Lima pendaki Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang kini berada di Kem Induk Everest (EBC) telah sepakat untuk menangguhkan ekspedisi menawan Gunung Everest kali ini.
Perkara itu diumumkan oleh ketua pendaki dan ketua jurulatih, Azim Afif Ishak, melalui akaun Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, para pendaki juga tidak berputus asa.
"Kepulangan ini bukanlah suatu kegagalan tetapi adalah perjuangan yang belum selesai. Tetaplah gunung di sini. ALLAH lebih mengetahui segalanya," katanya.
Azim, 27, bersama isterinya dan pembantu jurulatih Anis Zulaikha Zabani, 25; serta tiga pelajar UTM, Jamhuri Jumari, 21; Azham Afzanizam Hamzah, 27; dan Farul Aidib Mahamad Yusoff, 21, berlepas ke Kathmandu pada 28 Mac dan dijadualkan pulang ke tanah air Jun ini.
Mereka adalah antara 400 orang pendaki yang terperangkap di EBC ketika kejadian runtuhan salji besar berikutan gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter yang melanda Nepal Sabtu lepas.
Pada kejadian itu, kira-kira 22 pendaki dilaporkan terkorban di EBC.
Sementara itu, dalam mesej kepada Bernama melalui Facebook, Anis berkata hasrat menangguhkan misi itu telah dimaklumkan kepada anggota keluarga melalui pihak UTM.
Para pendaki juga bercadang untuk menyertai misi kemanusiaan dan bantuan di Kathmandu, kata Anis.
Sinar Harian
No comments:
Post a comment