Thursday, 9 April 2015

Semua diemput ke Pameran Tok Guru di Muzium Islam Kelantan

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengalu-alukan individu yang memiliki khazanah Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat agar tampil menyerahkannya untuk tatapan pengunjung sempena Pameran Tok Guru, yang bermula semalam.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata,koleksi yang dimaksudkan mungkin dalam bentuk aset, ucapan, nasihat atau ceramah Allahyarham.
Ahmad (tiga, kanan) ketika melawat Pameran Tok Guru di Muzium Islam Kelantan.
- Foto Unit Komunikasi Menteri Besar Kelantan

“Kemukakan semula untuk dibukukan agar rakyat hari ini mendapat manfaat. Pameran ini menggamit nostalgia arwah Tok Guru dalam kalangan pemimpin hari ini dan rakyat. Tidak mustahil inspirasi daripada pameran ini memberi motivasi kepada kita untuk terus membangun bersama Islam.

“Allahyarham sebagai murabbi ummah yang berjaya mendidik rakyat Kelantan, khususnya dalam mendekati diri kepada pencipta ALLAH SWT.

"Saya antara pemimpin lama yang bersama-sama dalam pentadbiran, rasa hormat dan sayang sangat menebal untuk arwah Tok Guru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Pameran Tok Guru di Muzium Islam, anjuran Perbadanan Muzium Kelantan, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Md Anizam Abdul Rahman.

Pameran Tok Guru mempamerkan kira-kira 40 koleksi gambar daripada pelukis terkenal, foto kenangan Allahyarham dan catatan peribadi semasa hayatnya sebagai  Menteri Besar Kelantan.

Selain itu koleksi peribadi Allahyarham Nik Abdul Aziz  seperti baju, tongkat, kopiah, sejadah, cermin mata dan bag yang digunakan ketika mula-mula menjadi wakil rakyat turut dipamerkan kepada orang ramai.

Sementara itu, Penolong Pengarah Perbadanan Muzium Kelantan, Abustarim Yaacob berkata, pameran tersebut dibuka kepada orang ramai selama seminggu secara percuma pada setiap hari kecuali Jumaat.

"Selepas tempoh seminggu, bayaran akan dikenakan iaitu RM4 untuk pelancong asing dan RM3 bagi pelancong tempatan, sementara warga emas, pelajar Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika)  dan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) tidak dikenakan bayaran.

“Pameran ini akan berterusan. Buat sementara waktu, kita adakan  di Muzium Islam sehinggalah satu galeri khas dibuka untuk Pameran Tok Guru ini,”katanya.

Sinar Harian