Friday, 24 April 2015

Mencari rezeki halal lagi berkat

MENELUSURI kehidupan manusia terutamanya umat Islam, mata pencarian dan hasil kerja dikenali sebagai rezeki.

Dalam hal ini umat Islam mestilah mencari rezeki yang halal lagi berkat bagi diri dan keluarganya. Rezeki tersebut mestilah diusahakan dengan tangan sendiri dan dilakukan dengan usaha yang berterusan.

Secara jelas, rezeki adalah bahan keperluan untuk hidup seperti makanan sehari-hari atau nafkah buat keluarga, pendapatan, penghasilan dan pencarian seseorang. Selama masih hidup manusia akan tetap diberikan rezeki oleh ALLAH SWT sama ada sedikit ataupun banyak.

Rasulullah SAW bersabda: "Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu (seperti solat, puasa dan lain-lain)". Oleh itu, laksanakan suruhan ini dengan mencari rezeki halal yang terbentang luas di hamparan dunia ini.

Jelaslah rezeki yang halal amat penting kepada umat Islam. Selain itu, rezeki tersebut mestilah berkat dan diterima ALLAH. Berkaitan dengan rezeki yang tidak lancar dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan." (Riwayat Ibn Majah, Ahmad, Ibn Hibbah & Ibn Al-Mubarak)

Oleh itu, ketakwaan kepada ALLAH akan mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat mendatangkan ketakwaan, tidak ada jalan yang paling baik untuk mendapat rezeki yang halal dan berkat selain meninggalkan maksiat. Dalam mencari rezeki sifat takwa juga penting ada dalam hati dan jiwa.

Dalam peribahasa Melayu terdapat kata-kata: "Rezeki secupak tak akan jadi segantang" bermaksud rezeki banyak atau sedikit sudah ditentukan Tuhan. 'Rezeki harimau' bermaksud, sewaktu ada makanan banyak dan berjenis-jenis.

'Rezeki jangan ditolak' bermaksud untung jangan dibuang (dibiarkan terlepas). 'Rezeki mahal' bermaksud susah mencari penghidupan, jarang mendapat keuntungan.

'Rezeki helang tidak akan dapat dimakan oleh musang (burung pipit)' maksudnya semua orang ada kemujurannya masing-masing yang ditetapkan oleh ALLAH, keuntungan seseorang tidak boleh direbut oleh orang lain.

Begitulah dalam dan luasnya tafsiran rezeki daripada kaca mata orang Melayu sejak dahulu, dengan pandangan dan pemerhatian yang penuh bijaksana untuk direnungi.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Ruhul Qudus (malaikat Jibrail) membisikkan dalam benakku bahawa jiwa tidak akan mati sebelum lengkap dan sempurna rezekinya.

Kerana itu hendaklah kamu bertakwa kepada ALLAH dan memperbaiki mata pencarianmu. Apabila datangnya rezeki itu terlambat, jangan lah kamu memburunya dengan jalan maksiat kepada ALLAH kerana apa yang ada di sisi ALLAH hanya boleh diraih dengan ketaatan kepada-Nya." (Riwayat Abu Dzar & Al-Hakim)

Rezeki yang berkat dapat diraih pada waktu pagi. Nabi SAW bersabda: "Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluanmu. Sesungguhnya pada pagi hari terdapat berkat dan keuntungan." (Riwayat Ath-Thabrani & Al-Bazzaar).

Berkaitan dengan rezeki Nabi SAW tidak pernah kenyang dalam makan dan minum dan tidak pula mencela rezeki atau makanan apa saja yang tersaji di hadapan baginda.

Apabila hendak mulai makan Nabi SAW membaca ‘Bismillah’, apabila makanan itu panas Baginda SAW sejukkan dahulu dan selesai makan Baginda SAW membaca ‘Alhamdulillah’.

Sementara sahabat Nabi SAW, Abu Bakar Ash Siddiq pernah berkata berkaitan rezeki. Antaranya, semenjak aku masuk Islam, belum pernah aku kenyangkan perutku, demi dapat merasakan segarnya beribadah, dan belum pernah aku puas minum, kerana sangat rindunya aku kepada Ilahi.

Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata dalam doanya: "Ya ALLAH, jadikan kelebihan rezeki itu terjadi pada orang-orang pilihan di antara kita, sebabnya barangkali mereka itu akan mengembalikan rezekinya itu kepada orang-orang yang berhajat di antara kita ini."

Beliau mengingatkan: "Jangan sekali-kali seseorang di antara kamu semua hanya duduk-duduk saja, tidak mahu berusaha mencari rezeki. Tidaklah kamu semua telah mengetahui bahawa langit itu tidak menurunkan hujan berupa emas dan perak."

Berkaitan dengan punca rezeki Al-Hassan Al-Basri pernah mengingatkan: "ALLAH melaknat orang-orang yang tidak percaya bahawa Tuhan telah menjamin rezeki mereka."

Justeru, mencari rezeki yang halal wajib hukumnya. Laksanakan dengan kesungguhan hati, semangat tinggi, keikhlasan, kejujuran dan keahlian. Semuanya ini adalah jalan ke arah keberkatan. Jangan melibatkan diri dalam riba atau urusan yang diragukan status halal.

Jika mencari rezeki dengan perniagaan, lakukan jual beli dengan keikhlasan, tuntut hutang dengan sabar dan sopan, sertai selesaikan hutang tepat waktu sesuai dengan perjanjian. Sifat ikhlas ini sangat penting dalam Islam khususnya kepada penjual dan juga pembeli.

Keberkatan rezeki, rela dan puaslah terhadap pemberian rezeki ALLAH kerana rela dan puas (qannah) adalah kekayaan yang tidak akan habis.

Kesimpulannya, setiap rezeki yang halal daripada hasil usaha tangan sendiri dan dilakukan secara jujur, ikhlas akan diberikan berkah (berkat) dan keberkatan ALLAH.

Rezeki yang sedikit tetapi mencukupi adalah lebih berkat berbanding rezeki yang banyak tetapi tidak mencukupi.

Sinar Harian