Wednesday, 28 January 2015

Aiskrim pasu....nikmati keenakannya....

SUNGAI PETANI – Fenomena terbaharu mengubah suai pasu bunga sebagai bekas aiskrim terbukti berkesan apabila sambutan terhadap produk itu mendapat permintaan tinggi.

Pengusaha Butik Gerobok Tuan Tanah, Rozlyanna Basharuddin, berkata, jualan hari pertama mencecah 100 unit melebihi jangkaan sasaran hanya 50 aiskrim.

“Kelainan rasanya membuatkan pelanggan datang semula untuk mendapatkan aiskrim pasu bagi kali kedua dan seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Usahawan muda berusia 26 tahun ini berkata, dia mula mendapat idea menyediakan aiskrim pasu ketika cuba merasai keenakannya di sebuah lokasi pelancongan.

Pelbagai ramuan dan perasa disediakan dengan hanya RM5 sebekas.
“Sebelum itu, saya mula sediakan ruang untuk vendor mempromosikan barangan mereka di Butik Gerobok Tuan Tanah yang berkongsi bangunan dengan kilang baju Rokiah Garments di Taman Bandar Baru, Sungai Petani (terletak di belakang Institut Kemahiran Mara).

“Bagaimanapun, apabila memikirkan cara untuk tarik pelanggan ke butik vendor ini, kami cuba sediakan sesuatu yang berlainan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka sambutan begitu menggalakkan sehingga kini mencecah 500 aiskrim pasu berjaya dijual sehari.

Katanya, bagi melancarkan urusan, suami, Mohd Ridhaus Irffan, 26, dan adik lelaki, Rozaimy, 24, turut membantunya kerana tidak menang tangan dengan tempahan pelanggan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Awie hilang hak penjagaan anak

PENYANYI rock popular, Awie kehilangan hak penjagaan ke atas tiga orang anaknya setelah Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam memberikan perintah hak penjagaan sementara (hadanah) kanak-kanak itu kepada isterinya, Rozana Misbun.

Perintah penjagaan kepada Rozana, 37, diputuskan oleh Hakim Syarie Ibrahim Deris ketika prosiding berlangsung di kamarnya.

Ibrahim membuat keputusan itu setelah beliau berpuas hati dengan dokumen yang dikemukakan oleh Rozana yang merupakan pemohon dalam kes tersebut.

Rozana diwakili peguam syarie, Jamal Mohd. Lokman Sulaiman.

Dalam perintah itu, mahkamah memutuskan Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, diberikan kepada Rozana sehingga perintah penjagaan kekal ke atas anak-anak pasangan itu dikeluarkan.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, sebagai responden diberikan hak melawat di kediaman anak-anaknya selama dua jam sebanyak dua kali sebulan pada Sabtu atau Ahad pada minggu pertama dan ketiga.

Bagaimanapun, sebelum melawat anak-anaknya itu, Awie diperintahkan supaya memaklumkan terlebih dulu kepada Rozana.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Budak makan Spongebob Squarepants

JEDDAH - ARAB SAUDI. Seorang doktor di Hospital Universiti di Jeddah, terkejut apabila menemui ‘makhluk akuatik’ berada dalam perut seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun, setelah diamati menerusi imbasan X-Ray, ‘makhluk akuatik’ yang berada dalam perut kanak-kanak terbabit sebenarnya  sekeping pin berukiran kartun animasi ‘Spongebob Squarepants’.

Doktor yang merawat kanak-kanak berkenaan, Dr Ghofran Ageely Raja Abdulaziz berkata, pin tersebut sebenarnya loket yang dimiliki oleh kanak-kanak tersebut.

“Menerusi imbasan X-Ray, apa yang boleh kita lihat adalah sekeping loket kecil yang agak nipis, ia kelihatan seperti pin. Saya hampir menjerit apabila melihat objek tersebut dengan lebih dekat.

“Saya kagum dengan butiran jelas yang boleh kita lihat. Kalau kita teliti dari imbasan tersebut, kita boleh lihat kasut, mata dan wajah Spongebob yang sedang tersenyum; berada dalam perut kanak-kanak ini,” katanya seperti yang dipetik menerusi sebuah kiriman e-mel.

Memetik laporan oleh portal Metro.co.uk, doktor telah berjaya mengeluarkan loket tersebut dan kanak-kanak tersebut dibenarkan pulang ke rumahnya.

Sinar Harian

Baca lagi >>