Wednesday, 6 May 2015

Sayu, sekeluarga terpaksa makan nasi berlaukkan air garam akibat kekangan kewangan

KUALA KEDAH - Sebuah keluarga di Kampung Sungai Mati, Teluk Kechai, di sini, terpaksa makan nasi berlaukkan air garam berikutan kesempitan hidup.

Shukri Che Nik, 56, berkata, dia hanya mengambil upah melakukan kerja kampung seperti mengusahakan sawah padi milik orang dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan.

“Bagaimanapun, pendapatan sebegini tidak cukup menampung perbelanjaan harian kami sekeluarga, memandangkan isteri, Farinah Said, 55, tidak bekerja.


"Malah, bulan ini saja sudah beberapa kali kami sekeluarga makan nasi berlaukkan garam disebabkan tiada wang untuk beli makanan. Asal kenyang itu sudah cukup," katanya.

Lebih menyedihkan menurutnya, lima anaknya berusia antara 14 hingga 25 tahun terpaksa berhenti sekolah ketika berada di tingkatan 1 untuk turut sama mencari rezeki.

Bagaimanapun, menurutnya, wang gaji dua anaknya berusia 14 dan 18 tahun sebagai tukang besi hanya cukup untuk perbelanjaan diri masing-masing.

"Biarpun masih bawah umur, namun kebanyakan anak-anak sanggup bekerja untuk membolehkan kami makan dan membayar bil.

"Malah, untuk menjimatkan wang, anak sering kutip kayu buangan berhampiran rumah untuk dijadikan kayu api memasak makanan setiap hari," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati struktur tertentu rumah dihuni keluarga Shukri dibina menggunakan kayu buangan dan papan pemberian orang ramai untuk menutup kebocoran.

Lebih menyedihkan, bahagian dapur mereka hanya berlantaikan tanah, manakala bilik air hanya dilitupi kain.

Dalam pada itu, kesempitan hidup keluarga Shukri akhirnya mendapat perhatian Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Kedah yang turun padang menziarahi mereka, semalam.

Pengerusi Ikhlas Kedah, Sarjakhan Abu Bakar berkata, dia menerima maklumat berkaitan keluarga berkenaan ketika berbual dengan bapa mertuanya.

“Bapa mertua memaklumkan dia memberikan sebuah keluarga beras kerana kasihan melihat kesempitan hidup dialami mereka.

"Malah, saya sendiri terkejut apabila melihat keadaan keluarga ini. Sehingga kini, sudah dua kali Ikhlas melakukan lawatan dan memberi bantuan sewajarnya kepada mereka," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan bebanan keluarga Shukri boleh menghubungi Sarjakhan menerusi 017-5515071 untuk maklumat lanjut.

Sinar Harian