Thursday, 7 May 2015

Bas bertembung treler, 45 penumpang nyaris maut

DUNGUN - Seramai 45 penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila pengangkutan awam yang mereka naiki merempuh sebuah treler dalam satu kemalangan jalan raya di kilometer 357 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa II Bukit Besi Ajil, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, bas ekspres dua tingkat yang dipandu Messuan Warson, 38, dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika bas ekspres tersebut sedang memotong sebuah treler tetapi sebuah lagi treler secara tiba-tiba memasuki lorong kanan.

“Pemandu cuba mengelak tetapi tidak berjaya dan bas ekspres terbabit telah merempuh belakang sebuah treler yang membawa muatan tiang konkrit menyebabkan bahagian hadapan bas remuk.

“Treler berkenaan dipandu, Zainuddin Ismail, 50 yang ketika itu dalam perjalanan dari Besut ke Kemaman.

"Akibat insiden itu, tiga penumpang bas termasuk seorang dari Singapura cedera ringan ketika berebut untuk keluar menyelamatkan diri selepas kemalangan berlaku," katanya.

Katanya, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan tiada penumpang yang dimasukkan ke wad atau menerima rawatan lanjut.

Menurutnya, penumpang bas dipindahkan ke bas lain untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang penumpang bas, Wan Hanisah Wan Aziz, 45, berkata, dia hanya menyedari kejadian apabila bas dinaiki bergoyang secara tiba-tiba.

"Saya sedang tidur ketika itu dan terkejut apabila bas bergoyang dengan kuat. Ketika itu baru saya sedar kemalangan berlaku dan suasana dalam bas menjadi kelam kabut.

"Bagaimanapun situasi berkenaan dapat ditenangkan semula oleh penumpang lain dan kami bersyukur kerana terselamat. Ketika kejadian bas dipandu dalam keadaan tenang dan tidak laju," katanya.

Sinar Harian