Tuesday, 14 April 2015

Geng Cuci Masjid. Tahniah anak muda!

KEMAMAN - Kagum dengan keikhlasan hati 'geng cuci masjid', ramai kenalan Facebook mereka yang berada di daerah ini datang ke masjid sebaik sahaja mendapat maklumat ketiga-tiga anak muda berkenaan mula memasuki daerah ini sejak Rabu lalu.

Malah, ketika geng terbabit masih berada di Johor sebelum ini, ada kenalan Facebook dari Kerteh turut menghubungi mereka dan memaklumkan akan menunggu di Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin, Kerteh serta akan membawa mereka bertiga ke restoran miliknya.


Jurucakap 'geng cuci masjid' berkenaan, Annas Aiman Jaffry, 27, berkata, respons positif dari semua kenalan Facebook membuatkan mereka sangat tersentuh hati.

“Sebaik melepasi pintu gerbang sempadan Pahang-Terengganu dan masuk ke Kemaman kami sangat terpegun melihat masjid di daerah ini yang besar serta indah.

“Masjid pertama yang kami bersihkan di daerah ini adalah Masjid Sultan Ahmad di Chukai. Ketika berada di situ, kami didatangi ramai kenalan Facebook dan ahli Persatuan Anak-anak Kemaman di Perantauan (Pakar),” katanya.


Jalan kaki sejauh 764 kilometer

Menurut Annas Aiman, hari kedua di daerah ini mereka mencuci Masjid Kampung Beris Meraga, Kijal.

“Tak banyak kami bersihkan di masjid ini kerana pengurusan masjid di sini sangat cekap dan kerja pembersihan sudah dilakukan oleh mereka yang ditugaskan,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Beris Meraga pada Khamis lalu.

Katanya, rakan Facebook mengetahui perkembangan kembara mereka yang dimuat naik dalam laman sosial dan menerusi media massa.

Masjid Kampung Beris Meraga adalah masjid ke-41 dibersihkan Annas Aiman bersama adiknya, Muhammad Aidil, 24, dan rakan mereka, Muhammad Hizamuddin Alidin, 25, yang memulakan Kembara Berjalan Kaki 1Semenanjung Malaysia Membersihkan Masjid.

Dengan menjejakkan kaki ke Masjid Kampung Beris Meraga itu juga kembara yang mereka lakukan bermula di Masjid Sultan Salahuddin Shah di Shah Alam, Selangor sudah masuk hari ke-76 dan telah mengharungi perjalanan sejauh 764 kilometer (km).


Cuaca panas jadi cabaran

Cuaca panas membahang sepanjang memasuki negeri Pantai Timur dimulai dengan Pahang dan seterusnya Kemaman tidak melunturkan semangat mereka untuk meneruskan misi.

Berikutan cuaca panas, Annas Aiman berkata, mereka terpaksa memendekkan jarak perjalanan kepada 18 hingga 20km sahaja sehari, berbanding jarak berjalan normal sejauh 30km sehari sebelum ini.

“Lagipun jarak sebuah masjid dengan masjid yang lain di sini tidaklah jauh, jadi secara automatik juga jarak perjalanan kami lebih singkat,” katanya yang baru pulih dari demam.

Muhammad Hizamuddin berkata, sekurang-kurangnya sebanyak 12 masjid akan dibersihkan mereka di seluruh negeri ini sebelum memasuki Kelantan.

Mereka melakukan kembara berkenaan bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat dan belia bahawa kerja membersihkan masjid bukan tugas pengurusan masjid semata-mata, tetapi ia juga tugas orang ramai.

“Ramai orang pandai mengadu yang masjid kotorlah, banyak sampahlah.. tapi mereka tiada inisiatif untuk membantu, jadi kami lakukan kembara ini,” katanya.

Sinar Harian