Sunday, 3 May 2015

RM100,000 dibelanjakan untuk kucing Bengal

KOTA BHARU – Jika sudah minat, wang bukan lagi perkiraan. Itu yang berlaku kepada  seorang pemuda dari Kampung Banggol dekat sini yang sanggup berhabis ratusan ribu ringgit sejak empat lalu bagi mendapatkan kucing jenis Bengal.

Mohd Azizi Ismail,33,berkata, dia sangat beruntung kerana mempunyai banyak masa untuk diluangkan bersama 30 kucing Bengal peliharaannya kerana mengusahakan perniagaan batik dari rumah.

Azizi meluangkan empat jam sehari untuk menguruskan kucing-kucingnya di rumah kekal yang dibina di belakang kediaman keluarganya.


Rumah persis dalam taman untuk Bengal kesayangannya dibina sejak 2011 dengan kos RM100,000 dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Menurutnya, ruang yang luas perlu memandangkan Bengal adalah spesies kucing yang aktif, mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan suka akan ketinggian.

“Bila rasa bosan dengan kerja saya akan ke belakang rumah untuk bermain dan luang masa dengan Bengal peliharaan, rasa lebih tenang.

“Bukan saya sahaja yang suka ‘lepak’ di CatWhat Cattery ini malah ada juga peminat kucing sekitar sini sentiasa berkunjung untuk melihat perkembangan Bengal peliharaan,” katanya.

Azizi bertuah kerana isteri kesayangan, Suzaini Sipri, 29, dan dua anaknya sentiasa menyokong hobi dan minatnya terhadap kucing sejak kecil lagi.

“Bengal pertama saya memiliki pada 2011 saya beli di Pet Shop Kuala Lumpur dengan harga tidak kurang dari RM10,000. Bila dah minat memang kita tak rasa rugi walaupun terpaksa berhabis,” katanya.

Malah, jika dia terpaksa keluar daerah atas urusan kerja isterinya akan mengambil alih tugasnya menjaga dan mengurusnya Bengal di CatWhat Cattery.

Tambahnya, dia bukan sekadar obses kepada Bengal semata-mata tetapi juga terhadap keunikan pencirian genetik kucing tersebut dari segi corak dan warna.

Menurutnya, setiap satunya ada keunikan tersendiri serta mematuhi prinsip genetik yang betul.

“Kita boleh ubah (kacukan) untuk dapatkan Bengal yang kita mahu dari segi warna dan corak. saya sebenarnya menjurus minat dalam bidang genetik

“Kucing pula haiwan yang lebih dan senang, pada asasnya saya minat untuk melihat pencirian genetik manakala kucing memang saya minat sejak kecil lagi,” katanya.

Setiap bulan Azizi memperuntukkan RM3,000 sebulan bagi perbelanjaan keperluan Bengalnya dan dia menyifatkan ia bukan satu bebanan jika membabitkan hobi.

“Saya tak rasa terbeban bila kena keluar duit setiap bulan untuk Bengal peliharaan, malah saya juga ada dua pembantu untuk jaga di CatWhat Cattery ini," katanya.

Azizi berkata, dia pernah tidak tidur seminggu kerana menjaga Bengal peliharaan disebabkan ada semburan untuk hapus denggi dilakukan di kawasan sekitar rumah.

Walaupun Bengal aktif namun sangat sensitif oleh sebab itu dia perlu teliti dengan setiap kucing yang berada dalam jagaannya.

“Bayangkan seminggu saya tidak tidur sebab bimbang dengan kesihatan Bengal, ada yang saya suapkan ubat akhirnya ada juga yang mati.

Azizi juga menjelaskan penjagaan Bengal tidak serumit seperti yang disangka cuma perlu lebih teliti dalam pemakanan bimbang memberi kesan.

Kebiasaannya dia juga merawat sendiri kucingnya dan hanya ke klinik vaterinar jika keadaan teruk sahaja.

Bagi memudahkan urusan rutin harian dari segi penjagaan Azizi lebih senang menamakan 30 Bengal dengan panggilan tersendiri.

“Memang saya kenal kesemua 30 Bengal peliharaan sebab masing-masing ada kelainan dari segi corak, warna dan saiz," jelasnya.

Katanya, walaupun terpaksa berkorban dari segi wang ringgit dan komitmen dia sentiasa memberikan yang terbaik demi hobinya  itu.

“Rasa puas hati dan tidak menyesal langsung dengan hobi ini, saya juga dapat kumpul rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama,” katanya.

Sinar Harian