Friday, 23 January 2015

Zamani memberi maaf dan memohon agar rakaman video dipadamkan

PENYANYI, Zamani Slam dilaporkan telah memaafkan individu yang menyebarkan videonya menyanyi semasa bergari dan menjadi viral di laman sosial sejak Rabu lalu, lapor sebuah portal.

Memetik laporan itu, abang pelantun lagu Gerimis Mengundang itu, Zulfazli Ibrahim berkata, Zamani tidak akan mengambil sebarang tindakan dan meminta agar perkara itu tidak dipanjangkan.

Video yang menjadi viral serta mendapat kecaman pelbagai pihak, sebaik ia tersebar menerusi laman sosial.
"Dia sendiri yang minta agar isu ini tidak dipanjangkan dan sudah memaafkan individu itu. Saya dan keluarga akur dengan permintaan itu. Zamani tidak akan mengambil sebarang tindakan. 

"Saya tahu berkenaan penahanan dan video itu hanya selepas dimaklumkan rakan,” katanya selepas melawat Zamani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, hari ini. 

Sebelum ini, video berdurasi satu minit 23 saat itu menjadi viral serta mendapat kecaman pelbagai pihak sebaik ia tersebar menerusi laman sosial seperti blog dan Facebook.

Akui terkilan dengan perlakuan individu tersebut namun Zulfazli tetap berbangga dengan tindakan adiknya yang sudi memaafkan orang lain.

"Saya agak terkilan dan sedih dengan penyebaran video ini, tetapi, saya bangga dengan dia kerana dalam keadaan menghadapi kes ini pun, dia tetap sudi memaafkan orang yang bertindak begitu," katanya.

Peguam Zamani, Ahmad Zaharil Muhaiyar memberitahu kes anak guamnya itu akan disebut di Mahkamah Majistret Ampang pada Selasa depan.

Sementara itu, pengurus peribadi Zamani, Johan Aziz memberitahu, penyanyi itu meminta agar video tersebut dipadamkan demi menjaga kepentingan semua pihak.

“Zamani telah menyatakan kemaafan kepada pihak yang merakam video viral itu dan beliau tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap perkara tersebut.

“Beliau juga meminta agar video itu dipadamkan demi menjaga kepentingan semua pihak. Saya harap kita semua menghormati keputusan Zamani,” katanya yang dipetik melalui laman Facebooknya, hari ini.

Beliau turut memaklumkan Zamani berada dalam keadaan sihat dan mendapat layanan yang baik oleh pihak polis.

“Terima kasih kepada pihak polis kerana membenarkan kami berjumpa Zamani. Alhamdulillah dia dalam keadaan sihat dan diberi layanan yang baik oleh pihak polis,” katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Tiada acara rasmi pengkebumian Raja Abdullah

Upacara pemakaman Almarhum Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz dilaksanakan selepas solat Jumaat sambil pemimpin negara asing berkumpul dalam masjid gua di ibu kota ini.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif menyertai pemimpin negara Teluk untuk menunaikan solat jenazah di Masjid Imam Turki bin Abdullah, gambar televisyen menunjukkan.

Raja Bahrin, Raja Hamad bin Isa al-Khalifa; Emir Qatar, Sheikh Tamim Bin Hamad al-Thani dan Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah adalah antara pemimpin yang hadir pada majlis pemakaman.

Jenazahnya yang ditutup dengan kain kapan putih kemudiannya dibawa ke satu kubur tidak bertanda di kawasan tanah perkuburan awam di Al-Aoud, Riyadh.

Tiada tempoh rasmi berkabung diumumkan di Arab Saudi dan bendera kerajaan negara itu juga dikibar seperti hari-hari biasa.

Walaupun populariti Almarhum jelas di kalangan rakyatnya, namun tidak ada perhimpunan besar-besaran di jalanan di sekitar bandar sebagai menandakan pemergian beliau.

Pejabat-pejabat kerajaan, ditutup seperti biasa pada hujung minggu di Timur Tengah iaitu hari ini dan esok serta akan dibuka semula seperti biasa pada Ahad.

Solat Asar turut dibuat terlebih dulu sebelum majlis pengebumian Almarhum dan pengebumian jenazahnya juga dibuat tiada sebarang acara rasmi.

Raja Abdullah Abdulaziz, mangkat kira-kira jam 1 pagi semalam, pada usia 90 tahun akibat radang paru-paru, menurut kenyataan Agensi Saudi Press.

Adik tirinya yang Putera Mahkota, Salman, 79 hari ini diisytiharkan sebagai Raja Arab Saudi yang baharu bagi menggantikan Almarhum.

BHarian

Baca lagi >>

Asteroid bersaiz 500 meter diameter dijangka hampiri bumi Selasa depan

Asteroid 2004 BL86 bersaiz 500 meter diameter (0.5 kilometer) yang menghampiri Bumi setiap 200 tahun sekali, akan muncul semula pada Selasa depan.

