Sunday, 12 April 2015

Gaji ahli parlimen naik, setuju?

Orang ramai tidak bersetuju dengan kenaikan gaji dan elaun ahli parlimen antara 45 hingga 57 peratus yang diluluskan Dewan Rakyat, kelmarin.

Pekerja swasta, Moha Kamar, 40, berkata, dia tidak bersetuju dengan kenaikan  yang diterima oleh wakil rakyat.

“Saya tidak menidakkan hak seorang wakil rakyat untuk mendapat kenaikan gaji. Namun, kenaikan ini tidak sesuai pada waktu ini.

“Kebanyakan rakyat tidak mendapat kenaikan gaji sedangkan kos sara hidup semakin meningkat hari demi hari. Tetapi, usul kenaikan gaji ahli parlimen pula diluluskan,” katanya.

Menurutnya, persepsi rakyat terhadap wakil rakyat akan bertambah buruk dengan kenaikan gaji itu.

P Kanyakumari, 25, juga melahirkan rasa amat kecewa dengan keputusan tersebut.

Dia yang bekerja di sektor swasta berkata, ahli parlimen sepatutnya memikirkan nasib rakyat sebelum memuktamadkan keputusan itu.

“Rakyat kini kurang kuasa untuk membeli dengan kenaikan harga pelbagai barang. Bagi saya, kenaikan ini tidak wajar sama sekali,” katanya.

Bagi peniaga, Muhamad Gadaffi Ab Rahman, 29, ahli parlimen seharusnya merasai sekali kesusahan yang dialami rakyat ketika ini.

“Seperti contoh, ada menteri meminta rakyat supaya berjimat cermat ketika berbelanja. Jadi, seharusnya, wakil rakyat juga perlulah mengikut saranan yang diberikan oleh menteri itu.

“Apabila wakil rakyat memberikan contoh yang baik, maka rakyat akan menyanjung tinggi serta menghormati mereka,” katanya.

Sinar Harian