Saturday, 14 February 2015

Permergian Tok Guru; satu kehilangan besar

Firman Allah Taala:


مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: Dikalangan orang yang beriman itu adanya pejuang hebat yang benar terhadap janjinya kepada Allah. Dikalangan mereka ada yang telah syahid dan dikalangan mereka ada yang masih menunggu sebagai syuhada’ dan mereka sesekali tidak menukar prinsip perjuangan mereka.
( Al-Ahzab: 23 )

Hari ini terasa sangat hiba, baharu sehari rakyat di Negeri Kelantan kehilangan sosok Rijal yang agung dalam harakah islamiyah dan pengasas Kerajaan Membangun Bersama Islam. Saya pernah diamanahkan sebagai Timbalan Menteri Besar oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Pada 23 Mac 2004. 

Tok Guru banyak mengajar serta memberi pengalaman kepada saya dan hari ini saya sangat terasa kehilangan beliau dengan pemergian buat selamanya ini. Dialah bapa dialah sahabat saya dalam mengemudi bahtera Kerajaan Kelantan.

Masih saya ingat ketika Tok Guru meminta saya menjadi wakil rakyat pada tahun 1995 bagi sama-sama membantu beliau dalam menegakkan perjuangan Islam di Kelantan, saya terus meletakkan jawatan dengan notis 24 jam sebagai guru siswazah selama 15 tahun hanya matlamat saya semata-mata untuk berbakti kepada perjuangan islam yang diperjuangkan oleh PAS. Sebelum itu saya telah diberi amanah untuk menjawat jawatan Pengarah Pilihanraya DUN Sungai Pinang dan juga Bendahari PAS Kawasan Tumpat pada tahun 1986 demi untuk mengurus tentang kewangan kawasan secara lebih teratur.

Tok Guru kemudian meminta saya bersama berjuang dengan beliau dan sahabat-sahabat pada masa itu untuk membangunkan pentadbiran Negeri Kelantan secara lebih menepati kehendak Islam dan Tok Guru memberi mandat kepada saya untuk menumpukan kepada bahagian pengurusan dan tadbir urus Kerajaan Negeri. 

Jawatan saya yang pertama ditugaskan oleh Tok Guru sebagai Exco Kerajaan Negeri ialah Pengerusi Jawatankuasa Industri, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia iaitu pada tahun 1997.

Saya amat tenang dan rasa lapang berkhidmat dibawah kepimpinan Tok Guru kerana beliau tersangat unik dan begitu hikmah dalam memimpin Kerajaan Negeri tambahan pula dengan kehebatan ilmu yang dimiliki dan bertaraf seorang Tuan Guru dapat memimpin sebuah Kerajaan adalah satu peristiwa terpenting yang dicatat dalam sejarah politik Negeri Kelantan. 

Latar belakang pendidikannya yang berkemahiran dalam bidang tafsir, bahasa arab dan juga perundangan islam tidak sama dengan Menteri-Menteri Besar lain. Beliau sering menekankan soal mendaulatkan islam dan beliau tidak bertindak serta tidak melakukan sesuatu kecuali untuk kepentingan islam semata-mata.

Pesanannya sentiasa terngiang-ngiang ditelinga saya betapa beliau seorang murabbi yang tidak lekang daripada memberi nasihat dan tazkirah walau dimana berada. 

Teringat saya kepada ‘kuliah senafas’ yang sentiasa mendidik rohani dan memberi thaqafah di kalangan pimpinan parti, pegawai dan kakitangan kerajaan serta rakyat jelata. ‘Kuliah senafas’ ini sentiasa diberikan oleh beliau sejurus solat subuh setiap hari di masjid beliau di Pulau Melaka juga sebelum bermulanya mesyuarat perhubungan Negeri dan lain-lain mesyuarat.

Setiap pagi jumaat, akan kedengaran suaranya menyapa masyarakat di sekitar Bandar Kota Bharu dan selepas ini saya dan pasti seluruh rakyat akan sangat terasa dengan kehilangan sosok besar perjuangan. 

Rasa hormat dan rasa sayang kepada Tok Guru ini sentiasa mekar disanubari kami dan beruntunglah Tok Guru kerana Allah telah mengambilnya ketika beliau sudah mencapai taraf kekasih Allah sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ عَبْدًا دَعَا جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلامُ، فَقَالَ إِنِّي أُحِبُّ فُلانًا فَأَحِبَّهُ، قَالَ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ، ثُمَّ يُنَادِي فِي أَهْلِ السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلانًا فَأَحِبُّوهُ، قَالَ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ، ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الأَرْضِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah apabila kasih kepada seseorang hamba-Nya lantas Allah memanggil Jibril seraya menyatakan; Sesungguhnya Aku kasih kepada si fulan maka kasihilah dia. Lalu Jibril mengasihinya dan mengumumkan kepada para penduduk langit bahawa Allah mengasihi si fulan maka kasihilah kalian semua akan dia, maka semua penduduk langit mengasihinya seraya berkata; kemudian letakkanlah rasa kasih sayang ini juga kepada semua penduduk bumi. 
( Riwayat Muslim )


Sesungguhnya Tok Guru amat dikasihi oleh rakyat, walaupun terdapat rakan politik yang tidak sehaluan pandangan, mereka akhirnya tetap menghormati dan tidak berdendam kepada Tok Guru. 

Hari pemergiannya, lautan manusia dari seluruh Negeri dan Negara luar turut hadir, daripada sekecil-kecil pangkat manusia hinggalah sebesar-besar pangkat dan daripada pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama hadir memberi penghormatan terakhir kepadanya. 

