Tuesday, 28 April 2015

Rang Undang-undang Hasutan (Pindaan) 2015 diluluskan

Rang Undang-undang Hasutan (Pindaan) 2015 diluluskan di Dewan Negara hari ini selepas hangat dibahaskan sejak semalam.

Perbahasan rang undang-undang itu telah menarik perhatian 21 ahli Dewan Negara yang mengambil peluang mengutarakan pandangan dan cadangan untuk penambahbaikan rang undang-undang berkenaan yang sebelum ini turut mendapat perhatian ahli Dewan Rakyat.


Antara persoalan yang sering dibangkitkan semasa perbahasan rang undang-undang itu adalah mengenai tindakan yang akan diambil kerajaan terhadap rakyat Malaysia yang melarikan diri ke luar negara selepas melakukan provokasi serta cenderung kepada perbuatan menghasut.

Selain itu, beberapa ahli Dewan Negara juga mahu tindakan tegas diambil terhadap individu yang melakukan provokasi dan cenderung menghasut melalui media sosial.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung perbahasan berkata rang undang-undang berkenaan tidak hanya tertakluk kepada orang politik sebaliknya mana-mana pihak yang cenderung kepada perbuatan menghasut.

Malah beliau berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa undang-undang itu tidak akan digunakan kepada pihak yang tidak melakukan kesalahan dan tidak mengkritik secara keterlaluan.

"Itulah jaminan kita boleh bagi supaya undang-undang ini dikenakan kepada pihak yang lakukan kesalahan tidak kira orang biasa, tinggi, rendah, bawah, atas, (orang) politik atau (orang) kerajaan sebagainya, yang melakukan kesalahan kita ambil tindakan," katanya. 

Sinar Harian