Tuesday, 17 February 2015

20 maut kena kejutan elektrik ketika karnival di Haiti

HAITI - 20 orang dilaporkan terbunuh selepas terkena kejutan elektrik di sebuah karnival di Port-au-Prince hari ini.

Berdasarkan laporan AP, kejadian berlaku ketika beribu-ribu pengunjung karnival tahunan yang ditaja oleh kumpulan hip-hop Barikad Crew berada di atas sebuah pelantar.

Menurut seorang saksi, sebelum kejadian berlaku, seseorang cuba mengalihkan sebuah wayar menggunakan kayu supaya pelantar boleh belayar melepasi wayar tersebut.

Seorang saksi memberitahu, beberapa pengunjung terus terkena renjatan elektrik dan beberapa orang lagi sempat terjun dari pelantar tersebut.

Selain itu, seramai 46 pengunjung lain dilaporkan cedera dan dibawa ke sebuah hospital berdekatan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Liga Super | Kelantan 2 - Lions XII FC 0

MESKIPUN saingan Liga Super baru sahaja memasuki dua perlawanan, namun pengendali The Red Warriors (TRW), George Boateng kini sudah mampu tersenyum lebar bukan kerana pasukannya gah menerajui takhta ketika ini tetapi kerana sebab-sebab tertentu.

Apa tidaknya, tiga daripada empat gol pasukannya yang terhasil setakat ini hadir menerusi set piece, sesuatu yang mungkin terlindung daripada pandangan penyokong TRW tetapi tidak bagi jurulatih kelahiran Ghana itu.

Boateng berkata, anak buahnya telah menjalani latihan set piece sejak lapan bulan lalu, dan malam kelmarin mereka rasa puas dapat menuai hasil, lebih-lebih lagi merakamkan kemenangan bergaya ke atas Lions XII FC di hadapan penyokong sendiri.

“Setiap minggu kami menjalani latihan sepak bebas dan penjuru sebelum menghadapi sesuatu perlawanan, malah dua hari menjelang pertemuan Lions XII FC, kami terus fokus melakukan perkara  sama.

“Kami juga mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan cara sama. Memenangi dua perlawanan dengan cara sebegini rasanya agak menakjubkan bagi Kelantan,” katanya pada sidang media sejurus perlawanan.

Pada perlawanan itu, Kelantan menewaskan Lions XII FC 2-0 apabila tonggak pertahanan import, Jonathan McKain menanduk masuk tendangan penjuru Mohd Fitri Omar seawal minit keenam sebelum sepakan percuma kapten, Mohd Badhri Radzi menerjah jaring pada minit ke-42.

Mengulas kemenangan pasukannya, Boateng memuji persembahan yang ditonjolkan barisan pemainnya apabila beraksi mengikut strategi ditetapkan sepanjang aksi 90 minit perlawanan itu.

“Saya tahu Lions XII datang ke sini untuk mendapatkan keputusan seri. Mereka bermain (formasi) 4-5-1 atau 4-1-4-1, memaksa saya menggunakan dua penyerang, Erwin Carrillo dan Emmanuel Kenmogne, selain meletakkan Piya (Mohd Badhri) di belakang kerana dua pertahanan tengah lawan sentiasa memberi tekanan kepada kami.

“Kami sepatutnya menjaringkan banyak gol dalam babak kedua, namun pemain saya lebih banyak bermain secara individu. Apa pun, kemenangan 2-0 ini sudah memadai kerana kami berjaya mengekalkan rekod tidak bolos dalam dua perlawanan setakat ini,” katanya.

Jurulatih berusia 39 tahun itu turut menghamburkan pujian kepada benteng pertahanan mereka, diterajui McKain apabila berjaya membentuk gandingan ampuh mengekang asakan skuad kendalian Fandi Ahmad itu.

