Saturday, 4 April 2015

Wow! Astro untung RM5.2 bilion

ASTRO Malaysia Holdings Berhad (Astro) mengumumkan penyata kewangan berakhir 31 Januari lalu mencatatkan peningkatan sebanyak sembilan peratus iaitu RM5.2 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rohana Rozhan berkata, prestasi Astro disokong dengan penambahan jumlah pelanggan, jualan produk dan perkhidmatan juga menjana peningkatan Hasil Purata Setiap Pelanggan (Arpu).

"Kami menjana pertumbuhan pada Tahun Kewangan 2015 meskipun keadaan pasaran tidak memberangsangkan.

"Dalam situasi ini, kemampuan kami teruji dengan menyediakan pelbagai pilihan yang meluas dan teliti kepada semua rakyat Malaysia," katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Menurut Rohana, melihat kepada momentum langganan produk dan perkhidmatan, platform televisyen berbayar seperti NJOI, Astro On the Go dan OTT semakin mendapat perhatian rakyat negara ini.
Rohana (tengah) selepas sidang media pengumuman penyata kewangan Astro, baru-baru ini.

Katanya, jumlah pelanggan juga meningkat sebanyak 547,000 menjadikan kepada 4.4 juta iaitu 63 peratus keseluruhan kediaman penduduk.

"Peningkatan ini berpunca daripada pelancaran 12 saluran baharu, penambahan jumlah saluran dan pakej-pakej lebih menarik.

"Kami berjanji untuk terus memberi pilihan kepada pelanggan menerusi penawaran televisyen satelit percuma kami, NJOI," katanya.

Rohana berkata, permintaan NJOI melebihi jangkaan dengan pertambahan jumlah pelanggan dan langganan kandungan prabayar meningkat dua kali ganda.

Menurutnya, untuk memperkayakan pengisian NJOI, pihak Astro telah melancarkan saluran HD Bahasa Cina iaitu Astro Xi Yue HD dan bakal memperkenalkan saluran HD Bahasa Malaysia baharu pada Jun ini.

Sinar Harian