Sunday, 3 May 2015

Pasar malam ditutup 15 minit beri laluan peniaga dan pembeli bersolat maghrib terlebih dahulu

GOMBAK - Rabu ini bermulanya kempen Jom Solat Maghrib Berjemaah hasil cetusan idea Jawatankuasa Penduduk Zon 11, di sini.

Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Syarhan Humaizi Halim berkata, kempen tersebut menggalakkan segala aktiviti perniagaan di pasar malam dan premis dihentikan selama 15 minit bagi menghormati azan dan menunaikan kewajipan sebagai umat Islam.

Menurutnya, sebagai permulaan, hebahan melalui kain rentang dan risalah selain surat rasmi telah diedar kepada peniaga dan pemilik premis.


“Kami juga telah maklumkan berkenaan kempen tersebut selepas solat Jumaat supaya ia berjaya mencapai objektifnya dan menjadi amalan dalam masyarakat.

“Buat masa ini kempen yang dilakukan menerima reaksi positif dari masyarakat. Ia bertujuan untuk memberi kesedaran memandangkan lokasi surau hanya bersebelahan tapak pasar malam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, anggota sukarelawan juga bakal ditempatkan di lokasi yang bertanggungjawab membuat pengumuman setiap kali masuknya waktu Maghrib.

“Tiada cadangan untuk penguatkuasaan buat masa ini kerana kempen lebih ditumpukan kepada mendidik.

“Tidak dapat dipastikan program terdapat di kawasan lain atau sebaliknya, tapi ini adalah projek perintis dalam Zon 11 sebagai program menggalakkan solat jemaah dan imarah masjid serta surau,” katanya.

Sinar Harian