Friday, 3 April 2015

Hero Filem Ali Setan kini pendakwah

FILEM Ali Setan yang diterbitkan pada 1986 benar-benar melonjakkan nama Azmil Mustapha dalam bidang lakonan.

Biarpun Azmil mula dikenali melalui filem Mekanik arahan Othman Hafsham, tidak dinafikan namanya mula meniti di bibir peminat selepas membintangi filem arahan Tan Sri Jins Shamsuddin itu.

Bahkan, wataknya sebagai Ali iaitu siswa paling nakal di sebuah universiti di utara tanah air berjaya mencipta fenomenanya tersendiri sehingga ke hari ini, walaupun sudah hampir 30 tahun berlalu.

Masakan tidak, dek kenakalannya mengusik Asmidar lakonan Fauziah Ahmad Daud, bukan sahaja telah membuatkan nama Azmil semakin tenggelam kerana lebih dikenali sebagai Ali Setan, malah filem itu juga telah melayakkannya memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-6 pada 1986.

Tidak menganggapnya sebagai beban, Azmil yang kini sudah berhijrah sebaliknya mengakui populariti Ali Setan adalah tarikan utama kepada dirinya ketika berdakwah.

Pemilik nama sebenar Mohd Azmil Mustapha ini memberitahu, watak Ali Setan menyebabkannya lebih dikenali berbanding dengan nama Ustaz Azmil.

"Dari dulu, pergilah mana-mana pun, gelaran itu tetap timbul, tapi saya rasa itu bukanlah satu masalah besar. Terpulang kepada individu itu nak panggil saya Ali Setan ataupun Ustaz Azmil sebab itu hanyalah sekadar gelaran.

"Apa yang penting, dalam menentukan diri kita yang sebenar adalah amalan kita dengan ALLAH SWT.

"Jika dengan panggilan tersebut, saya dapat memenuhkan masjid atas usaha menyampaikan ilmu ALLAH SWT, jadi itu merupakan satu pilihan yang sangat baik," katanya kepada Zass.

Malah, dek populariti itu juga, Azmil turut dilantik sebagai duta agensi Harmony Excellence Holidays Sdn Bhd.

"Fungsi saya adalah untuk mempromosikan pakej umrah yang dikendalikan oleh agensi pelancongan itu yang bermula dari RM4,990 hingga RM6,500.

"Pelantikan ini merupakan rezeki daripada ALLAH SWT kerana ia sangat menguntungkan diri saya.

"Saya mengibaratkan pemergian ke tanah suci merupakan satu nikmat dan rahmat yang sangat besar

"Pada masa sama, saya dapat menarik minat orang ramai untuk melakukan ibadah umrah bersama sekali gus berkongsi pengalaman dengan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Azmil kini sudah kembali ke tanah air selepas berhijrah dari Pattani, Thailand, sejak setahun lalu.

"Saya kini kembali menetap di Shah Alam selepas usaha mewujudkan sebuah pusat pengajian agama di sana tidak diizinkan oleh kerajaan Thailand.

"Walaupun ketika itu saya berjaya mendapatkan tanah seluas 20.8 hektar dengan kerjasama pelbagai jabatan tetapi usaha tersebut terpaksa dihentikan ekoran undang-undang negara berkenaan yang tidak mengizinkan orang asing memiliki tanah.

"Oleh kerana itu, saya pulang ke tanah air dan akhirnya menerima pelawaan menjadi duta agensi tersebut," katanya yang pernah menetap di Syria selama lima tahun, sebelum ini.

Terbit filem Islamik?

Semenjak berhijrah, nama Azmil sememangnya tidak lagi kedengaran dalam industri hiburan.

Bagaimanapun, jauh di lubuk hatinya, pelakon berusia 63 tahun ini mengakui tidak menyesali keputusannya untuk terjun ke bidang hiburan kerana penglibatan dalam dunia hiburan adalah darah dagingnya.

Azmil memberitahu, dunia hiburan dan seni merupakan sebahagian dari kehidupannya sejak belajar di bangku sekolah sehingga melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat.

Malah, biarpun kini bertukar imej secara mendadak, minatnya terhadap muzik dan lakonan sukar dipadamkan.

Ketika ditanya, adakah dia akan kembali aktif dalam industri tanah air selepas ini, bintang utama filem Suara Kekasih ini ternyata punya jawapannya tersendiri.

"Saya mempunyai gerak hati untuk menerbitkan filem berbentuk keislaman.

"Saya ada terfikir hendak menerbitkan sebuah filem berbentuk keislaman yang menerapkan ajaran Islam sebenar-benarnya

"Pada masa sama, saya juga boleh berdakwah melalui filem berkenaan," katanya sambil memberitahu ada pihak yang merancang untuk menghasilkan dokumentari mengenai kisah hidupnya itu.

Sinar Harian