Wednesday, 29 April 2015

Syabas tidak lagi terima bil air di kaunter TNB

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd. (Syabas) tidak akan menerima bayaran bil di semua kaunter pembayaran milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) mulai 1 Jun ini.
    
Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas Priscilla Alfred berkata, mulai tarikh sama, pembayaran bil elektrik TNB tidak lagi diterima di semua Pusat Perkhidmatan Kaunter Setempat Syabas (OSCS).
    

"Keputusan itu merupakan hasil rundingan bersama antara Syabas dan TNB," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Priscilla berkata pelbagai saluran pembayaran bil air lain masih memberikan perkhidmatan kepada semua pengguna Syabas bagi urusan pembayaran secara tunai atau cek.
    
Katanya, pengguna boleh membuat bayaran di beberapa OSCS lain antaranya HSBC Bank Malaysia Berhad, Public Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Pos Malaysia Berhad, Mobile Money dan Paylink Global.    
    
Bagi pengguna yang memilih untuk melakukan urusan pembayaran bil penggunaan air di Pusat Perkhidmatan Kaunter Setempat Syabas, Priscilla berkata waktu operasi kaunter berkenaan adalah dari 9 pagi hingga 4.30 petang (Isnin hingga Jumaat).
    
Antara lokasi yang boleh dikunjungi adalah Syabas Petaling, Syabas Kuala Lumpur, Syabas Gombak, Syabas Kuala Langat, Syabas Sepang dan Syabas Sabak Bernam.
    
Dalam pada itu, Priscilla menasihatkan pengguna agar membuat pembayaran bil mengikut tempoh waktu yang ditetapkan bagi mengelak pemotongan bekalan air. 

Sinar Harian