Wednesday, 29 April 2015

Untung monyet ni, dijaga seperti anak sendiri

SEPERTI seorang bayi, ‘mereka’ akan merenggek mahu dimandikan, ingin tukar lampin pakai buang dan paling penting, mahukan susu seperti anak kecil dengan keletah tersendiri.

Bagaimanapun, mereka bukanlah bayi, sebaliknya tiga anak monyet yang sangat menghiburkan dan nakal; 'Shafiq', 'Shahrul' serta 'Kiki'.

Dibelai manja dengan ikhlas seolah-olah mereka seperti anak sendiri, pasangan warga emas, Fatimah Bakar, 57, dan suami, Mohd Nor Samah, 58, dari Kampung Pengkalan Pasir, Paloh, di sini, bahagia melayan karenah ketiga-tiganya.

“Paling sukar, sewaktu setiap kali mahu pakaikan lampin pakai buang. Mereka tidak pandai duduk diam. Kena dua orang pegang kalau sudah mandi dan pakai lampin pakai buang.

“Kami beli lampin pakai buang saiz bayi baru lahir (newborn), susu pun untuk usia bayi baru lahir dan apabila melayan mereka, kami rasa seperti ada kecil semula,” kata Fatimah ketawa dan cukup bahagia wajahnya.

Seronok melayan keletah ketiga-tiga anak monyet tersebut, Mohd Nor mencelah sambil mengingatkan mereka pernah mempunyai seekor lagi anak monyet, namun ia sudah mati tahun lalu.

“Asalnya kami pelihara empat ekor kesemuanya, namun seekor lagi yang dipanggil ‘Obinna’ sudah pergi meninggalkan kami. Ia mati semasa bermain dengan kain dan lemas di dalam kain tersebut,” katanya sedih, namun apabila melihat semula anak monyet yang ada, dia kembali ceria.

Bukan mahu menyinggung hati mana-mana pihak, namun rasa obses dan teruja terhadap bola sepak pasukan Kelantan, The Red Warriors (TRW) menjadikan pasangan tersebut meletakkan beberapa nama berkait dengan pemain bola.

“Kami ini ada pertalian darah dengan Mohd Badri Mohd Radzi (Piya). Dulu rumah kami dekat dengan rumah Piya, jadi kami tertarik dengannya yang juga ada bela spesis anak monyet seperti ini.

“Kami juga tertarik melihat kawan yang bekerja dengan KB Buskers buat aktiviti dengan monyet dan ular, lalu kami belajar sedikit demi sedikit untuk membela anak monyet ini,” katanya yang mempunyai lima anak, mempunyai lesen memelihara haiwan dan sebelum ini kerja memandu lori.

Potongan rambut macam Piya
Menariknya, anak-anak monyet tersebut bernilai dari harga RM350 seekor, dibeli ketika usia dari umur 27 hari, dengan permulaan Obinna (mati), kemudian pasangan itu membeli pula Shafiq yang kini berusia tiga bulan, Shahrul berusia sebulan dan Kiki pula berumur tiga minggu.

“Kami potong rambut pun macam rambut Piya. Ia lebih kemas dan menjadi tarikan orang ramai, tambahan pula pakai jersi bola, memang semua golongan tidak kira tua atau kanak-kanak, semuanya pasti berhenti melihat karenah mereka,” katanya yang sering membawa Shafiq, Shahrul dan Kiki di mana-mana tapak karnival atau pameran sekitar Kota Bharu.

Fatimah pula berkata, setiap anak monyet tersebut mempunyai karenah berbeza dan mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Shafiq gemar tidur, tetapi apabila bangun, ia paling lincah bergerak, malah paling manja.

“Memandangkan Shafiq gemar tidur, dia lebih selesa ‘bermimpi’ dalam buai sebab kami sudah ajar ia tidur dengan buai sejak kecil, manakala yang lain boleh saja tidur di mana-mana,” katanya.

Menceritakan tentang pemakanan, selain minum susu satu tin sebulan, ketiga-tiganya juga makan buah epal,  nasi dan apam balik.

“Bagi yang berusia lebih sebulan, ia minum susu sebab kalau beri makanan lain, perut mereka belum dapat hadam dengan baik.

“Kami juga akan bawa anak-anak kami ini ke klinik kalau mereka tidak sihat, kami jaga dengan baik dan kalau ada modal, kami mahu menambah bilangan sepsis haiwan ini termasuk ular,” katanya.

Semasa pameran, Fatimah dan Mohd Nor mengakui ada juga juga yang tertarik dan menghulurkan sumbangan ke tabung 'Baby Monkey' kerana tertarik dengan keletah anak-anak monyet berkenaan.

“Sumbangan wang yang diperoleh kami gunakan untuk beli susu dan lampin pakai buang. Apapun, apabila usia anak monyet ini sudah membesar, kami perlu latih ia ke arah lain sebab ia sudah merbahaya untuk dibelai.

“Ketika kecil inilah kami gunakan sebaik-baiknya untuk memberikan kasih sayang, malah dua cucu kami, Danish Arif, 6 tahun dan Haiqal Danial, 3 tahun juga gembira dengan kehadiran ketiga-tiganya dalam hidup kami sekeluarga,” katanya.

Sinar Harian