Saturday, 25 April 2015

Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai mampu siap lebih awal

KOTA BHARU - Syarikat kontraktor, Chengal Jati Sdn Bhd yang memperoleh tender fasa 2A pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yakin mampu menyiapkan pembinaan tersebut lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ir Shaari Hassan berkata, mengikut terma kontrak, pihaknya akan memulakan pembinaan pada 22 April dan mengambil masa tiga tahun sehingga 17 April 2018 bagi menyiapkan jajaran dari Kadok ke Ketereh sejauh tujuh kilometer.
Shaari (kanan) ketika meninjau salah satu lokasi di Sungai Ketereh yang terlibat
dalam projek pembinaan lebuh raya berkenaan.

“Saya yakin mengikut pengalaman dan prestasi sebelum ini, kontrak ini akan dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh asal berakhir,” katanya selepas Mesyuarat Pra Pembinaan lebuh raya itu di Ketereh baru-baru ini.

Bina 10 jambatan rentasi tali air, jalan kampung

Mengulas lanjut, Shaari berkata, di sepanjang lebuh raya berkenaan, akan dibina 10 jambatan merentasi tali air, jalan kampung dan Sungai Ketereh, selain membina empat laluan bawah kenderaan.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran projek itu pula, kaedah komunikasi lebih sistematik digunakan pihaknya yang membolehkan kerja pengawasan dilakukan di mana sahaja walaupun berada di luar tapak pembinaan.

“Kita menggunakan walkie-talkie sebagai alat perhubungan antara satu sama lain, selain memasang 16 kamera di sepanjang projek berkenaan bagi memastikan kaedah pengawasan yang pertama kali digunakan ini benar-benar berkesan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM70,000 diperuntukkan untuk menyediakan kemudahan CCTV, selain peruntukan untuk kemudahan internet supaya kerja pengawasan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

“Kemudahan ini juga akan membolehkan pihak berkenaan melihat perkembangan projek ini dalam waktu sebenar tanpa perlu berada di lokasi,” katanya yang dalam masa sama mahu membuktikan bahawa orang Melayu juga mampu melaksanakan projek pembangunan skala besar.

Pembinaan dilakukan serentak, bukan berfasa

Malah katanya, pembinaan jajaran sepanjang tujuh kilometer dilakukan serentak dan bukannya berfasa supaya ia dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, malah tidak menolak lebih awal.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, banyak yang kita pelajari termasuk bagaimana untuk bergerak serentak, kerana ia memberi kemajuan yang lebih baik kepada projek dijalankan,” katanya.

Untuk rekod, fasa 2A adalah pakej kedua yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Program Jelajah Janji Ditepati PRU13. Pakej 1B dari Pasir Hor ke Perol kini sedang rancak dibina dan dijangka disiapkan pada 2017.

Dalam pada  itu Shaari berkata, walaupun pihaknya secara rasmi memulakan kerja pada 22 April lalu, namun pihaknya mengambil inisiatif menempatkan jentera dan melakukan kerja asas lebih awal dari  tempoh ditetapkan.

“Ini menunjukkan komitmen kami terhadap projek. Insya-ALLAH, kami akan melakukan yang terbaik bagi memastikan pembinaan dapat disiapkan pada tempoh ditetapkan ataupun lebih awal,” katanya.

Sinar Harian