Friday, 10 April 2015

Alhamdulillah, 67 rakyat Malaysia yang terperangkap di Aden, Yaman selamat

Kerajaan sedang berusaha mengeluarkan 67 rakyat Malaysia yang terperangkap di Aden, Yaman.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pihaknya sedang mencari opsyen terbaik untuk membawa mereka keluar dari Aden.

“Alhamdulillah, mereka semua berada dalam keadaan selamat.

“Kementerian saya sudah mengenal pasti kesemua rakyat yang masih terperangkap di Aden,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.  

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, 108 daripada kira-kira 600 rakyat Malaysia sudah keluar dari Hadramaut.

Menurutnya, 101 sudah berada di Salahah, Oman manakala tujuh orang lagi kini berada di Al-Mazyunah di sempadan Oman.
Penduduk Aden mengerumuni kereta kebal milik angkatan bersenjata pro Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi selepas pertempuran tercetus bersama pemberontak Houthi di bandar selatan tersebut, kelmarin.

“Tujuh orang ini terperangkap di Al-Mazyunah kerana mengalami masalah dokumen perjalanan termasuk pasport.

“Kedutaan kita di Oman sedang berurusan dengan pihak berkuasa di sana untuk menyelesaikan masalah mereka semua,” katanya dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Kementerian Pertahanan, di sini, semalam.

Beliau berkata, dua pesawat Hercules C130 milik Angkatan Tentera Malaysia sudah tiba di UAE, kelmarin.    

Katanya, salah sebuah daripada pesawat tersebut sudah siap sedia untuk diterbangkan ke Oman bagi membawa pulang rakyat Malaysia.

“Tentera Udara Diraja Malaysia sedang berbincang dengan Jawatankuasa Evakuasi Malaysia dari segi pengurusan logisitik, dokumen perjalanan serta urusan penerbangan ke Malaysia,” katanya.

Sinar Harian