DATUK Nicol Ann David berharap pemain junior kebangsaan mampu mempamerkan minat yang mendalam dalam sukan skuasy hingga ke peringkat lebih tinggi.
Pemain skuasy nombor satu dunia, Nicol berkata, program pembangunan skuasy juga perlu diperhalusi dengan memberikan bimbingan yang betul untuk bakat muda.
![]() |
Nicol bersama poster khas yang disampaikan penaja, CIMB Malaysia. |
"Kita mempunyai satu program pembangunan junior. Banyak pemain junior yang datang menyertai antara 500 ke 700 kanak-kanak.
"Kesemua mereka mahu bermain dengan baik tetapi saya boleh melihat ada antara mereka yang terlalu mahukannya dan ada yang tidak berapa pasti hala tuju mereka," katanya.
Elak beri tekanan
Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, permainan skuasy cukup menyeronokkan apabila bermain bersama rakan sepermainan.
Tetapi, untuk berjaya sehingga di pentas antarabangsa, pemain jangan sesekali diberikan tekanan terlalu tinggi dan boleh mengakibatkan mental seseorang pemain akan jatuh.
“Skuasy adalah amat menyeronokkan, mereka boleh berseronok bersama rakan dan menikmatinya.
"Jangan memberikan tekanan untuk menjadi seperti saya atau Low Wee Wern,” katanya kepada pemberita pada satu majlis menghargai pencapaian Nicol sebagai pemain nombor satu semasa dunia paling lama oleh CIMB, penaja kejuaraan, baru-baru ini.
Faktor Liz Irving
Nicol juga melahirkan perasaan terhutang budi kepada jurulatihnya Liz Irving yang membantu beliau selama 12 tahun di dalam skuasy untuk muncul sebagai pemain yang menyerlah dan berdaya saing dalam menjadi pemain nombor satu dunia untuk 106 bulan.
“Sebagai jurulatih pemain skuasy, beliau memahami apa yang saya perlukan. Beliau memberikan segala nasihat dan kepakaran.
"Saya bermula dari bawah dan kosong pengalaman. Irving banyak mencurahkan budi pengalaman dan memperbaiki teknik permainan saya hingga berada pada tahap ini.
Masih dahaga kejuaraan Biarpun menghabiskan kira-kira 15 tahun dalam Siri Jelajah, Nicol jelas masih mahukan lebih banyak gelaran selepas ini.
Katanya, impiannya adalah satu, 'lakukan dan menang' setiap pertandingan disertai.
Ini kerana, Nicol akan bersaing di Terbuka British pada 11 hingga 17 Mei depan dalam misi mempertahankan gelaran.
Sebelum itu, beliau akan mengambil bahagian di Kejohanan Individu Asia di Kuwait pada 1 hingga 5 Mei depan.
"Banyak halangan perlu saya tempuh. Jadi, mental dan fizikal harus bersedia," katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a comment