Saturday, 11 April 2015

Kantoi! Lelaki mencuri dalam masjid berjaya dirakam

UMBAI - Tindakan seorang lelaki memecah masuk Masjid Al-Kauthar, di sini, awal pagi semalam, berjaya dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) masjid terbabit.

Rakaman CCTV berdurasi 10 minit itu berjaya merakamkan dengan jelas wajah suspek berusia dianggarkan sekitar 30-an dan gerak-gerinya ketika memecah masuk tingkap kaca masjid, seterusnya memecah beberapa tabung derma.

Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid terbabit, Mohd Farid Abd Malek berkata, kejadian pecah masuk itu disedari jemaah yang datang untuk menunaikan solat Subuh apabila mendapati tingkap masjid sudah tertanggal, selain kesan umpilan pada jenang tingkap.

Manakala, katanya, beberapa tabung juga dalam keadaan berselerak selepas dipecah menyebabkan jemaah berkenaan terus melaporkan kejadian itu pada AJK masjid dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Umbai Pantai.

“Sebaik kita meneliti rakaman CCTV, terpapar jelas wajah serta gerakgeri lelaki itu memasuki masjid pada jam 3.32 pagi menerusi pintu masuk sebelah tandas.

"Dia kemudian mengumpil tingkap cermin pada bahagian ruang solat wanita sebelum menyelongkar beberapa tabung kayu yang dipercayai mengandungi wang sekitar RM20 hingga RM30 hasil derma orang ramai,” katanya.

Menurutnya, kejadian semalam merupakan yang ketiga berlaku sejak masjid itu memasang CCTV pada penghujung tahun 2013.

“Sebelum memasang CCTV, masjid ini kerap berdepan masalah tabung dipecah. Dianggarkan sudah lebih 10 kejadian berlaku. Akhirnya AJK memutuskan untuk memasang CCTV.

“Pada mulanya empat unit tetapi kemudian ditambah empat unit lagi, sekali gus menjadikan CCTV yang dipasang seterusnya kepada lapan unit,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Umbai Pantai, Saleh Mamat berkata, pihaknya kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menjadikan masjid sebagai lokasi mencuri.

“Kita akan salinan rakaman CCTV ini kepada polis untuk mengesan penjenayah itu. Sebelum ini pun, dengan rakaman ini, kami dapat membantu polis menampilkan bukti kukuh bagi mendakwa mereka terlibat,” katanya.

Sinar Harian