Wednesday, 4 February 2015

JDT 2 - Bengaluru FC 1 | Liga Juara-Juara AFC 2015

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berjaya menundukkan Bengaluru FC 2-1 pada perlawanan play-off Liga Juara-Juara AFC 2015 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Larkin, di sini, malam ini.

Perlawanan yang mengheret ke masa tambahan ternyata berpihak kepada Harimau Selatan apabila sepakan leret S Chanthuru pada minit ke-97 masa tambah meledakkan gol kemenangan kepada tuan rumah.

Separuh masa pertama tanpa sebarang gol, anak buah Bojan Hodak bangkit mudah menjaringkan gol pendahulu perlawanan melalui tandukan Hariss Harun pada minit ke-46 separuh masa kedua.

JDT berjaya menundukkan Bengaluru FC 2-1 pada perlawanan play-off Liga Juara-Juara AFC 2015 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Larkin. – Foto Bernama
Pada aksi separuh masa pertama, JDT berpeluang menjaringkan gol pembuka tirai seawal minit kelapan perlawanan, namun tandukan Safiq Rahim yang menerima hantaran lambung daripada J Eldstald sedikit tersasar keluar.

Bagaimanapun sepakan percuma yang disempurnakan Mohd Nazrin Mohd Nawi selepas Safiq dijatuhkan pada minit ke-19 tepat ke gawang gol lawan, namun berjaya didakap kemas Lalthuammawia Ralte selaku penjaga gol Bengaluru FC.

Pasukan pelawat turut memperoleh peluang keemasan melalui sepakan penjuru pada minit ke-23, namun tandukan John Johnson terkena palang gol tuan rumah.

Bengaluru FC sekali lagi mendebarkan Harimau Selatan melalui sepakan lambung Sean Rooney yang hampir memboloskan gol tuan rumah pada minit ke-44, namun berjaya ditepis keluar Farizal Marlias selaku benteng terakhir tuan rumah.

Gawang gol pasukan pelawat hampir meledakkan gol buat kali kedua hasil tendangan kencang Safiq, namun tidak berjaya merebahkan kekebalan Mawia.

Kealpaan benteng pertahanan JDT membawa padah apabila berjaya dimanfaatkan peluang oleh anak buah Ashley Westwood melalui tandukan Sunil Chhetri yang membuahkan gol penyamaan pada minit ke-90.

Bagaimanapun perlawanan berkenaan menggembirakan lebih 17,000 penyokong tuan rumah yang hadir ke stadium apabila berakhir dengan keputusan yang berpihak kepada Harimau Selatan 2-1.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Video pesawat TransAsia terjunam di Taiwan




TAIWAN - Sebuah pesawat penumpang TransAsia Airways yang membawa 58 penumpang dan anak kapal terhempas ke dalam sungai berhampiran Taipei.

Laporan AFP yang memetik stesen televisyen tempatan melaporkan, 17 dikatakan selamat dalam insiden itu.

Pesawat TransAsia ATR 72-600 itu dalam penerbangan domestik dari lapangan terbang Songshan, ke Pulau Kinmen sebelum ia melanggar jambatan dan terjunam ke dalam sungai.

Pesawat TransAsia rempuh jambatan sebelum terjunam
Insiden berlaku kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan, beberapa minit selepas pesawat berlepas dari lapangan terbang menuju ke destinasi.

Pasukan mencari dan menyelamat kini berusaha mencari penumpang yang terperangkap.

Sinar Harian

Baca lagi >>

"Aku nak itu! Aku nak itu!", "Jangan monyet! Jangan!" Siapa masih ingat dialog ini? Ini dia di sebalik tabir kisah Sang Kancil dan Monyet

PERIBAHASA Melayu ada mengatakan hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Barangkali kata-kata tersebut menjadi peransang kepada pelopor animasi negara, Hassan Abd. Muthalib sewaktu menghasilkan filem animasi pendek kedua iaitu Sang Kancil dan Monyet sekitar 1983.


Bayangkan dengan tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pengarahan, penulisan mahupun pengetahuan tentang pembikinan kartun, namun dia berani menyahut cabaran memikul tanggungjawab tersebut.

Semua itu dilakukan atas semangat ingin mencuba, di samping mempelajari bidang yang dianggap baharu dalam industri tanah air pada ketika itu.


“Jika kita tidak berani menyahut cabaran serta berusaha mempelajari sesuatu yang baharu sampai bila-bila pun kita tidak akan tahu dan berjaya menghasilkan animasi. Sebab itu semasa diberi tugasan oleh pihak atasan, saya hanya terfikir untuk berkata saya boleh buat, walaupun menyedari banyak perkara yang perlu dilakukan selepas itu."

“Jadi boleh dikatakan pembikinan animasi Sang kancil dan Monyet merupakan satu latihan kepada kami. Selain mengarah, saya juga melakukan tugasan lain termasuk merangka jalan cerita, menulis skrip, membuat papan cerita dan menyelia para pelukis. Para pelukis juga dilatih berkaitan animasi,” katanya.

