Wednesday, 6 May 2015

Walk With Me 2015; Sultan Kelantan berjalan bersama-sama rakyat esok

KOTA BHARU - Tradisi Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berjalan bersama-sama rakyat jelata  menerusi Walkathon D’Raja Kelantan (Walk With Me 2015) diteruskan lagi kali ini dengan pengisian yang berbeza.

Ketua Istiadat Istana Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Datuk Tengku Feissal berkata, pada siri ke empat ini, Tuanku berkenaan mencemar duli  berjalan sejauh enam kilometer bersama-sama 25,000 rakyat termasuk pelajar Orang Asli dan pemimpin negeri  tanpa mengira fahaman politik.

Menurutnya, selain memberi peluang kepada orang ramai  bermesra dengan Tuanku program yang berlangsung Khamis ini juga diadakan untuk mengumpulkan dana menerusi Tabung Bencana D’Raja Kelantan bagi membantu golongan memerlukan.

Tengku Mohamed Faziharudean (tengah) menunjukkan baju edisi terhad yang bakal diberikan kepada penderma.
“Kelainan pada tahun ini bertepatan dengan ujian yang melanda Kelantan menerusi bah kuning, program ini dilaksanakan bagi mendapatkan sumbangan untuk membantu golongan memerlukan terutamanya membantu mangsa-mangsa banjir.

“Bersesuaian dengan slogan ‘Kito Terima Kasih Demo’ program tersebut diadakan sebagai tanda terima kasih Tuanku kepada semua pihak yang membantu memulihkan Kelantan akibat terjejas banjir teruk baru-baru ini,” katanya kepada media di sini semalam.

Katanya, sejak pelancaran tabung tersebut pada 1 Mei lalu, sebanyak RM1.07 juta dikumpulkan dan pada  permulaannya sumbangan berkenaan akan disalurkan kepada mangsa bah kuning serta membaiki kemudahan terjejas akibat banjir.

Bagaimanapun katanya, sumbangan menerusi tabung berkenaan akan dibuka sepanjang masa menerusi Pertubuhan Kerabat Di’Raja Kelantan Al-Muhammadi kerana ia ditubuhkan bagi membantu golongan kurang berkemampuan termasuk persediaan untuk menghadapi musim banjir yang akan datang.

Tambahnya, Tuanku akan mula berjalan secara beramai-ramai  pada jam 5 petang bermula dari Stadium Sultan Muhammad IV menuju ke Jambatan Sultan Yahya Petra dan berakhir semula di Stadium Sultan Muhammad IV.

Katanya, program menderma sambil beriadah  itu terbuka kepada semua secara percuma  dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat  menerusi facebook karnival Walk With Me ataupun mendaftar pada hari program.

“Peserta digalakkan berpakaian sukan yang menutup aurat dan orang ramai yang menderma RM10 ke atas diberikan Anis Moist coklat kek manakala RM100 ke atas mendapat t-shirt Walk With Me 2015 edisi terhad,” katanya.

Sehubungan itu, Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Hamzah dan Jalan Sultan Yahya Petra akan ditutup sementara secara berperingkat  bermula jam 4.30 petang hingga jam 7 petang.

Tengku Mohamed Faziharudean berkata, orang ramai boleh mengunjungi perkarangan stadium bermula jam 10 pagi lagi kerana terdapat pelbagai pameran disediakan termasuk pameran bah kuning.

Sinar Harian