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia dijangka muncul pada jam 12.20 tengah malam, hari terbabit.

Laluan Asteroid 2004 BL86 bersaiz 500 meter diameter (0.5 kilometer) yang akan melintasi bumi
Katanya, jarak asteroid berkenaan dari bumi ketika itu dianggarkan sejauh 1.2 juta kilometer atau kira-kira tiga kali jarak bumi ke bulan.

"Pada kedudukan ini, ia kelihatan bergerak di hadapan bintang-bintang dan dapat dilihat hanya menerusi teleskop atau binokular berkuasa tinggi.

"Pada 26 dan 27 Januari ini, kecerahan Asteroid 2004 BL86 adalah dianggarkan pada magnitud kesembilan dan bergerak pada orbitnya mengelilingi matahari dengan kelajuan 56,420 kilometer sejam," katanya.

Kata kenyataan itu lagi, asteroid berkenaan telah ditemukan oleh teleskop Lincoln Near-Earth Asteroid Research (LINEAR) di White Sands, New Mexico pada 30 Januari 2004.

"Penyelidik di seluruh dunia menjangkakan, selepas kemunculan Asteroid 2004 BL86 pada tahun ini, tiada asteroid lain yang diketahui akan berada paling hampir dengan Bumi sehingga tahun 2027.

"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia tidak akan mendatangkan sebarang bahaya kepada Bumi. menurut kenyataan itu," katanya.

Bagi mereka yang ingin mencerap, boleh merujuk kepada buruj Cancer dan lokasi pencerapan mestilah jauh dari pencemaran cahaya di kawasan yang lapang dengan keadaan cuaca yang mengizinkan.

BHarian

Baca lagi >>

Kisah sebenar remaja yang menjadi viral di laman sosial

Polis menafikan dakwaan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun berada dalam keadaan hilang ingatan, ketika ditemui di bandar ini, malam kelmarin.

Difahamkan remaja terbabit hanya membuat cerita kononnya dia hilang ingatan, dan hanya mengingati nama dan tempat tinggalnya di Selangor.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, remaja berkenaan sebenarnya tinggal di Senawang, di sini, dan difahamkan berselisih faham dengan keluarga sebelum keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibunya.

“Namun, dia ditemui orang awam dan memberitahu tidak ingat apa-apa kecuali berasal dari Selangor. Tapi, dia kemudian mengaku cerita itu tidak betul.

“Kita menyerahkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dia sudah diserahkan kembali kepada ibunya petang tadi (semalam),” katanya.

Sebelum ini, foto kanak-kanak itu sedang menangis disertakan dengan cerita dia ditemui dalam keadaan tidak mengingati apa-apa, kecuali nama dan berasal dari Selangor heboh diperkatakan dan mula menjadi viral di laman sosial.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Raja Abdullah mangkat

ARAB SAUDI - Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz diumumkan mangkat dalam pengumuman yang dibuat stesen tv negara itu awal pagi ini.

Abdullah meninggal dunia pada usia 90 tahun.

Raja Arab Saudi yang baharu akan diwarisi Putera Salman Abdulaziz, lapor stesen tv berkenaan lagi yang dipetik daripada CNN.
Raja Abdullah, 90, dimasukkan ke hospital kerana menghidap jangkitan pada paru-paru.

Baginda menaiki takhta pada tahun 2005.

Baca lagi >>

Guru Al-Quran dipukau, barang kemas ditukar kepada duit syiling

KUALA BESUT - Seorang guru al-Quran mendakwa dipukau dua lelaki tidak dikenali sehingga menyebabkan dia kerugian kira-kira RM5,000.

Lebih menghairankan, dalam kejadian Selasa lalu, dia tidak menyedari sampul surat berisi barang kemas miliknya yang dikembalikan kepadanya rupa-rupa hanya mengandungi duit syiling.

Mangsa, Khatijah Muhammad, 66, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi,  dia dalam perjalanan ke sebuah kedai di Pekan Baru Kuala Besut seorang diri.

Dalam perjalanan itu, katanya, dia didatangi seorang lelaki berusia lewat 50-an bertanyakan rumah seorang bomoh di sekitar kawasan terbabit.

“Makcik cakap tak tahu.. kemudian datang seorang lagi lelaki berusia 30-an kononnya tak kenal lelaki pertama.

“Lelaki pertama kemudian beritahu.. saya langkah kanan kerana bertemunya sambil dia mengeluarkan sebiji batu berwarna perang seperti tembaga untuk diberikan kepada makcik,” katanya.

Khatijah berkata, lelaki itu juga mengeluarkan satu objek lain untuk diberikan kepada seorang lagi lelaki yang dipercayai berpura-pura tidak mengenalinya.

