Monday, 27 April 2015

Guru terkilan peruntukan untuk sekolah agama dibekukan kerajaan negeri

ALOR SETAR - Beberapa tenaga pengajar di sekolah agama terkilan apabila program dan aktiviti yang dirancang sejak awal tahun terpaksa dibatalkan berikutan menerima arahan daripada kerajaan negeri untuk menangguhkan sebarang program berkuatkuasa serta-merta.

Difahamkan, surat berkenaan dikeluarkan minggu lalu oleh Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) dan diedarkan kepada semua sekolah menengah agama, sekolah rendah Islam, kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) dan taska.

Menurut sumber, penangguhan itu melibatkan peruntukan bagi peringkat zon dan negeri disebabkan oleh perkara yang tidak dapat dielakkan.

Seorang tenaga pengajar yang ditemui berasa kesal kerana perkara itu dimaklumkan secara tergesa-gesa dalam tempoh singkat tanpa dibuat penjelasan sewajarnya.

“Saya cuma dimaklumkan peruntukan tidak dapat disalurkan atas masalah teknikal, menyebabkan ramai tertanya-tanya situasi sebenar. Kami harap perkara ini bersifat sementara namun, tidak dimaklumkan sehingga bila,” katanya.

Berikutan itu, katanya, acara terdekat yang akan berlangsung pada 7 Mei depan iaitu Majlis Sukan Sekolah-sekolah Agama peringkat negeri terpaksa ditangguhkan.

“Bagaimanapun, jawatankuasa kejohanan sukan terbabit memutuskan untuk terus menganjurkan acara itu kerana tidak mahu menjejaskan perancangan sukan berkenaan di peringkat kebangsaan di Johor Jun depan,” katanya.

Ini menyebabkan, jawatankuasa berkenaan terpaksa meminta sumbangan daripada waris pelajar terlibat sebanyak RM30 seorang. Manakala jumlah pelajar terlibat dalam kejohanan itu sekitar 650 orang daripada zon utara, zon selatan serta zon Maktab Mahmud.

“Sebelum ini, kejohanan berjalan lancar dan tidak wujud masalah seperti ini. Setiap tahun, ia diadakan percuma, bawah peruntukan tahunan untuk sukan. Kenapa pada tahun ini, semua aktiviti dibekukan, kami mohon penjelasan daripada pihak berkenaan,” katanya.

Seorang lagi tenaga pengajar memaklumkan, pada awal tahun, dia terdengar ura-ura mengatakan kerajaan negeri berdepan masalah kewangan dan peruntukan tidak dapat disalurkan.

“Ketika itu, saya dengar kemungkinan peruntukan akan dibekukan, tetapi sekadar cakap-cakap orang sahaja. Tidak sangka pula, ia jadi kenyataan pada April ini,” katanya.

Manakala tenaga pengajar dari Kuala Nerang berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri menyediakan alternatif kepada pihak sekolah untuk melaksanakan aktiviti yang dirancang atau memohon penajaan untuk disalurkan kepada sekolah-sekolah terlibat.

“Pelajar dan guru kecewa kerana banyak program dirancang dan kini terpaksa batal atau tunda. Sebahagian sekolah menggunakan inisiatif sendiri dengan memohon peruntukan daripada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) atau sumbangan daripada pihak korporat untuk meneruskan program sedia ada,” katanya.

Sinar Harian