Sunday, 5 April 2015

Lin Dan tewas

HASRAT juara Olimpik dua kali, Lin Dan dari China untuk meraih kejuaraan sulung Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila disekat rakan senegara Chen Long pada perlawanan akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil hari ini.
   
Pemain berusia 31 tahun itu yang kali terakhir beraksi di Terbuka Malaysia pada 2012 di mana beliau tewas kepada jaguh negara Datuk Lee Chong Wei, gagal menjulang kejuaraan tersebut kali ini, walaupun tanpa kelibat pencabar sengitnya itu yang digantung sementara berikutan kes doping.
  
Lin Dan yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan, bermula cemerlang pada set pertama apabila mengatasi Chen Long yang juga pemain nombor satu dunia, dengan 22-20 sebelum tewas dua set seterusnya 13-21 dan 11-21 dalam perlawanan yang berlangsung satu jam 18 minit.
  
Bagaimanapun, Lin Dan yang juga juara dunia lima kali, yakin untuk menjulang kejuaraan tersebut tahun depan, dengan berdepan Chong Wei.
   
"Kekalahan ini disebabkan corak permainan saya yang perlahan dan tidak yakin sehingga membolehkan Chen Long memenangi set kedua dan ketiga. Oleh kerana Terbuka Malaysia antara kejohanan kelayakan Sukan Olimpik, saya akan kembali ke sini tahun depan dan harap dapat berdepan dengan Chong Wei," katanya.

Sinar Harian