Menurutnya, lelaki pertama yang berpakaian kemas dan bersih serta memakai kopiah itu mendakwa dia datang dari Sarawak kemudian meminta dia memasukkan semua barang kemas yang dipakai ke dalam sampul surat bersama batu tembaga itu kononnya untuk memastikan batu tersebut benar-benar berkesan sebagai azimat.

“Makcik bagai dipukau dan hanya menurut arahannya tanpa membantah.. makcik masukkan dua cincin ke dalam sampul surat yang disediakan lelaki kedua.

“Lelaki pertama cuba menanggalkan rantai pada leher makcik tetapi makcik larang dan makcik tanggalkan rantai itu sendiri,” katanya.

Selepas memasukkan kesemua barangan kemas  tersebut kata Khatijah, lelaki itu menyerahkan kembali satu sampul surat kepadanya sambil memberitahu dia kena mematuhi pantang larang iaitu jangan membuka sampul tersebut sebelum waktu Maghrib dan jangan beritahu sesiapa.

Lelaki berkenaan kemudian berlalu pergi sementara Khatijah berjalan menuju ke kedai yang terletak tidak jauh dari tempat itu untuk membeli barangan keperluan.

Katanya, keadaan dia ketika itu bagai kebingungan dan tidak banyak bercakap sehingga menyebabkan peniaga yang sememang mengenalinya kehairanan.

“Selepas selesai membeli di kedai itu makcik berjalan kaki pulang ke tempat makcik mengajar mengaji.. barulah terlintas untuk membuka sampul surat itu kerana mula mengesyaki sesuatu yang buruk

“Makcik terkejut sebaik membuka sampul surat mendapati hanya terdapat sejumlah kecil duit syiling dan bukan barang kemas makcik, batu juga tiada di dalam sampul itu,” katanya.

Tidak puas hati dengan tindakan dua lelaki berkenaan Khatijah kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek dan sebelum ini dua kes seumpama itu telah dilaporkan berlaku di daerah ini.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Hero yang tidak didendang sewaktu banjir tempohari

Tindakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama di Kuala Krai yang menghantar pesanan ringkas kepada pasukan penyelamat kemudian menutup telefon bimbitnya bagi menjimatkan bateri mampu menyelamatkan nyawa ratusan mangsa banjir yang terperangkap di sekolah itu.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkongsi cerita tersebut ketika menjadi panel pada Wacana Sinar Harian siri ke-34, Kelantan Pasca Banjir: Bicara Hati ke Hati Pas, Umno Bangunkan Semula Kelantan yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Anggota tentera membantu menurunkan bantuan ke Sekolah Kebangsaan Manek Urai yang terputus hubungan melalui jalan darat di Kuala Krai. - Foto Bernama
Ketika kejadian pada 25 Disember lalu, pelbagai maklumat tersebar di aplikasi WhatsApp dan laman sosial mengaitkan sekolah berkenaan.

Namun, kata Md Alwi, bantuan yang dihantar pihak berkuasa tidak dapat sampai ke lokasi pada malam kejadian tersebut.

“Misalnya SK Manek Urai Lama yang tersebar WhatsAapp kata 200 orang mati...runtuh. Sebenarnya pada malam 25 Disember itu, Datuk Mustafa (Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed) ketika itu masih di Mekah dan saya menghubungi Panglima Angkatan Tentera sebab ramai wakil rakyat dah minta tolong.

“(Selepas) Itulah helikopter pergi (ke sekolah). Untuk makluman di sekolah itu, mereka berpindah dari tingkat satu ke tingkat empat. Bayangkan mereka di sana dari 24 Disember hingga 26 Disember. Kita hantar helikopter dan bot tapi tak boleh masuk,” ceritanya.

Mengimbas kembali situasi itu, beliau menyebut tentang seorang guru yang tidak diceritakan jasanya.

“Ada seorang cikgu...dia memang ‘unsung hero’. Telefon bimbitnya masih mempunyai bateri jadi, dia SMS kemudian dia tutup telefon untuk jimat bateri. SMS dia lah sebenarnya yang datang meminta tolong.

“Nasib baik bomba ada kenderaan amfibia bomba, pada malamnya, kenderaan ini sampai ke sekolah tapi bukan SK Manek Urai Lama, sekolah yang sebelah lagi. Sebab elektrik dah putus dan tak dapat nak beri ‘signal’, dia hanya dengar bunyi enjin bot.

“Kemudian dia hubungi kita balik. Alhamdulillah pagi esoknya, barulah helikopter dapat masuk dan Tan Sri Panglima Tentera Darat sendiri turun dengan tali bawa makanan dan air kepada mereka,” katanya.

25 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan lebih 400 mangsa banjir yang terpaksa mendiami tingkat tiga SK Manek Urai Lama berikutan air menenggelamkan sehingga tingkat dua bangunan berkenaan, dilaporkan selamat.

Sinar Harian

Baca lagi >>