Tuesday, 14 April 2015

Pesawat masa depan, penumpang boleh nikmati pemandangan luar pesawat

PARIS 1 April - Penumpang kapal terbang pada masa depan, berpeluang menikmati pemandangan alam semulajadi dari udara selepas syarikat pembuat kapal terbang, Airbus memfailkan paten tingkap dan skrin interaktif bagi menjadikan perkara itu sebagai kenyataan.

Hak itu difailkan Airbus kepada Pejabat Paten dan Cap Dagang Amerika Syarikat (AS) pada 19 Mac lalu.
Menurut portal pelancongan global, Skift yang dipetik Mail Online, penumpang hanya perlu menyentuh tingkap berteknologi tinggi itu bagi mengetahui maklumat lokasi menarik di sesebuah kawasan yang dilalui pesawat dinaiki mereka.

Tingkap pintar yang dipatenkan Airbus membolehkan penumpang menikmati pemandangan
sambil berbaring di kerusi pesawat. AGENSI 

Matlamat syarikat itu adalah bagi mewujudkan platform pemandangan menarik untuk penumpang pesawat.
Imej yang disiarkan Airbus menunjukkan, sesebuah pesawat akan dilengkapi dengan dinding lutsinar sebelum dipasang dengan teknologi skrin sesentuh.

Penumpang akan mempu­nyai ruang yang mencukupi untuk meregangkan badan sambil menikmati pemandangan luar dengan kerusi yang membolehkan mereka berbaring.

Pesawat masa hadapan itu bakal menggantikan kabin penumpang kelas pertama, perniagaan, dan ekonomi dengan zon untuk santai berada di hadapan, bekerja di belakang, serta dilengkapi zon yang mempunyai bar bagi bersosial.

Selain itu, dinding pesawat akan berubah berdasarkan kea­daan cahaya dengan paparan permainan dan hiburan dalam pesawat dikuasakan oleh haba daripada badan penumpang.

Paten itu dikemukakan selepas Airbus berkongsi rancangan tentang sebuah konsep pesawat dilengkapi tingkap panorama yang mampu menjangkau sehingga bumbung kapal terbang, manakala konsep kabin pesawat pula akan menjadi struktur bio­nik yang meniru kecekapan tulang burung.

Utusan