Thursday, 23 April 2015

GearUp aksesori terbaharu untuk Axia dan Myvi

BAGI menyampaikan hasrat pelanggan yang inginkan tambahan aksesori unik untuk kenderaan mereka, Perodua melancarkan produk aksesori  dinamakan GearUp, baru-baru ini.

Ia sebagai pilihan tambahan bagi Perodua Axia baharu dibeli dan juga kepada pelanggan sedia ada yang ingin tambahan aksesori kereta mereka!


Aksesori ditawarkan termasuk untuk bahagian luar dan dalam. Dikatakan sesuai untuk semua rakyat Malaysia, dengan harga pakej bermula dari RM260 ke RM3,600.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, entiti baharu ini memenuhi keperluan untuk melengkapkan rasa unik kepada pelanggannya.

Menurutnya, nama GearUp dipilih kerana ia menyeru kepada para pelanggannya untuk mengambil tindakan dan menaik taraf model Perodua kegemaran mereka mengikut cita rasa masing-masing.

Buat masa ini aksesori untuk Axia diperkenalkan April ini dan Myvi pada Mei 2015, manakala model lain pada fasa akan datang.

“Pelanggan boleh meminta aksesori kenderaan Perodua mereka dan kosnya boleh termasuk dengan pakej sewa beli. Kos tambahan akan mempunyai kesan minimum pada bayaran bulanan.

“Perodua turut menyediakan jaminan perlindungan aksesori ini dari segi kualiti dan keselamatan," katanya.

Aksesori juga boleh didapati dalam pakej khas. Pelanggan boleh menikmati harga lebih baik (tidak termasuk kos buruh dan GST) melalui pakej aksesori.

Terdapat juga harga pengenalan serendah RM2,200 untuk pelanggan antara 16 April dan 31 Ogos  ini.

Aksesori boleh didapati di 182 pusat jualan dan 183 pusat perkhidmatan Perodua seluruh negara bermula 17 April.

Bagi bahagian luar, kit badan diberikan pada bampar dan gril hadapan, bampar belakang dan juga skirting sisi.

Untuk dalaman, Perodua menawarkan trim pintu baharu dan balutan tempat duduk berbentuk diamond atau honeycomb dengan jahitan merah.

Terdapat juga pakej Driving Comfort, selain 9 pakej bagi Perodua Axia yang boleh dipilih untuk dibeli secara berasingan bagi pakej kit badan, pakej bahagian dalaman, dan pakej penebat. Pakej kombo turut ditawarkan.

Untuk Perodua Axia 1.0 E & 1.0 G, aksesori ditawarkan ialah Elegant GearUp Bodykit – Kit grill dan bampar hadapan, kit bampar belakang dan skirting sisi; Stylish GearUp Interior – balutan tempat duduk reka bentuk diamond. Trim pintu dengan kemasan sulaman berkembar berwarna kelabu, manakala GearUp Driving Comfort – penebat bunyi dan haba pada pintu dan bonet.

Bagi Perodua Axia 1.0 SE & 1.0 Advance pula, Sporty GearUp Bodykit – Kit grill dan bampar hadapan, kit bampar belakang dan skirting sisi; Trendy GearUp Interior – Balutan tempat duduk reka bentuk honeycomb. Trim pintu dengan kemasan sulaman berkembar berwarna merah; GearUp Driving Comfort – Penebat bunyi serta haba pintu dan bonet.

Sinar Harian