Allahlah yang meletakkan rasa hormat dan kasih ini kepada hamba-Nya yang bagi saya telah mencapai keahlian ‘Kekasih Allah’ yang sentiasa diimpikan oleh kita semua dan Tok Guru telah melaksanakan dengan penuh amanah terhadap segala janjinya kepada Allah. Bersemadilah dengan tenang wahai Murabbi Ummah.

USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
24 Rabiul Akhir 1436 / 14 Febuari 2015

Baca lagi >>

Jangan ambil tanah untuk dijadikan azimat

Nik Mohamad Abduh, anak Allahyarham Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan orang ramai supaya mengikut sunah Nabi Muhammad SAW ketika menziarahi pusara ayahnya itu.
 
Beliau berkata, orang ramai diminta untuk tidak melakukan perkara yang boleh dianggap sebagai khurafat ketika menziarahi pusara Allahyarham.

"Saya nasihat kepada rakyat Malaysia yang datang ziarah hendaklah menepati sunah Nabi Muhammad SAW kerana ziarah keluarga dan tok guru adalah sama.


"Perlu berdoa dan mengambil peringatan untuk diri sendiri, jangan tambah (melakukan) benda yang bersifat bidaah dan khurafat kerana ia akan membatalkan amalan soleh kita sendiri," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka di sini, hari ini. 

Nik Mohamad Abduh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin kononnya terdapat segelintir masyarakat yang mengambil tanah di pusara berkenaan untuk dijadikan azimat dan sebagainya. 

Tinjauan Bernama di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka di sini, mendapati orang ramai tidak henti-henti menziarahi pusara bekas Menteri Besar Kelantan itu. 

Beliau meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka pada 9.40 malam, Khamis ketika berusia 84 tahun. 

Adun Chempaka itu dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian di sini, kira-kira 8.40 malam hari yang sama setelah dirawat di hospital itu sejak 19 Jan lepas kerana kanser prostat.    

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka,   pada 11.30 pagi semalam. 

Bernama

Baca lagi >>

Mutiara kata Tok Guru (Siri 3)

Klik foto untuk paparan lebih besar










Baca lagi >>

Mutiara kata Tok Guru (Siri 2)

Klik foto untuk paparan lebih besar










Baca lagi >>

Mutiara kata Tok Guru (Siri 1)

Klik foto untuk paparan lebih besar










Baca lagi >>

Perhatian! Tiada majlis tahlil untuk Tok Guru

Mohon tidak sebarkan jemputan palsu majlis tahlil untuk Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Demikian kenyataan terbaru ahli keluarga Allahyarham yang dibuat melalui laman Facebook rasmi pemimpin ulung itu, hari ini.


Menurut kenyataan ringkas itu, tiada sebarang majlis tahlil dibuat untuk Nik Aziz seperti yang tersebar di aplikasi WhatsApp.

“Tiada sebarang majlis tahlil untuk Al-Marhum Ayahanda Tuan Guru.

“Mohon tidak sebarkan jemputan majlis tahlil yang menjadi viral di Whatsapp. Pesanan daripada Keluarga Al-Marhum Tuan Guru,” bunyi kenyataan itu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pagi semalam dengan diiringi puluhan ribu rakyat Malaysia di Pulau Melaka, Kelantan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Tanda kematian yang dimuliakan di sisi ALLAH

Terdapat pelbagai tanda kematian yang dimuliakan di sisi ALLAH.

Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, kehadiran ramai kenalan dan sahabat menunjukkan si mati mempunyai kemuliaan tinggi di sisi ALLAH.

"Orang yang datang menziarahi itu adalah rezeki daripada ALLAH SWT kerana mereka datang dengan membawa doa kepada si mati.

"Kenikmatan yang diberikan ALLAH itu hanya diberikan kepada mereka yang terpilih. Bagi meraih kemuliaan di sisi ALLAH, seseorang perlu mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa, sentiasa perlu mencari keredaan Ilahi dan sentiasa merendah diri sesama insan," katanya.  

Beliau berkata, perkara (kemuliaan) itu boleh dilihat terhadap Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang yang warak.

"Allahyarham juga turut memberi sedekah dengan duit gajinya dari dulu hingga kini.

"Kredibiliti diri yang tinggi serta disenangi rakyat antara kelebihan seseorang itu boleh dianggap mendapat kemuliaan di sisi ALLAH," katanya.

Pendakwah Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim berkata, antara tanda kemuliaan seseorang ialah kematian pada hari Jumaat selain dihadiri ramai kenalan dan sahabat.

“Dalam hadis riwayat Tirmidzi ada mengatakan orang yang mati pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat, ALLAH akan selamatkannya daripada azab kubur.

“Maknanya, nak kata fadilat orang meninggal dunia pada hari Jumaat adalah orang terpilih. ALLAH muliakan sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat, iaitu hari terbaik daripada hari lain. ALLAH nak tunjukkan dan berikan kelebihan pada orang-orang sebegini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, tidak ramai yang terpilih dan diberikan kelebihan untuk meninggal dunia pada hari Jumaat.

“Orang-orang terpilih ini biasanya mereka yang memiliki kewarakan yang tinggi, kuat ibadahnya dan terkenal dengan kebaikannya dengan manusia.

“Sebab itu kita kena baik dengan manusia dan ALLAH. Bila kita baik dengan manusia, ALLAH akan jadikan manusia baik dengan kita. Bila kita baik dengan ALLAH, ALLAH akan tolong kita di akhirat,” katanya.

Katanya, kehadiran ramai kenalan dan sahabat menunaikan solat jenazah juga antara tanda kemuliaan daripada ALLAH kepada si mati.

“Untuk solat jenazah, makmum disunatkan membentuk tiga saf untuk muliakan si mati. Tetapi jika jumlahnya lebih daripada tiga saf ia adalah kemuliaan yang ALLAH gambarkan terhadap si mati,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>