Friday, 3 April 2015

Setiap 5 minit menerima panggilan bertanyakan hal GST

KUALA LUMPUR - Pusat Gerakan Antipencatutan (PGAP) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan secara purata menerima panggilan telefon daripada orang ramai setiap lima minit bagi bertanyakan hal GST.

Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan, Muez Abd Aziz berkata, selain itu orang ramai juga menyalurkan maklumat terhadap peniaga yang mengenakan GST namun, gagal memberikan resit dan memaparkan nombor pendaftaran GST.

"Sehingga jam 3 petang tadi (semalam), PGAP KPDNKK Wilayah Persekutuan menerima 286 aduan, dengan 51 pemeriksaan dilakukan terhadap premis perniagaan yang dilaporkan orang ramai.

"Manakala dalam tempoh itu, tindakan telah diambil terhadap peniaga dalam dua kes dan empat premis perniagaan telah diberikan notis tunjuk sebab," katanya.

Penubuhan PGAP oleh KPDNKK bertujuan memantau aduan orang ramai berkaitan aktiviti pencatutan semasa pelaksanaan GST yang bermula sejak 1 April lalu.

Muez meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat, pertanyaan dan aduan berkaitan GST ke PGAP yang beroperasi 24 jam sehari sehingga 15 April ini.

“Mereka boleh menghubungi talian hotline KPDNKK 1-800-886-800 atau secara terus kepada KPDNKK Wilayah Persekutuan di talian 03-40454471,” katanya sambil menambah PGAP turut dibuka pada Sabtu dan Ahad.

Beliau berkata, orang ramai boleh membuat aduan dengan datang sendiri ke pejabat KPDNKK berdekatan atau melalui sistem aplikasi telefon mudah alih, MyKira GST.

“Orang ramai yang mahu membuat perbandingan harga barang sebelum dan selepas pelaksanaan GST boleh berbuat demikian dengan mudah dan pantas menggunakan aplikasi tersebut,” katanya.

Tambahnya, antara ciri utama aplikasi itu ialah orang ramai dapat menyemak lebih 10,000 harga barangan yang berada di pasaran dan pada masa sama, pengguna juga boleh terus membuat aduan dengan menggunakan e-aduan yang terdapat dalam aplikasi terbabit.

Menurut Muez, pihaknya akan mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam terhadap aduan yang diterima khususnya kepada peniaga yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Setiap aduan yang diterima direkodkan dan siasatan akan dijalankan dalam tempoh 24 jam oleh pasukan khas,” ujarnya.

Katanya, peniaga individu yang didapati gagal mematuhi peraturan sedia ada boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya.

Sinar Harian