Tuesday, 5 May 2015

"Mira nak orang yang langgar papa dan mama Mira masuk ke penjara..."

KUALA LUMPUR - "Amira dah takde papa dan mama...Amira nak atuk (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tangkap orang yang langgar papa Mira...Mira dah tiada siapa lagi dalam dunia ini."

Itulah luahan sayu Nur Firuza Amira, 7, yang kehilangan bapanya Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35, dan ibu, Nova Safitri Azhari, 25, serta adik bongsu Nur Firuza Annisa, tujuh bulan, dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Km 6.2 Lebuhraya Duke di sini, Sabtu lalu.
    
Perasaan sedihnya itu diluahkan ke telinga Ahmad Zahid, yang merupakan Menteri Dalam Negeri, ketika menziarahi keluarga mangsa di Taman Batu Muda, Batu Caves di sini, hari ini.
    
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi (kiri) memegang adik Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 7, yang merupakan anak pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Km 6.2 Lebuhraya Duke semasa hadir menziarahi keluarga mangsa di Taman Batu Muda hari ini. - Foto Bernama
"Mira nak orang yang langgar papa dan mama Mira masuk ke penjara... ," kata kanak-kanak yang mempunyai seorang adik, Nur Firuza Akila, tiga tahun, ketika ditemui Bernama.
    
Menurut Amira, murid Sekolah Rendah Taman Koperasi Polis Fasa 2, mereka kini dijaga oleh nenek, Normah Toso, 65.
    
Sementara itu, Normah berkata, emosi Amira masih terganggu walaupun sudah dua hari kemalangan itu berlaku.
    
"Setiap kali dia tonton berita di televisyen mengenai kemalangan yang melibatkan ibu bapa dan adik bongsunya, dia akan meraung sambil memanggil ayahnya.
    
"Walaupun Amira baru berusia tujuh tahun, namun pemikirannya seperti kanak-kanak berusia sembilan tahun," kata Normah.

Beliau berkata, Amira dan Akila buat masa ini akan menetap bersamanya dan dibantu anak ketiganya, Hamlizar Husain, 43, bagi menjaga keperluan harian dua beradik yatim piatu itu.

Mengenai peribadi arwah Fairuz Nizam, Normah berkata, kehilangan anak keempat daripada enam beradik itu cukup memilukan apatah lagi arwah banyak menjaganya ketika hayatnya dulu.

"Kalau makcik sakit arwah yang belikan ubat, makanan, pakaian semua arwah sediakan. Setiap bulan arwah beri wang belanja RM1,000," katanya.
    
Nahas yang berlaku kira-kira pukul 1.05 pagi itu membabitkan Mitsubishi Pajero yang dipandu Fairuz Nizam dan dua kereta Perodua Myvi, dengan beberapa saksi dilaporkan melihat aksi sekumpulan pemandu kereta Myvi berlumba di jalan raya sejurus sebelum kemalangan.

Sinar Harian