Wednesday, 13 May 2015

Guru maut terjatuh siling

TUMPAT - Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting maut selepas terjatuh dari siling tingkat satu rumahnya dekat Kampung Morak, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.50 petang, mangsa, Mohd Rozaidi Awang 41, jatuh terhempap di tangga loteng di ruang tamu tingkat bawah dengan ketinggian kira-kira 7 meter menyebabkan kecederaan parah di  kepala.

Seorang saudara mangsa menunjukkan siling berlubang.
Isteri mangsa, Wan Noorazlin Wan Yaakob, 41, berkata, suaminya naik ke atas siling rumah untuk membantu anak saudara memeriksa sama ada air naik ke dalam tangki kerana pam air rosak sejak sebulan lalu.

Menurutnya, selepas selesai memberi peralatan baiki tangki air itu,  suaminya yang merupakan guru Bahasa Inggeris  bergerak masuk ke dalam siling kerana ternampak sarang burung dalam siling.

“Dia nak buang sarang burung yang bersarang itu, tetapi tidak menyangka kakinya terpijak bahagian siling yang lembut,” katanya merupakan guru di SMK Chabang Empat.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di ruang tamu tingkat bawah sedang menghidangkan minuman  untuk suami dan anak saudaranya di meja makan.

Mohd Rozaimi maut selepas terjatuh dari siling. FOTO Siti Rohana Idris
Katanya, dia terdengar bunyi dentuman kuat seperti ada sesuatu terjatuh dari siling dan berpaling ke belakang untuk melihatnya.

“Terkejut saya kerana yang terjatuh itu adalah suami saya. Kepalanya berlumuran darah kerana terhantuk dengan kuat di tangga loteng itu dan kemudiannya jatuh bergolek ke lantai ruang tamu,” katanya.

Menurutnya, arwah tidak sedarkan diri dan dia terus menghubunginya ambulan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Wakaf Bharu tetapi disahkan arwah sudah meninggal dunia.

Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung Morak.

Turut mengiringi jenazah arwah, Naib Ketua Umno Bahagian Tumpat, Wan Hanapi WanYaakob merupakan abang ipar arwah.

Hasil perkahwinan arwah dengan isterinya dikurniakan enam anak berusia dua hingga 14 tahun.