Thursday, 30 April 2015

Awas warga Kota Bharu, JPJ Kelantan akan cek cermin gelap mulai esok

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan bersiap sedia untuk menjalankan operasi penguatkuasaan penggunaan cermin gelap mengikut spesifikasi baharu bermula esok.
    
Pengarahnya, Abd Ghani Che Kasim berkata, penguatkuasaan cermin gelap itu tertangguh hampir enam bulan untuk memberi peluang kepada pemilik kenderaan membetulkan semula kadar ketelusan cahaya cermin gelap tingkap kereta masing-masing mengikut spesifikasi baharu itu.
    

"Mereka perlu membetulkan cermin kereta mereka mengikut spesifikasi yang kita benarkan dari segi kiraan iaitu bagi cermin belakang dan sisi penumpang belakang dikurangkan daripada 50 peratus kepada 30 peratus (kadar ketelusan cahaya).
   
"Kadar ketelusan cahaya bagi cermin hadapan kekal pada kadar 70 peratus manakala sisi pemandu dan penumpang hadapan pula masing-masing kekal pada kadar 50 peratus," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis sempena Hari Penguatkuasa JPJ Negeri Kelantan 2015 di sini, hari ini.
    
Abd Ghani berkata, JPJ telah membuat persediaan dari segi sistem dan peralatan bagi pelaksanaan penguatkuasaan tersebut. 
    
"Setiap lokasi penguatkuasaan mempunyai enam unit mesin iaitu di Machang, Gua Musang, Kota Baharu dan di kawasan sempadan. 
    
"JPJ akan keluarkan notis larangan dan pemeriksaan serta saman kerana kesalahan memasang cermin gelap yang tidak mengikut peraturan," katanya. 
    
Hari Penguatkuasa JPJ Negeri Kelantan diadakan bertujuan memberi penghargaan kepada setiap pegawai JPJ yang cemerlang.

Sinar Harian