.

"Salah seorang rakan saya yang memakai jaket keselamatan turun ke air dengan segera untuk menyelamatkannya, tetapi rakan saya itu juga dilihat lemas menyebabkan saya juga turun ke air untuk menyelamatkan mereka.

"Malangnya paras air terlalu dalam dan ombak kuat menyebabkan saya juga hampir lemas. Kami bertiga berpegang pada jaket keselamatan rakan saya sehinggalah abah datang," katanya ketika ditemui di pekarangan Klinik Kesihatan Bachok semalam.

Mohd Rossmaizat berkata, ayahnya bersama seorang rakan, Zawadi Che Pa, 49, membawa pelampung untuk mereka bertiga tetapi selepas itu dia sendiri dihanyutkan arus air yang deras.

Katanya, mereka kemudiannya dibantu oleh penduduk yang menghulurkan buluh bagi mengheret mereka ke daratan manakala mayat bapanya timbul 100 meter dari lokasi kejadian dan dibawa naik ke darat oleh orang awam.

Sementara itu, rakan mangsa, Zawadi menceritakan, ketika kejadian, dia baru selesai solat zuhur sebelum melihat orang ramai berlari ke pantai.

"Saya terus turun ke air namun gagal tiba di tempat Rosli lemas, menyebabkan saya sendiri lemas. Tetapi saya diselamatkan orang awam.

"Kami datang ke pantai ini seramai tujuh keluarga sempena hari keluarga kumpulan WhatsApp Cendikiawan. Saya sendiri datang bersama sembilan ahli keluarga. Kami tidak menyangka ia akan berakhir dengan tragedi sebegini," katanya.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad mengesahkan kejadian dan memaklumkan, mangsa terselamat di bawa ke hospital di Kota Bharu.

Mayat Rosli dituntut ahli keluarga untuk disemadikan di kampung halamannya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Perutusan Sempena Menyambut Tahun Baru Cina 2015 oleh MB Kelantan

Salam sejahtera kepada semua rakyat Kelantan di kalangan masyarakat Tionghua. Saya ingin mengucapkan Selamat tahun Baru Cina 2015, semoga kedatangan tahun baru ini lebih bermakna daripada tahun-tahun sebelum ini.

Tahun Kuda sebelum ini bagi masyarakat Tionghua mempunyai seribu satu makna kegembiraan dan ianya telah pun berlalu. 

Manakala pada tahun kambing ini yang sesuai sebagai binatang yang jinak dan berhabitat baik diharapkan ianya membawa sinar harapan ke arah membina masyarakat pemurah, adil, kasihan belas dan sentiasa pedulikan antara satu sama lain. 

Tahun kambing bagi masyarakat cina membawa erti kedamaian dan kemakmuran semoga ianya dapat diterapkan sepenuhnya dalam masyarakat di Negeri ini.

Masyarakat Tionghua khususnya di Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk dan mempengaruhi lanskap politik baru di negara kita dengan dokongan kaum-kaum lain termasuklah orang-orang Melayu dan India, kita telah bersama-sama memberikan sumbangan ke arah lahirnya sebuah Negara yang lebih adil dan aman buat semua. 

Kita mengharapkan nilai demokrasi dan keadilan dalam Negara kita dapat dipenuhi seluruhnya.

Islam sebagai agama yang tidak pernah mengamalkan diskriminasi kepada sesiapa. Lantaran itu, Islam memerintahkan agar berlaku adil kepada semua manusia tidak mengira bangsa dan agama. 

Semua pihak mendapat hak di sisi Islam. Tidak ada kelebihan satu bangsa ke atas satu bangsa yang lain melainkan dengan berlaku baik dan ikut agama atau takwa.

Sempena menyambut tahun baru cina 2015, janganlah lupa kepada saudara kita yang menjadi mangsa banjir besar baru-baru ini, kita mestilah saling tolong menolong antara satu sama lain, tidak mengenal bangsa, agama juga Negeri. 

Terima kasih dan sekalung penghargaan saya ucapkan kepada semua pihak khususnya dikalangan masyarakat Tionghua yang memberi sumbangan besar dalam membantu mangsa-mangsa banjir di Negeri ini.

Akhir kata, “ Gong Xi Fa Cai, Yang Nian, Sicit Yang Yang Cai Yen Kuan Cin”

Sekian, Terima Kasih.

Menteri Besar Kelantan.

Baca lagi >>