Tuesday, 7 April 2015

Kereta terbalik ke dalam longkang di Kuala Pilah

KUALA PILAH – Sepasang suami isteri berhadapan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas lalu terbalik ke dalam longkang di Jalan kampung Inas, Dingir, kira-kira jam 6 pagi, semalam.


Bagaimanapun kedua-dua mangsa, Abu Bakar Haizar, 29, dan isterinya, Norafidah Yazid, 28, yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi hanya mengalami cedera ringan.

Penduduk kampung yang ingin dikenali Anuar, 40-an berkata, pasangan suami isteri itu dipercayai dalam perjalanan dari Rumah Rakyat Sungai Layang Rembau menuju ke Simpang Durian, Jelebu.

“Tiba di selekoh jalan ini, kereta dipandu lelaki berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan hingga melanggar tembok longkang sebuah rumah.

“Bunyi dentuman kuat menyebabkan penduduk berhampiran keluar melihat insiden tersebut," katanya.

Tambah Anuar, kedua-dua mangsa dalam keadaan trauma dan penduduk telah membantu mengeluarkan mereka melalui pintu belakang kereta.

"Mereka kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk rawatan lanjut," katanya.

Kata Anuar, jalan kampung itu merbahaya terutama di selekoh tajam ditambah pula cuaca masih gelap.

“Saya berharap pengguna lebih berwaspada kerana jalan kampung ini agak kecil dan banyak selekoh merbahaya” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan kejadian dan kemalangan itu disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian