Sunday, 12 April 2015

“Dulu aku ada rumah di Kampung Melayu Pandan, tapi selepas rumah aku dirobohkan..."

HIDUPNYA sebatang kara di kota raya hanya bertemankan kucing terbiar di kaki lima kerana tidak pernah mendirikan rumah tangga dan dipinggirkan keluarga sejak kematian kedua ibu bapanya.

Ahban Matsah, 61, berkata, masanya banyak dihabiskan menumpang tidur di kaki lima selepas pulang bekerja sebagai pencuci pinggang mangkuk di medan selera Jalan Bakawali, Taman Johor Jaya.

Ahban menganggap kucing peneman hidupnya.

Menurutnya, dengan memiliki sebuah basikal, dia dapat bergerak ke sana ke mari malah berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.

“Dulu aku ada rumah di Kampung Melayu Pandan, tapi selepas rumah aku dirobohkan...aku dirikan pondok di tanah rizab TNB untuk dijadikan tempat berteduh.

“Tapi aku jarang balik ke sana kerana tak ada elektrik dan air.

“Aku lebih selesa menumpang tidur di kaki lima bersama kucing-kucing belaan aku,” katanya.

Ahban berkata, meskipun mempunyai lapan adik-beradik yang masih hidup, namun hidupnya sebatang kara kerana sudah lama tidak bertemu kerana masing-masing berada di Batu Pahat, Segamat dan Kota Tinggi.

“Aku dah biasa hidup begini bertemankan kucing-kucing terbiar yang aku bela. Aku dah lama tak cari mereka (saudara-mara) dan mereka juga tak pernah cari aku.

“Masa muda-muda dulu aku pernah bertunang, tapi tunang aku berkahwin dengan orang lain. Lepas tu, aku dah tak fikir lagi pasal kahwin,” katanya.

Katanya, dengan pendapatan kurang RM30 sehari mencuci pinggang mangkuk digunakan secara berjimat cermat untuk mengisi perut dan membeli makanan kucing.

“Aku sayangkan kucing. Aku makan kucing pun kena makan. Kalau aku tidur di kaki lima, kucing-kucing belaan aku akan temankan.

“Kalau ada kerja adalah duit, kalau aku tak kerja tak ada duit. Sebab itu walau aku letih sekalipun aku kena kerja kerana tak ada siapa tempat aku nak bergantung harap,” katanya.

Sinar Harian