“Begitu juga aksi Isaac Pupo, betul-betul membuatkan 25,000 penyokong malam ini terhibur, cara dia menghantar bola kepada rakan-rakannya bagaikan satu fenomena baharu. Saya fikir dia adalah pemain yang sepatutnya berada di Kota Bharu (menyarung jersi Kelantan),” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Keputusan SPM 3 Mac nanti

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 akan diumumkan pada 3 Mac ini, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, calon-calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM mereka dari sekolah masing-masing selepas 10 pagi hari yang sama.

Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar dahulu, kata kenyataan itu.

KPM juga menyediakan perkhidmatan semakan keputusan peperiksaan SPM melalui mySMS 15888 dengan menaip SPM jarak taip nombor kad pengenalan jarak taip angka giliran dan hantar ke 15888. 

Perkhidmatan tersebut akan diaktifkan bermula 10 pagi, 3 Mac dan ditamatkan pada 11.59 malam, 9 Mac.

Kenyataan itu juga menyebut majlis pengumuman analisis keputusan SPM 2014 akan diadakan pada hari sama, pada 9 pagi di Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E di sini.

Seramai 455,839 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2014 di 3,655 pusat peperiksaan di seluruh negara. 

Daripada jumlah itu 400,351 adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan; 8,241 calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM (contoh: Maktab Rendah Sains MARA); 7,957 calon sekolah menengah agama negeri; 12,066 calon sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM; 25,701 merupakan calon persendirian manakala baki 1,523 calon Sekolah Menengah Agama Rakyat. 

Sinar Harian

Baca lagi >>

Tenaga kerja bidang IT sangat diperlukan, adik-adik bolehlah mohon bidang ini semasa isi borang UPU

Inisiatif kerajaan Malaysia sepanjang tahun 2014 berjaya merangsang pertumbuhan peluang pekerjaan, menurut sebuah laporan Indeks Pekerjaan Asia.

Berdasarkan laporan itu, suku ke-empat 2014, pusat membeli-belah baru dan kemasukan produk antarabangsa menyumbang 31 peratus kenaikan untuk perkerjaan berkaitan pengiklanan dan jual-beli.

Pengiklanan pekerjaan untuk pemasaran profesional berkembang sebanyak 55 peratus untuk mengikut kehendak syarikat dalam menarik lebih ramai pelanggan dan meningkatkan jualan.

Bidang IT pula kekal sebagai antara bidang popular yang menyaksikan peningkatan sebanyak 75 peratus permintaan tenaga kerja.

Peranan Malaysia sebagai hub logistik di Asia Tenggara juga menyumbang sebanyak 33 peratus peluang pekerjaan dalam bidang berkaitan.

"Malaysia antara negara yang berkembang pesat dalam pemasaran di Asia Tenggara. Inisiatif oleh kerajaan Malaysia dan peningkatan operasi pemasaran terus menarik orang luar ke negara tersebut," kata Sally Raj, Pengarah Urusan Robert Walters Malaysia.

"Syarikat-syarikat terus-menerus menarik bakat-bakat baru. Untuk memastikan peningkatan berterusan, pengambilan pengurus-pengurus memberi kesan elok dalam strategi mengekalkan prestasi.

"2015 akan menjadi tahun yang menarik selepas ramai pihak mula mengambil berat mengenai  cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan April nanti." tambah beliau.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kereta tenggelam, wanita hampir

Tindakan polis memecahkan tingkap berjaya menyelamatkan seorang wanita yang terperangkap dalam sebuah kereta yang sedang tenggelam, hari ini.

Menurut Stuff NZ, sebelum itu, kereta yang dipandu seorang wanita berkenaan terbabas dan terjunam ke pelabuhan Waitemata.

Seorang saksi memberitahu beliau segera membunyikan loceng amaran dan dua orang polis tiba ke tempat kejadian selepas beberapa saat.

Pegawai polis tersebut tidak mempunyai pilihan lain selain memecahkan cermin tingkap kenderaan selepas pintunya gagal dibuka.

Mangsa dilaporkan cedera ringan dan tindakan pantas anggota polis tersebut dipuji selepas berjaya menyelamatkan mangsa dari mati lemas.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Lagi cerita kenangan dengan Tok Guru

Bagaimanakan ku mula, dan apakah kata-kata yang indah untukku abadikan...

