Wednesday, 1 April 2015

Perginya S/U Sulit kehilangan besar buat PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kepulangan ke Rahmatullah setiausaha sulitnya, Datuk Mohd Po'ad Jelani akibat barah Lymphoma, satu kehilangan besar bagi beliau dan Pejabat Perdana Menteri.

Najib berkata, sepanjang hayatnya, Allahyarham Mohd Po'ad telah menjalankan tanggungjawabnya dengan begitu dedikasi dan amanah serta mempunyai keperibadian baik.

"Saya amat sedih dengan pemergian Mohd Po'ad kerana beliau telah bekerja dengan saya sejak tahun 1999 ketika saya Menteri Pendidikan.

"Saya ambil beliau bekerja dengan saya selepas melihat ciri-ciri kepimpinan yang ada pada beliau sebagai Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Masjid TUDM Subang di sini malam ini.

Mohd Po'ad, 50, meninggal dunia di Hospital Raffles, Singapura pada jam 9 pagi ini ketika sedang menjalani rawatan barah Lymphoma.

Najib tiba di masjid berkenaan pada pukul 7.30 malam bagi menziarahi jenazah dan menunaikan solat Maghrib berjemaah disusuli solat jenazah.

Beliau turut menemui keluarga Allahyarham bagi menzahirkan ucapan takziah kepada mereka.

Turut menziarahi jenazah Allahyarham ialah Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan warga kerja Pejabat Perdana Menteri.

Perdana Menteri sebelum ini berada di Sarawak untuk lawatan kerja dua hari.

Jenazah yang diterbangkan dari Singapura tiba di pangkalan TUDM Subang 6 petang sebelum dimandi, dikafan serta disembahyangkan di masjid berkenaan dan seterusnya dibawa ke Kampung Janda Baik di Bentong, Pahang untuk dikebumikan selepas solat Isyak.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Ana Farahah Mohd ketika ditemui pemberita berkata bapa saudaranya sebelum ini dimasukkan ke Hospital Ampang ketika cuti sekolah baru-baru ini.

Beliau berkata, Allahyarham kemudian dibawa ke Singapura pada Selasa lepas bagi menjalani rawatan kimoterapi di sana.   

"Pakcik ialah seorang yang tegas tetapi pemurah dan baik hati serta menjaga kebajikan anak-anak buahnya," katanya.

Usaha pemberita untuk menemu bual isteri dan anak-anak Allahyarham bagaimanapun gagal.

Mohd Po'ad yang berasal Kampung Janda Baik, Bentong meninggalkan isteri, Datin Hamizah Abdul Khalid, 48, dan tiga orang anak, iaitu Nabilatasha, 23, Nabila Afiqah, 21, dan Muhamad Irfan Hazim, 16.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Najib di Kementerian Pendidikan pada 1999.

Mohd Po'ad kemudian menjadi Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri pada 1 April 2004 seterusnya dilantik sebagai Setiausaha Sulit Perdana Menteri.

Sinar Harian