Tuesday, 14 April 2015

PDRM tak akan berkompromi dengan mereka yang menyentuh sensitiviti kaum lain

Amaran sudah diberi, namun masih terdapat segelintir individu yang cuba membangkitkan kemarahan rakyat berbilang agama di negara ini.

Terbaharu, seorang individu yang menggelar dirinya sebagai Azreen ATB di laman sosial Facebook, memuat naik status mengajak orang ramai menghalau penduduk yang menganuti agama hindu agar keluar dari negara ini.

Status di Facebook yang dipercayai menyentuh sensitiviti keagamaan di negara ini.
Beliau juga didapati mengeluarkan kata-kata ugutan untuk membakar kuil di negara ini termasuk di Batu Caves.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu bakar berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu terbabit.

“Banyak kali sudah diingatkan, jangan cuba mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti kaum lain, termasuk agama.

“Siapa pun individu berkenaan, kita akan siasat dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba membangkitkan isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman sehingga menjejaskan keamanan negara ini.

Sinar Harian