Sunday, 5 April 2015

Hujan renyai mengiringi pengebumian jenazah Ahli Parlimen Rompin, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, di Makam Masjid Negara di sini, hari.
       
Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Negara pada 3.15 petang dari kediamannya di Seri Kembangan di sini.
       
Ayat-ayat suci al-Quran dibacakan dengan diketuai Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad sebelum jenazah Allahyarham disembahyangkan selepas solat Asar.
      
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob serta anggota keluarga Allahyarham dan kira-kira 1,000 tetamu.
       
Balu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Datin Sri Kalsom Ismail memberi penghormatan terakhir untuk Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang telah dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Negara.
- Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan  bersebelahan pusara bekas Menteri Undang-undang Tan Sri Hamzah Abu Samah, pada 5.50 petang.
       
Najib dan Rosmah yang kelihatan sugul, turut menabur bunga dan menyiram air di pusara Allahyarham.
       
Jamaluddin, 63, terkorban apabila helikopter AS365N2 Dauphin yang dinaikinya bersama lima yang lain terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.45 petang semalam.
       
Allahyarham adalah dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak Najib, Nooryana Najwa dan Daniyar Kessibayev di Pekan, Pahang.
       
Nahas itu turut mengorbankan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran dan ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang.

Sinar Harian