Monday, 6 April 2015

Ringankan beban, hulurkan bantuan kepada mangsa banjir

KOTA BHARU - Sudah lebih tiga bulan tragedi bah kuning melanda Kelantan berlalu dan kini kerajaan negeri giat merancakkan lagi pembinaan rumah kekal kepada mangsa yang terlibat.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memastikan mangsa banjir dapat menduduki rumah baharu mereka sebelum Ramadan sebagaimana dijanjikan.
Ahmad (tengah) ketika menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan rumah kekal kepada mangsa banjir di Tumpat, semalam.

Menurutnya, sebanyak 600 buah rumah akan dibangunkan oleh kerajaan negeri bagi membantu mangsa banjir yang terjejas teruk baru-baru ini, manakala selebihnya dibina Kerajaan Pusat.

“Semua jajahan yang terlibat sudah melaksanakan kerja-kerja pembinaan rumah iaitu di Tumpat, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang. Kita cuba siapkan sebagaimana sasaran asal,” katanya, semalam.

Terdahulu beliau merasmikan majlis Pecah Tanah ‘Projek Shelter’ Tesco Malaysia bagi Misi Bantuan Banjir untuk rumah kekal banjir di Kampung Berlian, Tumpat yang turut dihadiri Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Korporat Tesco, Datuk Azlam Shah Alias dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim.

Ahmad turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir di Kelantan.

Sementara itu, Azlam berkata, sebanyak RM500,000 disumbangkan  bagi membina lapan rumah kekal kepada penduduk di jajahan Tumpat yang terjejas teruk akibat banjir penghujung tahun lalu.

Katanya, pihaknya menjangkakan kesemua rumah tersebut dapat disiapkan sebelum Syawal.

Rumah berkeluasan 740 kaki persegi itu mempunyai tiga bilik dan dua bilik mandi yang menggunakan bahan mesra alam.

Sinar Harian