Tuesday, 5 May 2015

Peragut hampir putus telinga dibelasah orang ramai

KOTA BHARU - Tindakan meragut beg tangan seorang wanita membawa padah kepada dua peragut apabila mereka bukan sahaja ditangkap, malah salah seorang daripadanya hampir putus telinga, dipercayai dibelasah orang awam ketika cuba melepaskan diri.

Dalam kejadian di Tanjung Chat, di sini, kelmarin, suspek dikatakan ditangkap lebih 10 orang awam hanya kira-kira 200 meter dari kediaman mangsa yang berusia 50 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, dalam kejadian jam 7 petang itu, dua suspek berkenaan menghampiri wanita berkenaan di kawasan pintu pagar rumahnya.

Rohaimi memeriksa motosikal digunakan suspek ketika meragut beg tangan seorang wanita. Gambar kiri : Suspek yang cedera di pipi dan hampir putus telinga kiri dalam kejadian kelmarin.

Menurutnya, suspek yang datang dengan motosikal dan memakai topi keledar, meninggalkan motosikal di tepi jalan dan salah seorang suspek menghampiri mangsa dan meragut beg tangannya.

“Melihatkan keadaan itu, seorang saudara mangsa dan anak mangsa yang menyaksikan kejadian cuba menolong mangsa tetapi seorang lagi suspek memukul saudara wanita itu dengan kayu.

“Suspek melarikan diri dengan motosikal, namun hampir sejam kemudian suspek berjaya ditangkap orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada suspek itu cedera di telinga kiri dan pipi dipercayai kesan hirisan benda tajam.

"Salah seorang lagi cedera ringan dan ditahan di lokap IPD untuk siasatan lanjut. Suspek yang parah itu kini masih ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan dilaporkan stabil.

“Hasil siasatan kedua-dua suspek berusia 30-an yang berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat dan mempunyai kesalahan rekod lampau berhubung kes dadah,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih mengesan beg tangan yang dicuri termasuk wang tunai RM1,000 buku bank dan barangan berharga yang masih belum ditemui.

“Kita juga turut mengenal pasti motosikal yang digunakan juga adalah motosikal curi dan kini masih mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu.

“Saya nasihatkan kepada orang awam jika kejadian melibatkan kes tangkapan segera serahkan pada polis dan tidak bertindak menggunakan kekerasan berlebihan, namun kita masih mendapatkan maklumat lanjut daripada saksi berhubung kejadian terbabit," katanya.

Sinar Harian