Tuesday, 14 April 2015

Dengan menggunakan peralatan ini, pengusaha mampu menghasilkan roti jala dalam kuantiti yang banyak

Roti jala bukan sahaja antara makanan popular di negara ini malah satu daripada 100 makanan warisan tempatan.

Makanan tersebut sering dihidangkan dalam majlis keraian dan musim perayaan khas seperti hari raya atau pada bulan Ramadan.


Proses pembuatan roti jala secara konvensional amat merumitkan lebih-lebih lagi jika perlu dihasilkan dalam kuantiti yang besar.

Antara cabaran lain untuk menghasilkan kuih jala adalah untuk membentuknya ketika dimasak juga memerlukan tenaga mahir selain bentuknya yang tidak sekata.


Bagi mengatasi permasalahan tersebut, seorang penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Saiful Azwan Azizan berjaya mencipta sebuah mesin pembentuk kuih roti jala.

Jelas Saiful Azwan, menerusi ciptaan tersebut segala isu berkaitan pembuatan roti jala seperti kekurangan tenaga mahir, saiz yang tidak konsisten, kadar pengeluaran yang rendah, proses yang memenatkan, kurang bersih serta kualiti produk yang rendah dapat diatasi.


“Mesin yang dicipta ini terdiri daripada dua komponen utama iaitu tangki adunan unik yang bergerak secara berputar serta kuali pemanas berkuasa elektrik.

“Kedua-dua mesin ini dijana menerusi kuasa pneumatik (kuasa angin),” katanya ketika di temui di Serdang, Selangor baru-baru ini.


Mesin pembentuk kuih roti jala tersebut berpotensi membantu meningkatkan pendapatan usahawan industri kecil sederhana (IKS) terutamanya mereka yang mengusahakan produk makanan sejuk beku, perkhidmatan sajian makanan dan usahawan kiosk.

Tambah Saiful Azwan, satu lagi kelainan mesin tersebut adalah ia menggunakan hanya satu lengan yang memegang tangki adunan berkapasiti satu liter yang berputar secara rawak untuk membentuk roti jala.


Dalam pada itu, rekaan tersebut juga terdiri daripada motor untuk menggerakkan tangki adunan, pengawal kelajuan putaran, penetap masa untuk pemprosesan dan kuali bulat tahan karat.

Mekanisme buka dan tutup tangki adunan pula dikawal oleh penderia khas dan kuali bulat setiap satu (terdapat dua) berdiameter seluas 300 milimeter (mm) setiap satu yang boleh bergerak dari kanan ke kiri semasa memasak roti jala secara berterusan.


Utusan