Monday, 6 April 2015

Tak boleh sapu ubat gigi, kicap pada kulit melecur

Kepercayaan umum bahawa ubat gigi, kicap atau minyak gamat boleh mengelak kelecuran adalah tidak benar, kata pakar bedah plastik dan rekonstruktif Hospital Umum Sarawak (HUS) John Ranjit Nesaraj.

Bercakap dalam forum umum sempena program Kesedaran Kelecuran di sini, hari ini, beliau berkata tindakan menyapu bahan berkenaan pada kulit yang melecur hanya akan menyebabkan kesan melecur menjadi bertambah serius.

Beliau berkata, tindakan meletakkan ketulan ais pada kulit yang melecur juga boleh memudaratkan.


Sebaliknya, menurut John mangsa perlu menyejukkan bahagian yang melecur dengan mengalirkan air yang bersih selama 20 hingga 30 minit di bahagian yang melecur.

“Jika langkah ini tidak dilakukan ia akan menyebabkan bahagian yang melecur merebak lebih dalam dan lebar,” jelasnya.

Katanya, jika kawasan yang melecur telah sejuk, sapukan losyen yang mengandungi aloe vera, antibiotik atau pelembap kerana ia akan menjadikan kulit lebih selesa dan lembap.

John yang juga pengelola program berkenaan berkata ia diadakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang rawatan awal menangani sebarang kes kelecuran sementara menunggu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Selain itu, katanya, ia juga bertujuan memberi pendidikan kepada orang awam tentang situasi berisiko tinggi yang boleh mengakibatkan kelecuran serta cara-cara pencegahan.

Turut serta dalam forum berkenaan ialah Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil yang turut menyempurnakan majlis penutupan program dua hari itu.

Sinar Harian