Wednesday, 21 January 2015

Pertumbuhan ekonomi perlahan tak jejas pekerja - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak percaya pertumbuhan ekonomi global yang perlahan sekarang tidak akan menjejaskan pekerja di negara ini.

Katanya, walaupun keadaan ekonomi tidak rancak, ia tidak sampai ke tahap majikan perlu mengambil langkah mengurangkan pekerja.

"Saya tidak fikir akan berlaku retrenchment, pengurangan pekerja atau pun pendapatan mereka akan berkurangan, tetapi itu mungkin bererti bahawa kegiatan ekonomi perlahan sedikit," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Soal Jawab terbitan TV3 malam ini.

Dalam temu bual itu, Najib diminta memberi pandangan tentang kesan yang mungkin dihadapi golongan pekerja di negara ini akibat pertumbuhan ekonomi global yang perlahan pada masa ini, khususnya dari segi pendapatan mereka. 

Bagaimanapun, Perdana Menteri berpandangan bahawa keadaan sekarang mungkin akan memberi kesan dalam penawaran peluang pekerjaan yang baharu.
“Pertambahan peluang kerja baharu akan tetap ada dalam bilangan yang mungkin lebih kecil, namun keadaan ini bukan bererti negara sedang mengalami krisis ataupun kegawatan. 

"Bilangan pekerjaan tetap bertambah cuma kadar pertumbuhannya itu nanti mungkin ada sedikit sebanyak kesan daripada pengurangan pertumbuhan ekonomi global," katanya. 

Selain membincangkan isu kelembapan ekonomi global, program selama sejam itu turut mengupas isu-isu lain seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), masalah banjir yang melanda beberapa negeri, isu militan serta 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Semalam, Perdana Menteri menyampaikan perutusan khas tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara bagi menghadapi landskap ekonomi dunia yang berubah. 

Bernama

Baca lagi >>

Harta pembantu juruterbang MH17 ke akaun amanah

Mahkamah Tinggi Syariah Tapah, semalam memerintahkan semua harta pusaka pembantu juruterbang MH17, Allahyarham Muhamad Firdaus Abdul Rahim ditahan dan dipelihara dalam akaun amanah di Amanah Raya Berhad dengan pemantauan bersama, sehingga penyelesaian muktamad harta berkenaan disempurnakan mengikut hukum syarak.

Hakim Abd Rahman Tobroni dalam kamarnya memerintahkan, semua pusaka milik  Allahyarham  yang diperoleh pemohon iaitu Fatimah Ibrahim yang juga ibu kepada Muhamad Firdaus dan responden pertama iaitu balunya, Norzarith Zaaba, serta responden kedua sehingga kelima yang juga adik-beradiknya dimasukkan ke dalam akaun amanah harta pusaka serta-merta.

Perintah sama turut dikeluarkan terhadap semua hutang-piutang dan tanggungan Allahyarham agar diselesaikan dengan segera melalui pembiayaan daripada harta pusaka tersebut.

“Mahkamah memerintahkan semua waris kadim Allahyarham menahan, menjaga dan tidak mengalihkan harta pusaka milik Allahyarham termasuk barang peribadi serta harta pusaka Allahyarham kekal ‘status quo’, kecuali penyelesaian hutang piutang dan tanggungan  Allahyarham mengikut peruntukan Seksyen 199 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Perak) 2004 sehingga harta disempurnakan melalui hukum syarak,” katanya.

Pemohon dan responden turut diperintahkan untuk harta pusaka Allahyarham dalam milikan  atau kuasa responden untuk diperiksa pemohon mengikut Seksyen 85 dan Seskyen 86 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Perak) 2004.

“Mahkamah memerintahkan mana-mana institusi termasuk perbankan menzahirkan semua harta Allahyarham," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Banjir di Sabah dan Sarawak semakin buruk

Keadaan banjir di Sabah dan Sarawak semakin buruk apabila bilangan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan terus meningkat malam ini.

Sehingga jam 9 malam ini, jumlah mangsa banjir di kedua-dua negeri itu kini sebanyak 8,218 orang, meningkat sebanyak 617 orang berbanding petang tadi.

Banjir di Sarawak

Di SABAH, mangsa di daerah Beaufort adalah sebanyak 1,233 orang daripada 442 keluarga, Sipitang (60 orang), Tenom (249) manakala Membakut sebanyak 332 orang.

Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Shahid Othman berkata hujan masih berterusan di daerah itu manakala paras air Sungai Padas setakat jam 6 petang tadi masih melepasi paras bahaya iaitu 9.32 meter.

Pegawai Daerah Tenom, Madiyem Layapin pula berkata paras air Sungai Padas di Tenom setakat ini ialah 177.42 meter, juga melepasi paras bahaya.

Madiyem juga berkata dua pusat pemindahan banjir di daerah itu telah ditutup hari ini iaitu Dewan Antanom dan Rumah Kebudayaan Ponontomon.

Sementara itu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata satu lagi pusat pemindahan dibuka malam ini, menjadikan ketika ini 38 pusat pemindahan banjir disediakan di bahagian Kuching, Samarahan, Mukah dan Limbang.

Jumlah mangsa di pusat pemindahan di bahagian Kuching meningkat kepada 3,592 orang kira-kira pukul 8 malam ini, daripada 3,373 orang petang tadi, manakala Samarahan turun kepada 1,507 orang daripada 1,598 orang dan Limbang juga turun sedikit kepada 1,211 orang daripada 1,244 orang.

Katanya bahagian Mukah kekal dengan satu pusat pemindahan menempatkan 34 mangsa daripada 10 keluarga.

Di Limbang, beberapa tempat hari ini menghadapi masalah kekurangan bekalan petrol dan diesel, menyebabkan orang ramai di sana hanya dibenarkan untuk membeli bahan api itu tidak lebih daripada RM30 bagi setiap pengisian.

Sementara di KELANTAN dan PERAK, jumlah mangsa kekal seperti yang direkodkan petang tadi iaitu masing-masing 255 dan 77 orang.

Bernama

Foto sekitar banjir di Sarawak (dari FB YM Raja Shamri)










Baca lagi >>

Maut selepas main 'video games'

KAOHSIUNG - TAIWAN. Seorang lelaki dijumpai tidak bernyawa di sebuah kafe siber di sini selepas bermain permainan video.

Dalam kejadian 8 Januari lalu, Hsieh, 32, dilaporkan sudah meninggal dunia beberapa jam sebelum itu kerana mayatnya sudah mula mengeras.

Polis memberitahu, Hsieh berkemungkinan besar mengalami kegagalan jantung.

"Suhu sejuk dan kepenatan melampau dalam tempoh masa lama berkemungkinan besar antara penyebab kegagalan jantung Hsieh," kata polis.

Menurut laporan CNN, Hsieh mula bermain permainan video di kafe siber berkenaan pada 6 Januari.

Menurut Taipei Times, Hsieh merupakan pelanggan tetap kafe siber berkenaan, dan selalu menghabiskan masa berhari-hari bermain permainan video atas talian di situ.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Perkembangan terkini Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Keadaan Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz kini dilaporkan semakin stabil.

Hal tersebut dinyatakan anaknya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang tiba di hospital sejak awal jam 10 pagi tadi.

"Ayahanda menunjukkan tindak balas positif, malah solat subuh dan minum air pagi tadi, Alhamdulillah, doakan semoga semuanya kembali pulih," katanya kepada media pagi tadi.

Menurutnya, Nik Aziz turut menjalani 'city scan' semalam dan menurut keputusan yang diterima, beliau tidak mengalami masalah kesihatan lain.

Nik Abduh juga memberitahu, ayahnya juga sedar dan sempat bertanya khabar dengan doktor yang merawatnya dan bila beliau dimasukkan ke hospital.

"Selama empat jam dia memberi respons (bertanya khabar) doktor, dia kini kembali stabil dan direhatkan,"katanya.

Beliau juga dimaklumkan oleh pihak doktor yang merawat agar ahli keluarga terdekat menderma darah bagi persediaan untuk rawatan susulan.

Sementara itu, Nik Abduh turut menjelaskan Nik Aziz yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian disahkan menghidap kanser prostat.

