Monday, 27 April 2015

Menghembus nafas terakhir di pangkuan sahabat karib

PASIR MAS - Kenal sejak kecil dan banyak menghabiskan masa bersama, namun seorang remaja tidak menyangka sahabat karibnya menghembus nafas terakhir di pangkuannya selepas terlibat dalam kemalangan di depan sebuah stesen minyak berhampiran Kampung Gertak Serong, di sini, kelmarin.

Khairul Firdaus Hairudin, 19, memberitahu, kejadian berlaku pada jam 8.10 malam melibatkan motosikal ditunggangi mangsa, Khairul Redhuan Pakri, 19, dan tiga kereta.

Menurutnya, Khairul Redhuan maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta patah paha kanan.
Khairul Firdaus (kiri) sempat merakam gambar selfie dengan Allahyarham Khairul Redhuan sehari sebelum kejadian.

"Arwah Khairul Redhuan adalah seorang periang dan banyak berceloteh. Namun pada hari kejadian, sikapnya berubah sama sekali dan dia menjadi pendiam," katanya ketika menceritakan kejadian yang menimpa sahabat karibnya itu.

"Saya langsung tak sangka perubahan sikap itu merupakan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya, malahan dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya," katanya.

Khairul Firdaus berkata, sehingga kini dia masih tidak percaya kejadian yang meragut nyawa sahabat karibnya itu berlaku betul-betul di depan matanya.

Katanya, pada hari kejadian, dia sempat menemui mangsa di tempat kerjanya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian dan mangsa memaklumkan mahu ke kedai terlebih dahulu sebelum pulang ke rumahnya di Wakaf Merah, di sini.

"Selepas masuk dalam kereta saya dengar dentuman kuat secara tiba-tiba dan setelah itu saya lihat arwah terlibat dalam kemalangan. Saya terkejut dan terus keluar kereta serta berlari mendapatkannya.

"Kami berkawan sejak di bangku sekolah rendah dan malam kelmarin saya sempat tidur bersama-sama arwah di rumah saya di Kampung Bechah Durian. Malah motosikal digunakan arwah itu adalah milik saya," katanya.

Tambahnya, mereka berdua memang sangat akrab sehingga dia sanggup meminjamkan motosikal berkenaan kepada mangsa bagi memudahkannya berulang-alik ke tempat kerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil ke balai polis berhampiran untuk memberi maklumat.

Sinar Harian