Saya tidak tahu untuk menyambung bagaimana coretan saya berkaitan banjir disaat kita kehilangan Tok Guru yang kita sayangi.

Perasaan sebak dan sedih masih lagi terasa terutama apabila teringat cara Tok Guru RahimahulLah bekerja yang pasti menjadi suri tauladan untuk saya.


Masih teringat-ingat cara Tok Guru RahimahulLah bertindak dengan segera bila ada saja musibah yang berlaku dalam negeri ini samada banjir, kebakaran, kematian, kemalangan dan lain-lain baik yang dekat dengan pusat pentadbiran di sekitar Kota Bharu atau jauh seperti Kuala Krai hatta Gua Musang sekalipun.

Menjadi kebiasaan Tok Guru RahimahulLah apabila saja berlaku musibah beliau antara yang terawal akan sampai samada untuk menyantuni mangsa ataupun menyampaikan sumbangan.

Biasanya sumbangan yang beliau sampaikan adalah sumbangan peribadi, kemudian barulah diikuti sumbangan kerajaan yang akan diuruskan oleh pihak ADUN ataupun jabatan berkaitan.

Tok Guru RahimahulLah juga akan terus mengambil tindakan segera apabila sesuatu isu diangkat untuk mendapat kelulusan beliau khususnya yang berkaitan dengan bencana.

"Kita kena duduk di tempat orang hok kena musibah tu, kita berasa lagu mana".

Kata-kata itu cukup berazimat dan menjadi panduan kepada saya sehingga kini.

Pernah saya membawa permohonan untuk membina masjid baru di Chenulang kerana masjid lama setiap tahun akan ditenggelami air, bukan sekali, kadang-kadang dua atau tiga kali setiap kali musim bah.

Kedudukan masjid ditepi sungai dan lebih rendah daripada paras jalan menyebabkan cepat ditenggelami air seandainya berlaku hujan yang lebat.

Saya bawakan permohonan beserta dengan gambar masjid lama sewaktu banjir yang airnya mencecah paras tingkap. Tok Guru RahimahulLah terus mengarahkan Setiausaha Sulitnya supaya mengambil tindakan segera setelah melihat permohonan yang diserahkan.

Alhamdulillah, akhirnya bangunan masjid baru yang lebih tinggi bernilai RM500,000 termasuk jejantas daripada jalan utama siap dibina bersebelahan bangunan masjid lama yang selamat digunakan beberapa tahun.

Namun bah besar penghujung tahun 2014 lalu, masjid tersebut juga dinaiki air tetapi sudah pasti bukan menjadi ukuran kerana bah 2014 adalah luar biasa bahkan mengatasi bah 1967.

Seperkara lagi yang agak sukar untuk dilupakan ialah Allahyarham pantang ada jemputan sama ada kenduri kahwin atau kenduri kesyukuran, beliau pasti akan menghadirkan diri.
YB Abdul Latiff dan Tok Guru
Ada satu peristiwa di musim cuti Hari Raya Aidilfitri, pembantu beliau menghubungi saya mengatakan Tok Guru akan ke Kuala Krai pada pagi tersebut untuk menghadiri satu majlis perkahwinan di Kg Batu Pagar, Pasir Jering dalam Mukim Chenulang.

Saya tertanya-tanya siapakah insan bertuah tersebut sehingga mendapat perhatian Tok Guru. Akhirnya saya dapati jemputan tersebut daripada Saudara Razali (Allahyarham) yang pergi sendiri ke Pejabat Menteri Besar menjemput Tok Guru hadir majlis menyambut menantu sulungnya.

Allahyarham Razali yang meninggal dunia dua tahun lepas pernah menjadi Ketua Pemuda Pas Cawangan Pasir Jering dan bekerja keras satu keluarga setiap kali musim pilihanraya umum.