Ketika menjelaskan  perkara itu, Nik Abduh berkata, penyakit yang dihidapi ayahnya tersebut dikesan sejak lama tetapi rawatan berterusan oleh para doktor  berjaya mengawalnya.

“Ayahanda mengidap kanser prostat yang dikesan sejak sekian lama tetapi rawatan berterusan oleh para doktor telah berjaya mengawalnya. Terima kasih kepada pihak hospital yang telah dan sedang memberikan yang terbaik,” katanya dalam status facebooknya pagi ini.

Berita mengenai penyakit kanser yang dihadapi Nik Aziz tersebar sejak 2009, namun beberapa pihak termasuk dari keluarga pemimpin itu enggan mengesahkan.

Dalam pada itu Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, selepas diberi rawatan ayahnya menunjukkan reaksi lebih baik dan stabil.

Walau bagaimanapun katanya, doktor menyatakan ayahandanya perlukan rawatan rapi untuk pemulihan lebih baik.

“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan untuk kesihatan ayahanda. Ziarah ayahanda adalah mengikut prosedur yang ditentukan oleh pihak hospital dan dipersetujui oleh pihak keluarga,”katanya.

Dalam pada itu suasana di perkarangan HUSM pagi ini mula dipenuhi orang ramai termasuk pimpinan kerajaan negeri.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kanak-kanak 5 tahun menembak kepala adiknya yang berusia 9 bulan

MISSOURI - AMERIKA SYARIKAT. Seorang kanak-kanak lelaki 5 tahun dilaporkan menembak adiknya, bayi berusia 9 bulan di kepala.

Menurut laporan CNN, ibu kanak-kanak tersebut menelefon 911 dan mengatakan bayi tersebut ditembak menggunakan senapang paintball.

Senjata yang digunakan merupakan sepucuk pistol Magnum berkaliber .22.

Pegawai polis memberitahu, kejadian tersebut dianggap kemalangan dan tiada motif pembunuhan.
Gambar hiasan

Sheriff Darren White memberitahu CNN bahawa bayi tersebut berada dalam kurungan bayi ketika abangnya terjumpa pistol tersebut di atas sebuah katil.

Petugas kecemasan mengesahkan bayi tersebut ditembak di kepala dan disahkan meninggal dunia.

Kejadian yang dilaporkan berlaku Isnin lepas merupakan salah satu kes penggunaan senjata api berprofil tinggi oleh kanak-kanak.

Sebelum ini, kanak-kanak berumur 4 tahun membunuh sepupunya menggunakan pistol yang dijumpai di bawah katil.

Bulan lepas, seorang kanak-kanak berumur 2 tahun menembak ibunya menggunakan pistol yang dijumpai di dalam beg ibunya.

Pada Ogos 2014, seorang jurulatih maut selepas terkena tembakan kanak-kanak berumur 9 tahun semasa latihan menembak.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kanak-kanak 5 tahun diarahkan bayar RM86 kerana gagal hadir majlis harijadi

CORNWALL - BRITAIN. Seorang kanak-kanak menerima invois selepas gagal hadir majlis harijadi rakannya.

Alex Nash, 5, menerima bil berjumlah £15.95 (RM86) tersebut dari ibu rakannya, Julie Lawrence, lapor BBC.
Derek dan Alex Nash. - Foto BBC
Alex menerima jemputan majlis tersebut sebelum Krismas lepas, namun Alex perlu menghabiskan masanya dengan datuknya pada hari majlis harijadi tersebut.

Ayah Alex, Derek akan membawa perkara tersebut ke mahkamah kerana menganggap layanan (cara pemberian invois) adalah tidak wajar.

"Beliau (Julie) tidak menganggap saya seperti manusia dewasa. Beliau melayan saya seperti budak kecil, yang saya harus mengikut cakapnya (membayar wang)," tambahnya.

Menurut laporan itu lagi, Julie memberitahu bahawa Derek ada semua maklumat untuk menghubunginya untuk memaklumkan ketidakhadiran Alex.

Bagaimanapun, ibu dan bapa Alex menafikan perkara tersebut.

Baca lagi >>