Sunday, 12 April 2015

Datuk jaga dua cucu yatim piatu

KUANTAN  -  Walaupun menderita sakit buah pinggang dan kencing manis, seorang warga emas, Endut Mohammad, 61, masih sanggup menjaga dua cucu yatim piatu berusia 11 dan 12 tahun.

Kanak-kanak perempuan terbabit, Nur Elisa Najwa Mohd Zamzuri, 11, dan Nur Syakira Ilyana, 12, kehilangan bapa mereka pada 16 Februari lalu akibat pendarahan dalam kepala manakala ibu mereka, Wan Rafidah Wan Mohd Rawi meninggal dunia kira-kira enam tahun lalu akibat jangkitan kuman dalam darah.
Endut (dua kiri) bersama dua cucunya ketika menerima kunjungan Badan Kebajikan Kemiskinan dan Kemanusiaan Seluruh Pahang (BAKKISS).

Warga emas terbabit, Endut Mohammad, 61, berkata, dia tidak kisah untuk menjaga cucunya itu kerana masih mampu menyara mereka dengan wang pencen selain isterinya, Zainun Ibrahim, 60, juga bekerja dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Bagaimanapun,  jika mereka berdua yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Balok Makmur mendapat biasiswa adalah lebih baik kerana dapat meringankan beban kami sekeluarga.

“Sebagai datuk, saya rasa bertanggungjawab untuk jaga mereka walaupun anak bongsu saya, Mohd Ikmal Arif, 15, pula penghidap sindrom down dan kini mengikuti pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beserah, di sini, “ katanya.

Endut berkata, Nur Syakira bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dan memerlukan lebih perbelanjaan kerana perlu mengambil tuisyen serta membeli lebih banyak buku latihan ulang kaji.

“Setakat ini, saya  tidak pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Pusat Kutipan Zakat (PKZ) untuk dua cucu saya.

“Namun Mohd Ikmal ada menerima bantuan JKM yang diuruskan pihak sekolah,” katanya.

Katanya, dia menghidap kencing manis sejak 10 tahun lalu dan kini tidak dapat berjalan dengan baik kerana kecederaan pada bahagian kaki kirinya selain turut bermasalah buah pinggang.

Pesara kerajaan ini berkata, terpaksa menjalani hemodialisis setiap bulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan perlu memasukkan air khas ke dalam badannya sebanyak lapan liter untuk empat kali sehari yang kosnya ditanggung kerajaan di bawah skim pencen.

Sinar Harian