Saya sedikit risau dengan laluan ke Kuala Krai pada musim perayaan yang akan berlaku kesesakan teruk yang kadang kala akan mengambil masa 3 atau 4 jam perjalanan Kota Bharu ke Kuala Krai berbanding hari biasa hanya sekitar 1 jam atau 1 jam setengah saja.

Saya cuba nasihatkan supaya Tok Guru RahimahulLah diiringi oleh pihak polis untuk menjimatkan perjalanan tetapi Tok Guru RahimahulLah tidak menerima pandangan kerana ingin merasai sendiri suasana yang terpaksa dihadapi oleh rakyat biasa setiap kali musim cuti persekolahan.

Akhirnya saya cadangkan supaya menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk saya bawa menggunakan laluan kampung yang menjadi alternatif kepada warga Kuala Krai.

Sebenarnya banyak lagi kenangan peribadi saya bersama Allahyarham Tok Guru. Insya Allah saya akan cuba catatkan dalam coretan khusus untuk mengenang jasa beliau dan menjadikannya tauladan untuk kita dalam meneruskan perjuangan ini.

Kain berlipat dalam istana,
Pakaian puteri raja kayangan,
Sepatah nasihat ilmu yang berguna,
Selautan budi jadi kenangan.

Abdul Latiff Abdul Rahman
Selasa, 3.53 ptg
17 Feb 2015.

Baca lagi >>

Kaki kuda terperosok dalam jeriji besi

Foto menunjukkan operasi menyelamat kaki seekor kuda yang terperosok di dalam jeriji besi penghadang longkang di Unit berkuda PDRM Presint 15, Putrajaya pada pukul 3 petang semalam.


Anggota bertindak dengan menggunakan peralatan combination cutter untuk memotong dan mengumpil jeriji besi, supaya kaki kuda dapat di keluarkan dengan selamat. Seterusnya kuda diserahkan kepada doktor haiwan yang bertugas. 

Operasi berkenaan dilakukan oleh BBP Putrajaya


Jabatan Bomba & Penyelamat

Baca lagi >>

Perkara yang perlu dilakukan bila berlaku kemalangan jalan raya


1. Sila bertenang dan jangan cemas.

2. Jika ada sesiapa yang tercedera, telefon 999 untuk bantuan.

3. Jika tiada sebarang kecederaan, alihkan kenderaan anda dari aliran trafik ke tempat yang selamat, jika boleh.

4. Catatkan model dan nombor pendaftaran kenderaan lain yang terlibat.

5. Catatkan nama dan alamat pemandu-pemandu lain yang terbabit.

6. Catatkan nama dan alamat saksi-saksi, sekiranya ada. 

7. Buat lakaran kasar lokasi kemalangan dan kedudukan kenderaan terlibat sejurus sebelum dan selepas kemalangan (Gambar mengenai kemalangan, jika ada, akan membantu). 

8. Bertukar maklumat mengenai nama syarikat insurans/pengendali takaful masing-masing. 

9. Jangan berbincang tentang siapa yang bersalah. Ini mungkin menimbulkan kesulitan dalam mengendalikan tuntutan anda.

10. Hubungi syarikat insurans/pengendali takaful anda atau nombor hotline kemalangan syarikat tersebut bagi mendapatkan maklumat tentang perkhidmatan truk tundanya ke balai polis berhampiran. 

11. Laporkan kemalangan kepada polis dengan segera.

12. Laporkan kemalangan kepada syarikat insurans/pengendali takaful anda dengan segera, walaupun anda tidak berniat untuk membuat sebarang tuntutan. Pihak ketiga yang terlibat dalam kemalangan tersebut mungkin akan membuat tuntutan insurans daripada syarikat insurans/pengendali takaful anda dan akan menyebabkan kehilangan NCD anda.

13. Isikan borang tuntutan dengan lengkap dan masukkan maklumat tambahan yang berkaitan. Jika ada sebarang keraguan, dapatkan nasihat dari syarikat insurans / pengendali takaful anda.

Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )

Baca lagi >>