Monday, 6 April 2015

Mengajar percuma, impiannya mahu melihat rakan-rakan sekampung dapat membaca al-Quran dengan baik

PASIR MAS - Impian melihat rakan-rakan sekampungnya dapat membaca al-Quran dengan baik mendorong seorang suri rumah mengorbankan masanya untuk menjadi tenaga pengajar kepada mereka.

Norhayati Salleh, 49, berkata, kemahiran diwarisi daripada keluarganya itu digunakan sebaik mungkin untuk membantu rakan-rakan yang terdiri daripada suri rumah tangga di Kampung Bechah Semak, Bunut Susu, di sini.
Norhayati (kanan) mengajar rakan-rakan sekampungnya membaca al-Quran secara percuma
demi melihat mereka dapat membaca kitab suci itu dengan baik.

Menurutnya, hampir 10 suri rumah akan bertandang ke rumahnya pada jam 3 hingga 6 petang setiap hari untuk belajar membaca al-Quran.

"Saya mengajar al-Quran secara percuma setelah diminta oleh rakan-rakan. Walaupun kebanyakannya sudah berumur, tetapi minat untuk baiki bacaan sangat membanggakan di samping masa terluang dapat dipenuhi dengan perkara bermanfaat," katanya.

Salah seorang suri rumah yang ditemui, Rohani Abdullah, 53, berkata, dia akan membaca satu muka surat al-Quran setiap hari sepanjang kelas diadakan.

Menurutnya, setakat ini pembacaannya semakin lancar dan baik dan kelas al-Quran secara beramai-ramai memberi semangat kepada suri rumah untuk terus membaca kitab suci itu.

"Sebelum ini alasan sibuk dengan tugas di rumah dan urus anak-anak menjadi antara sebab suri rumah tidak dapat belajar al-Quran.

"Tetapi kini semua itu tidak menjadi halangan lagi kerana minat dan kesedaran mengenai betapa pentingnya kita mendekati al-Quran. Ia membuatkan kita tenang dan senang melakukannya," katanya.

Katanya, jika diikutkan kesibukan sehari-hari, masa tidak akan pernah cukup dan kerana itulah dia dan rakan-rakan lain mencari ruang waktu di sebelah petang untuk belajar al-Quran.

Tambahnya, lebih menggembirakan apabila mereka dipilih menyertai program Rumah Ngaji yang dicetuskan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas menerusi kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) serta Kumpulan Media Karangkraf.

Sinar Harian