Sewaktu proses pembikinan, Hassan sering bertanya sekiranya terdapat kemusykilan dan pada masa sama beliau turut melakukan pelbagai kajian di samping menjadikan buku-buku sebagai sumber rujukannya.

Animasi ketika itu dibuat secara tradisional menerusi teknik yang disebut sebagai sel iaitu animasi dipindahkan dari kertas ke sejenis plastik yang dikenali sebagai seluloid. Kesemua proses yang melibatkan kerja-kerja melakar, mewarna, membuat papan cerita, memasukkan imej sehingga kepada proses produksi dilakukan secara manual.

“Kami melukis dengan tangan di atas kertas sebelum dipindahkan ke seluloid untuk proses membuat lakaran dan memasukkan warna. Untuk menghasilkan sebuah animasi selama satu saat memerlukan lebih kurang 10 hingga 12 keping lukisan. Bayangkan berapa keping lukisan diperlukan untuk membuat animasi yang berdurasi lebih seminit,”katanya.

Proses seterusnya membabitkan pengambaran yang menggunakan kamera animasi. Sel diletak satu persatu untuk dirakam. Proses tersebut berulang mengikut urutan sel sehingga selesai.
“Begitulah cara tradisional yang kami lakukan. Berbeza dengan zaman sekarang yang menggunakan teknologi canggih, kerja membuat animasi pun bertambah mudah,” katanya yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Unit Senireka di bawah Filem Negara.

Menurutnya lagi, dari segi ucapan dialog setiap watak pula, mereka tidak menggunakan suara pelakon profesional sebaliknya mendapatkan khidmat kakitangan jabatan itu.

“Pada masa itu tiada peruntukan untuk mendapatkan khidmat pelakon luar jadi terpaksa menggunakan suara daripada tiga kakitangan di jabatan kami.

“Petugas makmal, Zainab Wahab meminjamkan suara untuk watak kancil; kerani penerbitan, Nordin Yusof meminjamkan suara untuk monyet, sementara suara latar pula menggunakan khidmat juruanimasi sendiri, Napsiah A. Kadir,” katanya.
Meskipun tayangan filem animasi pendek itu berdurasi empat minit lebih namun proses untuk menyiapkannya mengambil masa selama enam bulan sebelum disiarkan pada 1984.

Kejayaan menghasilkan filem animasi pendek itu telah mencipta sejarahnya tersendiri dalam industri animasi tanah air biarpun tanpa sebarang kepakaran dan teknologi digital yang canggih.

Malah dapat dilihat penambahbaikan dan kelainan yang ditonjolkan Hassan dalam animasi yang dihasilkan antaranya menerusi elemen lucu yang dimasukkan ketika monyet makan cili, api keluar dari telinga lalu melompat dan akhirnya badan menjadi merah.

Begitu juga dari segi jalan cerita yang diadaptasi dan dialog yang dibuat ringkas serta bersesuaian dengan animasi membuatkan ia mudah dan terus diingati sehingga hari ini.

Utusan

Baca lagi >>

Suspek berdendam setelah cintanya ditolak - Ibu

Ibu kepada pelajar perempuan yang maut dikelar seorang lelaki di Perak semalam percaya suspek menaruh dendam terhadap anak gadis kesayangannya itu setelah cintanya ditolak.

Wanita terbabit, Nor Azlina Dawari, 44, berkata, dia dan suami, Johari Hashim, 55, pernah beberapa kali menasihatkan suspek supaya tidak mengganggu mangsa, Nursyuhada, 20, namun tidak dihiraukan.

Nor Azlina juga memberitahu, mereka menghalang suspek yang merupakan rakan sekampung daripada menjalinkan hubungan dengan Nursyuhada itu kerana dia disyaki terlibat dengan penagihan dadah.

“Namun saya tidak menyangka dia sanggup bertindak sedemikian terhadap anak saya. Insiden semalam tidak dapat dilupakan apabila saya menerima panggilan daripada rakan Nursyuhada mengatakan dia diculik dengan diacukan pisau oleh lelaki itu.

“Saya cuba menelefon untuk merayu agar anak saya tidak diapa-apakan namun tidak dijawab sehingga suami terpaksa menelefon keluarganya sebelum diberitahu dia telah menikam anak saya.

“Hanya Tuhan tahu perasaan saya ketika itu. Kenapa sanggup dia bertindak kejam terhadap anak saya yang baik hati,” katanya ketika ditemui di Kampung Cherok Mokkan, Napoh dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, Nursyuhada yang merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang maut selepas dipercayai dikelar seorang lelaki di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, Perak.

Menurut Nor Azlina, walaupun terkejut dan bersedih dengan tragedi tersebut, keluarganya reda dengan pemergian anak kedua daripada enam adik-beradik itu.

“Arwah seorang anak yang periang dalam keluarga dan beberapa hari sebelum kejadian sikap manjanya menjadi-jadi kepada kami sehingga saya tertanya-tanya namun saya tidak sangka perkara seperti ini akan menimpanya,” katanya.

Utusan

Baca lagi >>