Monday, 4 May 2015

Izin suami masih relevan

MASA kelihatan berbeza. Dahulu, saya pernah kehairanan apabila mendengar seorang teman berkata:

“Puan, saya tidak boleh membuat kata putus sekarang. Jika suami mengizinkan, insya-Allah saya hadir ceramah itu. Suami saya bekerja sendiri, Jumaat biasanya beliau pulang ke rumah untuk makan tengah hari.”

Hati saya terus mengata, “Alahai...masih ada lagi wanita bersifat begini. Wanita ketinggalan zaman. Kenapa tidak disediakan sahaja keperluan lebih awal? Tidak bolehkah meminta suami supaya berdikari?”

Nun jauh di hati, saya fikir wanita bekerjaya boleh membuat keputusan tanpa perlu mendapat persetujuan suami terutamanya membabitkan urusan organisasi, ceramah agama dan apa sahaja kegiatan dilakukan pada waktu rehat pejabat atau hujung minggu.

luangkan masa khusus untuk suami dan anak-anak terutama ketika cuti hujung minggu. – Gambar hiasan
Namun, wanita itu berhujah dengan hemah, “Maaf puan, hujung minggu waktu rehat saya untuk Allah secara khusus. Ia juga untuk suami dan anak-anak.”

Beliau tersenyum melihat saya kebingungan. Usia muda saya tidak membantu. Ia disokong pula dengan pengetahuan dan amalan agama yang cetek. Saya melihat kehidupan dunia dengan pandangan sehala.

Wanita separuh usia itu terus berbisik mahu mengajar sesuatu, “Saya harus menjemput anak-anak dari sekolah dan menyediakan makanan untuk mereka serta suami ketika waktu rehat. Pada ketika inilah saya menunaikan solat. Kemudian saya harus berkejar pula ke pejabat. Benar, suami mengizinkan saya bekerja. Namun, ia bukan alasan untuk mengabaikan suami dan rumah tangga. Ia pilihan saya. Pilihan sendiri.”

Allah...ya Allah. Saya tersentak! Sungguh, pipi bagaikan ditampar. Tidak tahu bagaimana mahu melahirkan perasaan apabila menyedari masih wujud wanita seumpama itu. Terasa sukarnya kewajipan seorang wanita bekerja dalam masa yang sama harus memikul tugas sebagai ibu dan isteri.

Saya merenung diri sambil melihat bagaimana pengurusan keluarga diuruskan. Ketika waktu bekerja, anak-anak kecil dibiarkan dalam penjagaan nurseri. Anak remaja pula harus berdikari ketika pulang dari sekolah waktu tengah hari. Waktu rehat di pejabat adalah masa untuk diri sendiri. Solat zohor dilakukan kerana ia satu kewajipan. Di mana suami menyuapkan hidangan tengah hari? Entah, ia langsung tidak termasuk dalam fikiran.

Ketika waktu bekerja saya fikir isteri milik majikan. Jadi, masing-masing boleh membuat keputusan tanpa perlu berbincang bersama pasangan. Apa yang disampaikan kepada suami adalah makluman bukan permohonan untuk mendapatkan keizinan.

Kecewa

Seketika saya berfikir. Sukarnya perasaan apabila suami isteri sibuk menghadiri aktiviti pada hujung minggu sedangkan anak-anak terbiar tidak terurus di rumah. Sebagai isteri dan ibu saya mula berasa kecewa melihat keadaan rumah tangga. Namun, barangkali Allah SWT lebih murka dan kecewa melihat tindakan saya kerana mengetepikan tanggungjawab terhadap anak-anak serta suami. Dia nyatakan melalui ayat 34 surah an-Nisa yang bermaksud,

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.

Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).

Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.”

“Taat suami? Masih relevankah untuk taat kepada suami pada zaman moden ini?” sekadar bertanya rakan-rakan seusia yang bertindak berhenti kerja kerana mahu menumpukan perhatian kepada rumah tangga. Salah seorang menyatakan,

“Subhanallah! Setelah menjadi isteri dan ibu sepenuh masa, rumah tangga lebih terurus dan kebajikan anak-anak terjaga. Suami semakin bertambah prihatin terhadap saya.”

Namun, ada yang cuak dengan ungkapan itu dengan berkata,

“Alahai...gaji suami saya sebesar siput. Pertengahan bulan terasa nafas semakin semput. Kalau saya berhenti kerja, siapa mahu membayar bil bulanan dan hutang-piutang yang menimbun? Bercakap memang senang...izin atau tidak, saya tetap mahu bekerja.”

Akhirnya...saya mula mengerti kesukaran dan kehebatan manusia bernama isteri. Suami zaman kini nyata sukar atau gagal menjadi pelindung dan pengawal sepenuhnya kepada kaum wanita dan keluarga. Namun biarlah kita berhati-hati di dalam soal ini.

Diam-diam saya merenung diri, memikirkan reja kehidupan berbaki. Barangkali fasa kehidupan saya sudah di hujung perjalanan. Usia menghampiri sempadan kematian. Menoleh ke belakang dengan apa yang dilalui, hati terasa kecut. Diam-diam hati berkata, “Ya Allah, apakah daku termasuk dalam golongan wanita soleh yang taat perintah-Mu dan taat suamiku?”

Ya Allah, kami memohon keampunan-Mu.

Kosmo