Monday, 13 April 2015

Hudud bukan isu politik, ia tanggungjawab umat Islam

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda Pas Terengganu menganggap pelaksanaan hukum hudud menjadi agak sukar disebabkan mentaliti sesetengah pihak yang menganggapnya sebagai isu politik.

Ketuanya, Kamaruzaman Abdullah berkata, pelaksanaan perundangan syariah yang diperjuangkan sejak sekian lama itu tidak seharusnya dilihat sedemikian kerana ia merupakan hukum tuhan yang tidak perlu dipersoalkan.


Menurutnya, mentaliti sedemikian tidak akan membawa penyelesaian yang baik dan bersifat lebih islamik terutama dalam membentuk pembinaan sahsiah masyarakat di negara ini.

“Ini bukan isu politik, tetapi tanggungjawab umat Islam. Keadaan ini tidak akan menjawab sebagai orang Islam. Disebabkan negara kita demokrasi, untuk buat hudud, (parti Islam) kena berkuasa,” katanya.

Kamaruzaman menjelaskan, perjuangan dibawa Pas itu adalah perkara lama yang diulang-ulang bagi memastikan perundangan Islam tertegak di negara ini.

Katanya, hukum hudud pernah dimanipulasikan pihak tertentu sehingga rakyat tersalah anggap berhubung perundangan yang jelas termaktub dalam al-Quran itu.

Mengenai pembentangan Rang Undang-undang Persendirian bagi Kelantan di Parlimen bagi membolehkan hukuman hudud dilaksanakan, beliau berkata, orang Islam wajib memberi sokongan kepada usaha itu.

“Isunya adalah orang Islam. Kalau mereka faham berhubung pelaksanaan hudud ini, mereka wajib sokong,” katanya.

Katanya, jika undang-undang hudud tidak berjaya mendapat sokongan majoriti ahli parlimen, Pas tetap tidak akan berputus asa dan berganjak daripada perjuangan sebelumnya.

“Bagaimanapun, kita tidak paksa mana-mana pihak sama ada hendak sokong atau tidak. Kita serahkan kepada ALLAH,” katanya.

Sinar Harian